Thursday, August 2, 2012 | By: fEnDi nEtWoRk

Zakat fitrah dan Ramadan



Sesungguhnya, Ramadan adalah bulan yang amat dinanti-nantikan, bukan sahaja oleh kita, bahkan oleh Nabi Muhammad SAW demi melestarikan amal kebajikan. Ibnu Abbas r.a pernah memberitahu: Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan dan lebih besar kedermawannya pada bulan Ramadan. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Zakat fitrah adalah secebis bukti kedermawanan kita. Seandainya jumlah zakat fitrah yang kecilpun ada orang yang masih berkira-kira dan bakhil menunaikannya bagaimana pula mereka mahu menunaikan zakat harta yang lebih besar nilainya?

Hakikatnya, di sisi Islam, sememangnya zakat itu terbahagi dua, iaitu zakat harta (mal) dan zakat fitrah. Zakat fitrah juga dikenali sebagai zakat badan, kerana ia diwajibkan oleh Allah SWT bagi setiap individu Muslim tanpa mengira sama ada kecil, dewasa, lelaki, wanita, merdeka ataupun hamba. Selagi mana mereka dapat hidup pada dua masa, yakni Ramadan dan Syawal walaupun sebentar, maka wajiblah zakat fitrah ke atas mereka.

Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a, bahawa: "Rasulullah SAW memerintahkan untuk mengeluarkan zakat fitrah kepada anak kecil, orang dewasa, orang merdeka dan hamba sahaya daripada orang-orang yang kamu sediakan makanan mereka (tanggunganmu)." (riwayat Daruquthni daripada Ibnu Umar r.a)

Di samping itu, uniknya zakat fitrah kerana ia hanya diwajibkan pada bulan Ramadan atau lebih tepat lagi pada Hari Raya Aidilfitri sahaja. Ia tiada pada bulan-bulan yang lain. Pada zaman dahulu, umat Islam memberikan zakat fitrahnya dalam bentuk makanan asasi kepada orang-orang fakir dan miskin, khususnya pada pagi hari raya. Namun, dek perubahan zaman, maka fuqaha mengharuskan ia ditukar kepada bentuk tunai demi memudahkan urusan penyimpanan dan pengagihannya.

Maka, atas dasar itu, memberikan zakat fitrah paling afdal ialah pada pagi hari raya. Yakni sebelum solat sunat Aidilfitri didirikan sehingga ada yang melambatkan solat sunat berkenaan, demi memberikan kesempatan umat Islam menunaikan zakat fitrah.

Namun, tidaklah boleh dilewatkan sehingga gelincir matahari (masuk waktu Zuhur) dan menurut sunah, eloklah dilakukan solat sunat Aidilfitri itu pada waktu matahari di sepenggalahan (kira-kira jam 8.30pagi - 9pagi) (Fiqh al-Manhaji al-Syafie, hal. 334).

Walau bagaimanapun, amalan zakat fitrah di Malaysia ia boleh ditunaikan sejak hari pertama Ramadan. Ia lebih sesuai, memandangkan kesibukan seseorang mungkin menyebabkan mereka tidak sempat menunaikannya atau paling bahaya terlupa menunaikannya sehingga menjadi berdosa.

Sebenarnya, zakat fitrah mempunyai maksud dan hikmah yang tersendiri. Islam mensyariatkan zakat fitrah, agar setiap orang yang berpuasa dapat menghayati watak sebenar manusia yang mahu kembali kepada fitrah.

Apabila berpuasa, maka umat Islam dididik untuk menghayati erti kesusahan, kelaparan dan menginsafi kehidupan dan zakat fitrah seolah-olah menjadi kemuncak kepada menghayati kesusahan dan erti kelaparan itu.

Akhirnya, Ramadan wajib dilunasi dengan memberikan sedikit kekayaan yang dimiliki kepada orang miskin yang hakikatnya sentiasa merasai keperitan, dan itulah namanya zakat fitrah.

Sebab itulah, orang yang berpuasa dengan sepenuh hati, maka mereka akan benar-benar memahami kewajipan zakat fitrah ini dan akan segera menunaikannya, demi mendapat ganjaran besar di sisi Allah SWT.

Ibnu Abbas menyatakan: "Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang berpuasa daripada ucapan yang tidak ada manfaatnya dan kata-kata yang kotor, serta untuk memberikan makanan kepada orang-orang miskin." (riwayat Abu Daud).

Oleh kerana Islam adalah agama fitrah, maka asas kepada fitrah ini ialah saling ambil tahu, saling berkongsi dan saling bahu-membahu, khususnya memberikan rasa kegembiraan kepada mereka yang serba kekurangan di hari lebaran.

Nabi Muhammad SAW turut menukilkan bahawa setiap Muslim itu ibarat satu bangunan yang saling menguatkan antara satu dengan yang lainnya sebagaimana eratnya genggaman jari-jemari (riwayat Bukhari dan Muslim).

Maka kedatangan Ramadan Al-Mubarak inilah masanya kita menunjukkan tingginya hemah dan santunnya kita sebagai seorang Muslim sejati, yang mengasihi sesama saudaranya dengan keikhlasan dan kepatuhan kepada agama. Wallahua'lam.

Lipat ganda semangat timba ilmu



Al-Quran menyediakan prinsip arahan supaya manusia memandu kehidupan untuk dirinya dan bermasyarakat. Menepati semangat itu, usaha menimba ilmu dari al-Quran untuk dijadikan panduan dalam semua aspek kehidupan patut dilipatgandakan.
Umat Islam perlu berkeyakinan usaha mereka tidak memadai dengan membaca al-Quran pada Ramadan ini. Bahkan umat Islam dituntut meningkat budaya membaca, menyelidik dan menghasilkan formula menyusun kehidupan menepati arahan al-Quran supaya berdaya maju dan progresif.

"Kesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang daripada perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan”
Justeru, usaha ke arah matlamat itu perlu dilipat ganda khususnya pada Ramadan. Pendekatan al-Quran menyusun kehidupan manusia sama ada di peringkat individu dan masyarakat sangat bersesuaian dengan fitrah kemanusiaan mencapai kemuliaan hidup di dunia seterusnya di akhirat.

Dalam konteks itu salah satu aspek perlu diberi perhatian oleh umat Islam ialah kemantapan amalan kerohanian semoga dapat mendampingi Penciptanya melalui ibadat puasa.

Manusia dicipta Allah mengandungi roh, jasad dan akal. Kesemua keperluan untuk memaju komponen manusia ini perlu dipenuhi tanpa pengecualian dan dimajukan secara sepadu.

Allah mengingati manusia dalam firman: Dan jiwa/roh serta penyempurnaannya (ciptaannya) maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya, sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa/roh itu, dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.” (Surah asy-Syams, ayat 7-10)
Roh manusia dicipta Allah untuk membeza perkara benar dengan yang batil. Justeru, kejayaan manusia akan dicapai apabila rohnya sentiasa berada dalam keadaan suci. Untuk mengenali perkara baik, puasa antara ibadat yang mampu mendidik roh manusia ke arah pencapaian itu.

Konsep meningkat kekuatan kerohanian manusia gagal difahami masyarakat sekular. Keruntuhan moral dan hilang pedoman hidup masyarakat sekular dewasa kini disebabkan putusnya hubungan manusia dengan Allah SWT.

Ibadat puasa melatih manusia menguasai dan membimbing nafsu kehaiwanannya semoga tunduk kepada sifat kemalaikatan yang terdapat dalam diri manusia. Islam berkeyakinan bahawa kejayaan membangun diri manusia, masyarakat dan negara bergantung rapat ketinggian akhlak individu.

Akhlak tinggi manusia dalam semua aspek termasuk aktiviti ekonomi dan sebagainya akan terjamin jika sifat semula jadi pada tiap diri manusia iaitu sifat kemalaikatan dapat membimbing sifat kebinatangan.

Contohnya, usaha memaju ekonomi masyarakat perlu dicapai melalui kemantapan penghayatan akhlak. Bahkan kemantapan kerohanian manusia akan mengurangkan ketidakadilan ekonomi berlaku. Roh yang suci akan mendokong usaha keadilan dalam aktiviti ekonomi bermasyarakat.

Dalam menyusun sistem ekonomi, Islam menganjur semoga prinsip keadilan dapat diamalkan. Daripada pendekatan itu lahirlah prinsip al’adl wal ihsan.

Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang daripada perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan.” (Surah an-Nahl, ayat 90)


Aspek ekonomi disebut dalam istilah positif dalam al-Quran tetapi berbeza dengan pendekatan ideologi sistem ‘materialisme’ (kebendaan). Bagi Islam, usaha memajukan ekonomi adalah untuk meningkat kualiti kehidupan manusia, dimensi penting memartabatkan ummah.

Budaya rakus kepada harta bukan pendekatan yang mampu membina daya juang berkekalan, bahkan ia menimbul kehancuran kepada diri dan masyarakat. Berasaskan budaya rakus akan lahirlah pegangan hedonisme iaitu memuas nafsu.

Semangat ibadat puasa turut menganjur kepada penghayatan semangat keadilan dalam kehidupan bermasyarakat, di mana segala bentuk manipulasi dan penindasan dalam kegiatan serta penyusunan ekonomi ditegah.

Semangat ini mengarah kepada penghayatan prinsip al adl wal ihsan dalam penyusunan ekonomi bermasyarakat dan bernegara. Ibadat puasa mampu membina individu melalui sikap adil, muafakat dan persaudaraan, ciri asas kepada kestabilan dan peningkatan prestasi ekonomi masyarakat.



Penulis Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Khutbah Jumaat: Al-Quran ajak berfikir, kaji alam semesta

Peristiwa Nuzul al-Quran, turunnya ayat al-Quran yang pertama kepada Nabi Muhammad SAW seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap seperti kitab al-Quran yang ada pada hari ini. Peristiwa ini berlaku pada tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW ketika Baginda sedang beribadat di Gua Hira.

Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW, maka ia memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutama yang serius memikirkan rahsia al-Quran.
Firman Allah SWT: “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan perbezaan (antara yang benar dan yang salah.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Menurut Imam al-Qurthubi, ayat ini menjelaskan Allah SWT menurunkan al-Quran untuk menjadi petunjuk dan penjelasan bagi umat manusia, membuat aturan kehidupan dan membina peradaban supaya menjadi umat yang dapat membezakan antara halal dan haram, kebenaran dan kebatilan.

Al-Quran dimanfaatkan sebagai sumber saintifik dengan mengajak manusia berfikir dan mengkaji alam semesta termasuk diri sendiri. Kajian demi kajian dilakukan manusia zaman moden membuktikan wujudnya pencipta kepada alam ini iaitu Allah SWT.

Antara contoh saintis yang mengkaji al-Quran secara terperinci dari perspektif sains moden ialah Dr Maurice Bucaille dari Perancis. Beliau menulis buku bertajuk Quran, Bible dan Sains menyatakan, “Sesungguhnya al-Quran terbukti keunggulannya dari sudut sains hanya di zaman sekarang setelah sains mencapai satu tahap yang agak tinggi.”

Satu lagi contoh kajian berkenaan kejadian manusia membuatkan ahli embriologi seperti Profesor Keith Moore berasa kagum dengan apa diutarakan al-Quran menepati apa yang baru ditemui di abad ini.
Begitu juga dengan geologis yang membuat kajian, mengatakan jejari bumi ini ialah lebih kurang 3,750 batu dan tanah bahagian kita berpijak ini amat nipis dalam lingkungan 30-35 kilometer.

Kebarangkalian bumi untuk bergegar dan bergerak-gerak itu amat tinggi.

Maka kejadian gunung ganang sebagai pasak, menetap teguhkan tanah ini dan memberi ia kestabilan. Al-Quran menyebut fenomena: “Bukankah Kami telah menjadikan bumi (terbentang luas) sebagai hamparan? Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya?” (Surah an-Naba, ayat 6-7)

Dalam buku bertajuk “Earth’, salah seorang penulisnya, Frank Press yang juga Presiden Academy of Science di Amerika Syarikat selama 12 tahun menunjukkan bagaimana gunung yang kita lihat itu hanya sebahagian kecil saja di bumi.

Bahagian bawah gunung ini tertanam dalam bumi seperti satu pasak. Menurut beliau lagi, gunung gunung memainkan peranan penting dalam menstabilkan bumi tempat kita berpijak.

Hakikat kajian saintifik ini telah diterangkan dalam firman Allah SWT: “Dan Kami jadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya, supaya bumi itu tidak menggegar mereka; dan Kami jadikan di celah-celahnya jalan-jalan laluan, supaya mereka mendapat petunjuk.” (Surah al-Anbiya, ayat 31)

Justeru, umat Islam diseru menjaga alam ini dengan sebaiknya, janganlah terlalu rakus mengejar pembangunan dengan mengenepikan aspek keselamatan alam seperti bukit-bukau ditarah dan diruntuhkan, pembakaran terbuka berleluasa, pembalakan haram menjadi-jadi dan pembuangan sampah di mana-mana.

Akibatnya sistem ekologi dan keseimbangan alam semesta akan tergugat. Sesungguhnya Maha Tinggi dan Agungnya kuasa Allah SWT yang telah memberi petunjuk dan al-Quran sebenar-benarnya dari Allah, tuhan Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)