Tuesday, August 31, 2010 | By: fEnDi nEtWoRk

Jihad Cinta Damia

Jihad Cinta Damia
www.iluvislam.com
Oleh: mia effa
Editor: rabiatul_adawiyah

“Apa salah Mia, mama? Mia tutup aurat, Mia solat..tiap-tiap hari Mia doakan kesejahteraan keluarga kita ma, tapi kenapa Tuhan balas Mia begini??!” Damia berada erat dalam dakapan ibunya, Faridah.

Sejak anaknya menjadi mangsa kerakusan lelaki tidak berhati perut, sejak itulah hidup anaknya seakan gelap. Tiada lagi senyum dan tawa yang menghiasi satu-satunya anak perempuan kesayangannya. Tercabar jua naluri keibuannya. Entah apa lagi yang harus dilakukan untuk mengembalikan semangat puteri kesayangannya. Pujukan dengan kata-kata seakan lemah buat Damia. Hanya doa yang mampu Faridah titipkan agar Damia kembali positif dalam hidupnya.

’Andai ibu diberi pilihan, biarlah ibu yang menanggung deritamu, Mia,’ bisik hati kecilnya.

Damia bukan lagi seperti dulu. Perwatakannya jauh berbeza dari sebelumnya. Kalau dulu pada awal subuh dan selepas maghrib akan terdengar alunan bacaan Al-Quran yang merdu menghiasi kamarnya. Namun kali ini cuma esakan yang menjadi ganti suasana itu. Ah,rindunya pada Damia yang dulu! Terkadang hampir sahaja keluar sumpah serana dari bibirnya untuk lelaki tak bertamadun itu. Kalau ikutkan hati, biarlah lelaki itu mati ditangannya!

“Mama tak tahu lagi nak buat apa..mak tak sanggup tengok adik kamu terus menangis macam ni. Sekarang dah hampir tiga bulan Johan. Tiga bulan! Tengoklah apa lelaki keparat tu dah buat dengan adik kamu! Makan pun payah, solat pun dia dah abaikan, asyik menangis..menangis…menangis. Jumpa doktor psikologi pun tak ada sembuhnya!” perasaannya berbaur marah dan kecewa.

Ujian apakah yang menimpa keluarganya? Cukuplah dia melalui zaman perit bersama bekas suaminya dulu, cukuplah hanya dia yang menanggung derita dan kecewanya terhadap seorang lelaki. Kenapa ‘lelaki’ juga yang memusnahkan hidup anaknya, Damia?!

“Ma, Jo tahu apa yang menimpa Damia memang teruk dan tak pernah terfikir pun ia akan berlaku. Tapi Jo yakin setiap kejadian ada hikmahnya, ma. Mama pernah ajar Jo kan, kita tak boleh putus asa dalam hidup ni sedangkan Allah masih tidak pernah putus menghulurkan pemberian-Nya. Allah masih memberi kita waktu untuk bernafas di udara-Nya, memberi waktu untuk mengingati-Nya, memohon pada-Nya. Mama juga pernah kata,tiap perbuatan ada balasannya. Selagi kita berhambakan Allah untuk hidup, dan bukan berhambakan hidup untuk Allah, kita pasti akan menemui kebahagiaan. Entah dunia atau akhirat…” Matang bicara Johan.

Jatuh jua air mata Faridah, bersyukur memiliki anak seperti Johan. Saat dia hampir rebah, dia punya anak yang memapah. Wajarkah dia berputus asa pada rahmat-Nya?

“Alhamdulillah…terima kasih sedarkan mama, Jo. Kita sama-sama berdoa, semoga adik kamu tabah dan mendapat hidayah-Nya.” Johan tersenyum sambil memegang erat tangan ibunya.

Jam hampir menunjukkan jam 8.20 malam. Bising. Satu-persatu buku dari rak yang tersusun kemas dibiarkan berselerak diatas lantai. Apa sahaja objek dihadapan mata Mia seakan tidak kena pada tempatnya. Pasu bunga yang dibiarkan jatuh dan pecah dihadapannya seakan menghiburkan hati. Lantas jari-jemarinya bermain dengan serpihan kaca yang berterabur di sekitar permukaan lantai. Tiada perkataan ‘luka’ yang wujud pada deria rasa saat Mia menyentuh serpihan-serpihan kaca oleh jemarinya. Baginya tidak ada gunanya lagi dia menghargai jasad yang sudah menjadi mangsa nafsu hamba dunia. Kotor! Jijik!

“Astaghfirullah..Mia!” Faridah berlari mendapatkan Mia. Johan pantas menarik tangan adiknya yang sudah dibasahi darah kerana luka dari serpihan kaca yang disentuhnya.

“Mia! Kau sedar tak apa yang kau buat ni?!!”

“Johan, janganlah marah adik kamu..dia masih tak stabil,” ujar Faridah sambil berusaha menghentikan pendarahan dari kedua tapak tangan anaknya.

“Mia dah melampau ma! Kita berusaha untuk kembalikan semangatnya..kita berdoa untuk dia tapi dia pula berusaha membunuh diri! Apa yang kau nak Mia? Kau nak biarkan lelaki tu rampas kesucian hati kau pula? Jangan pernah salahkan takdir Mia..Jangan pernah kesalkan hidup. Kau tak sedar ke berapa ramai lagi mangsa rogol diluar sana yang tak berpeluang meneruskan hidup macam kau? Jangan biarkan kebodohan lelaki tu pun buat kau bodoh!” Damia terdiam walau air matanya terus membasahi pipi gebunya.

Faridah hanya mampu diam, membiarkan Johan meneruskan kata-katanya dengan harapan dapat menyedarkan Damia.

“Berapa ramai lagi yang diuji diluar sana, sampai cacat pendengaran, buta pandangan tapi masih ada keinginan meneruskan hidup! Masih menghargai nyawa yang dianugerahi Allah. Abang tak kata dugaan kau tak sehebat mereka, tapi abang nak kau sedar Mia, betapa hebat pun ujian dan dugaan yang kita terima semuanya berpaksikan kembali pada Allah. Mengingati Allah.” Johan tunduk menyelindungkan wajahnya yang dibasahi airmata.

Bukan niatnya untuk memburukkan Damia, tidak terdetik sedikitpun niat untuk melemparkan semua kesilapan di bahu Damia. Hati kecilnya turut tercalar dengan peristiwa yang menimpa adiknya. Perasaan bersalah menyelubungi dirinya yang mengakui tidak menjaga Damia sebaiknya. Andai sahaja dia tahu akan berlaku sesuatu, pasti Johan sanggup membatalkan niatnya untuk pergi mesyuarat. Aku tak patut biarkan Damia balik bersendirian!

“Maafkan Mia..mama, abang Johan..”

“Mia tak pernah salah dengan mama, sayang.” Faridah menyeka airmata Damia.

“Mia..jasad ni milik Allah. Apa yang berlaku semua ada hikmah. Abang minta maaf tak lindungi Mia sebaiknya..”

Keluarga mereka bersatu dalam pelukan, bersatu dalam tangisan. Berdoa semoga ada sinar harapan yang cerah untuk mereka, semoga titik-titik luka tidak akan memutuskan ikatan silaturrahim yang sekian lama terbina. Semoga harapan itulah yang menghidupkan kembali keyakinan pada Mia. Semoga ada kesabaran yang subur pada jiwa Damia.


"Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar." (Al-Baqarah : 155)

************

10 Ramadhan..

Setahun berlalu. Hari ini Mia akanberdepan dengan peperiksaan akhir sem. Awal subuh tadi dia terdengar Mia membaca al-Mathurat sebagai permulaan hari yang baik untuk Mia menghadapi peperiksaannya. Hatinya semakin tenang saat melihat senyuman yang sentiasa terukir di wajah Damia.

“Mama doakan Mia dapat jawab yang terbaik nanti. Jangan lupa, sebelum jawab soalan…”

“Hadiahkan Al-fatihah buat diri sendiri, pemeriksa dan saudara kita..serta selawat untuk nabi,” pintas Mia menyambung pesanan ibunya yang meresap diruang fikirannya.

“Pandai pun anak mama ni. Johan pun hati-hati memandu tu..jangan nak cepat sampai je.”

“Baik ma..InsyaAllah..” jawab Johan perlahan.

"Beruntung Mia dapat jawab exam dalam bulan ramadhan ni. InsyaAllah dapat keberkatan, sambil berjihad dengan nafsu, berjihad pula dengan ilmu.” Tambah mama terus memberikan semangat buat Damia.

“InsyaAllah, betul tu Mia..untung Mia tau. Asalkan niat betul, Allah pasti memelihara,” sambung Johan sambil bersalam dengan ibunya dan diikuti Mia.


“Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka (kerananya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal." (Al-Anfaal : 2)

**********

'Banyak lagi persoalan yang belum terjawab. Masih ada masa untuk Haris memikirkan kembali keputusannya. Aku keliru. Benarkah dia benar-benar cintakan aku? Kenapa dia tidak mempersoalkan sedikitpun tentang kisah lalu aku? Maisarah menemaniku menemui Haris. Abang Johan dan mama pun tidak tahu pertemuan yang ku rancang dua hari sebelum tarikh pernikahan. Sepanjang menunggu kedatangan Haris, hati yang menanti penuh debaran diisi zikrullah. Semoga Allah memberi kekuatan dan ketenangan buatku. Maisarah tidak putus-putus memberikan nasihat agar aku mengawal emosi bertemu dengan lelaki yang belum lagi mempunyai ikatan sah denganku. Malah,ini adalah kali pertama aku akan bertemu dengan seorang lelaki yang membicarakan soal perasaan, soal diri masing-masing.'

“Haris dah datang.” Bisikan Maisarah seperti menusuk ke ruang hati.

“Assalamualaikum..” sapa Haris dan terus duduk berhadapan Damia. Mereka tidak tahu, Haris juga pertama kali duduk semeja dengan perempuan yang pertama menyentuh naluri lelakinya, Damia. Malah tidak terfikir pun, gadis muda berusia 21 tahun dihadapannya akan menjadi permaisuri hatinya, dunia akhirat. InsyaAllah..

“Waalaikumussalam..” jawab Damia dan Maisarah serentak. Setelah itu, diam merajai suasana tatkala masing-masing menunggu pihak mana yang akan bersuara. Damia tunggu Haris. Haris pula menunggu Damia. Maisarah? Akhirnya Maisarah juga yang memulakan perbualan setelah minuman yang dipesan telah tiba.

“Awak..awak masih ada masa nak ubah fikiran, Ris,” ujar Maisarah.

‘Thanks Mai! Tapi bukan aku ke sepatutnya cakap dialog tu?’ getus hati kecil Damia.

“Nak ubah fikiran? Kenapa Damia? Awak tak setuju ke?” soal Haris, bingung sambil merenung Damia, mengharapkan jawapan.

“Bukan tak setuju..tapi,tapi..saya tak seperti perempuan lain. Awak kena faham tu”

“Ya. Saya faham Mia, awak tak sama dengan perempuan di luar sana. Awak gadis tabah yang tetap teguh di jalan Allah walaupun Dia sentiasa menguji awak.”

“Tapi..”

“Damia, dengar sini. Bukan kecantikan jasad awak yang membangkitkan rasa cinta saya pada awak, kerana bagi saya semua wanita ciptaan Allah dicipta dengan kecantikan tersendiri. Tapi kecantikan hati dan keperibadian awak yang mengagumkan saya. Kerana tak semua wanita mampu bangun dan terus berpegang teguh pada takdir-Nya setelah rebah dengan dugaan atau musibah. Saya cintakan awak bukan untuk dunia je, tapi akhirat. Serahkan laluan cinta pada Allah, bukan saya semata..InsyaAllah. Awak akan lebih tenang..”

Terdiam. Bibir seakan terkunci rapat untuk bersuara. Lidah seakan kelu untuk berbicara. Hanya satu yang ku tekadkan dalam hati. Aku redha atas ketentuan-Nya. Hanya dia yang tahu apa yang terbaik.

**********
Skrin komputer riba ditatap lama. Puisi itu benar-benar menyentuh jiwanya. Blog ‘An-Nisaa’ yang menjadi tatapan Haris kini menarik perhatian. Penuh dengan puisi keagamaan. Siapakah yang diilhami Allah SWT untuk menulis puisi yang begitu indah pada iman. Semoga setiap pembacanya mendapat manfaat dan menghayati tiap bait-bait ayat yang begitu menggegarkan jiwa khalifah. Walau siapa pun penulisnya, semoga Allah merahmatinya.

CINTA..
Andai saja kau bisa merasa getaran HATIku,
Kau akan tahu betapa aku sangat meRINDUimu..
Andai saja kau bisa menadah AIR MATAku,
Kau akan tahu betapa aku takut keHILANGanmu..
Andai saja kau JAUH dari diriku,
Kau akan lihat betapa KOSONGnya hidupku..
Andai saja kau HILANG dariku..
Berjuta nyawa pun tak mampu menghidupkan JIWAku!

Cinta..
Jatuhnya aku pada kekuatan cinta tanpa melihatmu..
Butanya aku pada dugaan yang menguji kasihku..
Biar nyawa jadi taruhan asalkan cinta ini dipertahankan..
Biar harta dan jasad terkorban..
Kerana cinta ini yang ku damba!

Cinta..
Menyebut namamu takkan pernah jemu..
Mengingatimu takkan pernah lupa..
Memujimu takkan pernah rapuh..
Janjimu sentiasa teguh..
Cinta sehidup dan selepas mati..
Cinta yang sentiasa bahagia walau derita..
Aku menyintai sesuatu kerana cinta itu!
Aku hidup kerana cinta itu!
AKu mati kerana cinta itu!

Cukup bagiku cintamu..
Itulah pelindung yang memeliharaku..
Itulah ketenangan yang mententeramkan aku..
Itulah kebahagiaan yang menyinariku..

Engkau yang selalu ada..
Engkau yang sentiasa bersama..
Saat suka dan duka..
Aku cinta padamu..
Aku cinta pada takdirmu..
Aku cinta pada jalanmu..

Atas nama cinta..
"Aku naik saksi tiada Tuhan selain Allah,dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.."
Atas nafas cinta...
Subhanallah..
Alhamdulillah..
Allahu Akhbar..
Jihad cinta buatMu ya Rabb...
Pelihara nadiku untuk sentiasa mengingatiMu..
Pelihara hatiku untuk sentiasa beriman padaMu..

Puisi ‘Aku jatuh cinta’ dibacanya berulangkali. Sesekali airmata yang jatuh disekanya segera. Bibirnya meniti istighfar. Puisi itu seakan merasuk kamar emosinya. Menerjah diruang fikirannya. Lantas jasadnya bangun menyucikan diri dengan wudhu. Tenang. Jiwanya dibalut ketenangan usai sahaja solat tahajudnya tengah malam itu. Subhanallah..Alhamdulillah..Allahu Akhbar..zikir berlagu pada bibir, jiwa dan meresap di hati.

**************

“Terima kasih kak Mia, selama ni akak dah banyak bagi dorongan dan nasihat pada Alia, kalau tak..entahlah apa yang akan jadi.”

Wajah Alia ditatap lama. Bukan kerana simpati yang membakar semangatnya untuk membantu Alia, tetapi gadis belasan tahun yang baru memasuki pusat perlindungan Anisa itu benar-benar menyentuh naluri wanitanya. Alia menjadi mangsa rogol manusia tak berperikemanusiaan. Kejam. Satu-satunya ayat yang layak menggambarkan derita gadis ini. Mujur Allah memberi rahmat dan petunjuk pada hambanya yang lemah. Biar jasad ditindas, tapi iman sedikitpun tidak akan tercalar.

“Syukur pada ALLAH SWT, hanya dia yang memberi sinar pada jiwa kita. Kakak cuma jalankan tanggungjawab sebagai seorang muslim, Lia.”

“Semalam cikgu Haris beri ceramah sekejap je, tapi kali ini lebih banyak mendengar dan menghayati..tak seperti selalu.”

“Kenapa, dia cakap tentang apa?”

“Kebanyakan penghuni yang ada disini lemas kerana cinta nafsu, ditindas kerana cinta dunia..Tapi semalam, bila cikgu Haris berikan puisi ni..kita sebagai wanita semua hanya terdiam. Dalam diam, semuanya ingin berubah dan bersihkan niat dalam hati, kak.” Sayu ucapan Alia sambil tangan kanannya lantas menghulur kertas putih yang berada digenggamannya tadi.

Mata membaca setiap bait ayat, menerjah ruang minda dan mencari sudut jiwa. Lantas bibir menguntum senyuman.

“Kenapa akak senyum semacam je, akak pernah baca puisi ni ke?” Alia bingung.

“Puisi ni sangat dekat dengan akak, Lia..sentiasa rapat dihati akak..”

“Puisi ni diambil dari…”

“Blog An-Nisa.” Sambung Damia.

Tepat sangkaannya, getus Alia. “Kakak penulis puisi yang selama ni cikgu Haris beri pada kami?” soal Alia terus.

Namun Damia hanya memberikan senyuman sebagai jawapan. Menyembunyikan sedikit emosinya yang masih terkejut kerana suaminya menggunakan nukilan puisi dalam blognya sebagai bahan kaunseling. Tidak menyangka Haris turut menyelami curahan jiwanya dan menyampaikannya dalam corak bimbingan kaunseling.

“Cikgu Haris tak tahulah selama ni yang tulis puisi kegemarannya ialah isterinya sendiri.” Usik Alia.

“Akak pun tak sangka suami akak boleh terjah blog akak. Sebelum ni memang ada yang minta izin copy semua karya akak melalui emel, tapi akak tak tahu yang minta izin tu suami akak sendiri,” ujarnya sedikit tergelak. Subhanallah..

Kertas yang dicetak dari laman blognya ditatap bersama Alia.


Pilihanku..
Bukannya pada paras rupa yang menawan hati..
Kerana cintaku bukan pada pandangan semata..
Takut jika diwarnai kegelapan..
Kita buta hilang arah..

Pilihanku..
Bukannya pada manis tutur kata bermadah..
Kerana cintaku bukan pada janji yang bermaharajalela..
Andainya suara dikaburi fitnah,
Kita rebah tiada bermaya..

Pilihanku..
Bukan pada banyaknya harta dunia,
Kerana cintaku bukannya ternilai dengan harga..
Bimbang kemewahan membawa leka..
Menghilangkan cinta kita padaNya..
Lalu dimanakah bahagia?


Pilihanku itu..
seorang yang buta..
Buta menilai paras rupa..
Sesungguhnya syahadahnya menggegar seluruh jiwaku..
Keikhlasannya melakar cinta yang diredha..
Tongkatnya pada akidah yang menyinari laluan bahagia

Pilihanku itu...
Seorang yang bisu..
Bisu mengungkapkan janji yang tiada pasti..
Kerana harapan disandarkan pada Illahi..
Pendiriannya menusuk nurani hawa..
Bait-bait kesyukurannya lahir pada sujud seorang hamba

Pilihanku itu..
Seorang yang papa dan hina...
Papa dengan takbur yang mengubur
Hina kerana sederhana..
Iman memujuk jiwanya..
Cintanya pada agama mengikat tali ukhwah..
Lalu disimpul teguh pada tiang pernikahan..

Pilihan kami..
Pada agama yang memelihara
Pada Syahadah yang mengiringi
Pada Alquran yang membimbing..

Biar..
Cinta kami pada maha Menyintai..
Kerana janjiNya yang pasti
Cinta kami pada kekasih Illahi
kerana memimpin ke jalan bahagia yang hakiki
Kasih isteri pada cinta yang diberi..
Biarlah sampai ke akhirat nanti...
kerana yang sebenarnya ku mahukan padanya..
Bukan cuma kekasih duniawi..
Tapi teman menuju syurgawi..

'Ramai yang mencari cinta tetapi tertipu olehnya,
Ramai yang kecewa kerana cinta dan putus asa pada rahmat-Nya,
Ramai yang membenci cinta dan membenci nyawanya.'


"Cinta yang dicari tanpa melalui Pencipta adalah cinta yang tiada batasnya. Cinta tanpa batasan hanya cinta sekadar hiburan. Hiburan yang bukan hanya melalaikan jiwa, menggelapkan hati malah buta pada Pencipta. Apabila musibah melanda, mula salahkan Tuhan kerana tidak menyedarkan daripada leka. Hati kita yang lemah, sentiasa digodai nafsu, sebab itu kita kena berpegang pada sandaran yang kukuh, Allah SWT. Adanya iman..apapun cabaran kita tetap mara ke hadapan. InsyaAllah.” Panjang bicara Damia.

Hilang kata-kata dari Alia, mereka berdakapan. Terusik dengan kata-kata Damia. Kenapalah sebelum ini aku tidak menghargai nyawa, terlalu awal untuk menyerah dengan kehidupan? Sedangkan Allah tidak putus-putus memberi kesempatan. Air mata mengalir dipipi gebu Alia. Hatinya terlalu akrab dengan Damia.

“Kenapa akak memahami Lia? Adik dan ibu Alia sendiri tak dapat nak faham Lia..situasi Lia. Akak pun…pernah lalui masa derita macam Lia juga ke?”

Damia tersenyum, biarlah Alia mentafsirkan sendiri makna senyumannya kali ini. Alia memandang Damia dengan pandangan berkaca dan bibirnya turut menguntum senyuman walau soalannya tidak terjawab dengan lisan.

“Bukanlah masa ‘derita’ Lia..tetapi masa yang terlalu berharga. Airmata yang menangis buat Pencipta, melihat putaran kehidupan dengan mencari hikmah yang tersembunyi dari Allah, rindu untuk terus sujud mengharapkan bantuan dan menyandarkan harapan pada-Nya. Istilah ‘derita’ itu patut digantikan dengan ‘tarbiyah’..Kita belajar dan diajar melalui kehidupan, Alia. Jadi, jangan anggap ini masa derita buat Alia, belum tentu orang yang bahagia ikhlas mengingati Allah. Saat yang dianggap derita itulah kita sentiasa bertemankan doa.”

“Ya..Alhamdulillah, terima kasih kak. Kakak terlalu banyak sedarkan Alia. Alia jahil dengan dunia kak.”

“Alhamdulillah..semuanya dari Allah..” Damia tersentak.

Sejak bila suaminya berada dihadapan mereka? Tabir yang memisahkan jemaah lelaki dan wanita yang terselak ditiup angin menampakkan jasad Haris yang benar-benar berada dihadapan. Dengarkah dia semua bicaranya pada Alia?

Selesai berjemaah solat Asar, Haris terus mendekati isterinya. Tapi kali ini lain panggilan yang keluar dari mulutnya.

“Nampaknya hari ni biar abang yang masak untuk makan malam, khas buat isteri yang tersayang, An-Nisa” Senyuman Haris memerangkap emosinya. Tapi…

Abang sebut Nisa tu, nama madu buat Mia ke?” Damia sengaja mengusik.

“Amboi, tak payah nak sorok lagi..lepas ni abang nak bukukan karya tulisan isteri abang. Tak payahlah nak hantar emel nak minta izin kan?” Sah, Haris dengar tadi! Siap menyindir pula.

“Yelah abang, maaflah sebab berahsia dengan abang.”

“Takdelah..Alhamdulillah, abang beruntung berjumpa dengan penulis puisi kegemaran abang yang selama ni dekat dengan abang, dan dapat tahu rahsia sayang pun kat tempat kegemaran abang, kat surau rumah Anisa. Kenapalah abang tak boleh agak selama ni? Rupanya nama yang sayang beri untuk rumah perlindungan ni pun sama dengan nama blog sayang kan?”

Rumah perlindungan untuk wanita yang tertindas diberi nama Anisa, walaupun masih baru tetapi berjaya memberi sinar baru buat penghuni-penghuninya. Alhamdulillah,itulah harapan mereka. Itulah Jihad cinta Damia.

“Eh, kata nak masak untuk isteri tersayang, jomlah balik rumah cepat, nanti traffic jammed lambat pula.”

“Sebelum tu…nak tahu tak rahsia abang tak?”

“Apa?” ucap Damia tidak sabar.

Puisi ‘Aku jatuh cinta’ tu lah yang buat abang terus menyintai sayang kerana Allah..” bisik Haris. Bisikan yang membawa manik-manik ketenangan apalagi saat Haris menyebut nama Allah. Lantas zikrullah menghiasi kamar hatinya sambil menatap wajah suami tercintanya Haris.

Jihad cinta buat-Mu ya Rabb. Pelihara nadiku untuk sentiasa mengingati-Mu. Pelihara hatiku untuk sentiasa beriman pada-Mu.




36 Comments · 5633 Reads · Print Bookmark and Share

Lailatul Qadr : Malam Misteri yang Dirindui Kedatangannya

Lailatul Qadr : Malam Misteri yang Dirindui Kedatangannya
www.iluvislam.com
Oleh: Wan Ct Eyesyah
Editor: Erma Farida





Umat Islam di seluruh dunia akan memasuki fasa ketiga pelaksanaan ibadat puasa serta amal-amal ibadat sunat yang lain pada minggu hadapan, ini bermakna sedar atau tidak, Ramadan tetap akan meninggalkan kita buat tempoh setahun.

Apa yang perlu sama-sama kita ingatkan antara satu sama lain, ialah kenangan positif yang kita kecap sepanjang berada dalam bulan Ramadan, iaitu bulan yang dipenuhi dengan segala macam keberkatan, rahmat, keampunan Ilahi serta program-program yang dapat membebaskan diri daripada api neraka.

Itulah bulan yang banyak memberi kita peluang untuk mendapatkan rahmat Allah, keampunan-Nya dari segala kesalahan yang telah kita lakukan sebelum ini, memohon kepada-Nya agar diri kita, keluarga serta anak-anak bebas daripada siksaan api neraka.

Masa yang paling sesuai untuk kita lakukan kesemua itu adalah di tengah malam, di ketika ramai manusia sedang seronok tidur dan mungkin juga sebahagian mereka sedang menonton rancangan kesukaan mereka, kerana pada waktu itu suasana hening menyelubungi manusia, justeru waktu itu juga amat berkesan untuk menyatakan rasa hati kepada Maha Pencipta.

Apatah lagi pada malam akhir-akhir di bulan Ramadan, terdapat satu malam yang disebut oleh Allah SWT dengan jelas sebutan namanya yang mulia dalam satu surah yang pendek, malam yang diturunkan padanya kitab suci al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia menuju jalan kebenaran dan keselamatan di dunia dan akhirat, iaitulah malam yang sangat dikenali dengan Lailatul Qadr - atau diterjemahkan sebagai malam takdir.


Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!"

(Quran, Al-Qadr 97: 1-5)

Berdasarkan ayat di atas dapat dilihat bahawa malam al-Qadar disebut juga dengan malam yang penuh keberkatan. Sebab pada malam itu Allah mencucuri pelbagai rahmat, keampunan dan keberkatan kepada orang yang beramal dengan khusyuk dan berdoa dengan penuh keikhlasan.

Kepada mereka Allah memberikan ganjaran kebaikan yang sama nilainya dengan beramal seribu bulan. Firman Allah bermaksud:

"Malam al-Qadar itu itu lebih baik daripada seribu bulan"

(Surah al-Qadr, ayat 3) .

Sebab-sebab Allah adakan Lailatul Qadr

Allah SWT Taala yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, amat menyayangi hamba-Nya yang taat beribadat kepada-Nya, ia tidak lain adalah untuk menganugerahkan kepadanya pahala-pahal yang banyak, supaya dengannya dia akan dapat masuk syurga.

Terdapat beberapa pandangan ulama yang menyebut bahawa, Allah SWT mempunyai sebab kenapa Dia mengadakan Lailatul Qadr buat umat Nabi Muhammad s.a.w antara lain;

Menurut Imam Malik, Rasulullah melihat bahawa umur umatnya tidak sepanjang umat sebelum mereka, baginda bermohon kepada Allah memberikan peluang di mana umatnya supaya dapat beramal dengan yang nilainya sama dengan amalan umat sebelum mereka.

Sementara Imam al-Qurtubi pula berpendapat, Rasulullah diperlihatkan kepadanya usia umat terdahulu, maka Baginda berasa usia umatnya terlalu pendek hingga tidak mungkin dapat mencapai amal seperti yang diraih oleh umat terdahulu yang usianya panjang. Purata usia umat Muhammad antara 60 hingga 70 tahun menurut maksud satu hadis Rasulullah. Sebab itu Allah menawarkan malam al-Qadar yang mempunyai nilai pahala seribu bulan kepada Rasulullah, para sahabat malah kepada seluruh umat baginda s.a.w.

Justeru, malam al-Qadar adalah satu kurniaan Ilahi yang dianugerahkan oleh Allah kepada Rasulullah dan umatnya sebagai tanda kasih sayang dan rahmat-Nya yang menyeluruh. Amal kebajikan seseorang hamba Allah pada malam itu adalah lebih baik daripada amal kebajikan selama seribu bulan atau menurut ulama sebagai 83 tahun empat bulan.

Dorongan Nabi supaya umatnya terus beribadat pada malam tersebut

Kerana keutamaan ini, Rasulullah menganjurkan umatnya agar mencari dan seterusnya mendapatkan malam al-Qadar yang penuh keberkatan itu. Dalam hal ini, Rasulullah perlu dijadikan ikutan yang menampilkan teladan terpuji dalam menghidupkan malam terakhir Ramadan.

Ini dilakukan dengan melaksanakan iktikaf, membangunkan keluarga agar lebih meningkatkan amalan ibadat pada malam hari dan tidak mendekati isterinya dengan tujuan memperbanyakkan amal ibadat di masjid seperti solat tahajud, Witir, solat Tarawih, membaca dan tadarus al-Quran serta berzikir kepada Allah dan amalan solih lain yang dianjurkanIslam.

Rasulullah sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Antara yang sering Baginda baca ialah doa maksudnya: "Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan juga kebajikan di akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka yang pedih."


Doa yang dilafazkan itu bukan sekadar satu permohonan untuk memperoleh kebajikan dunia dan akhirat, malah untuk memantapkan langkah dan kesungguhan agar dapat meraih kebajikan yang dijanjikan Allah. Ini kerana doa itu sendiri membawa maksud satu permohonan yang penuh tulus dan pengharapan, di samping disusuli dengan usaha melipatgandakan amal ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah.

Selain itu, setiap Muslim dianjurkan bertaubat dan memohon ampun kepada Allah daripada sebarang kesalahan dan dosa selama ini. Setiap manusia tidak terlepas daripada kealpaan dan seterusnya melakukan kesalahan yang dilarang Allah. Dalam hal ini, Rasulullah bersabda maksudnya:
Setiap anak Adam tidak akan terlepas daripada melakukan dosa dan sebaik-baik orang daripada kalangan yang berdosa itu ialah yang bertaubat kepada Allah.

(Hadis riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)

Berdasarkan permohonan inilah maka Allah menurunkan Lailatul Qadar.

Hikmah dirahsiakan kehadirannya

Sesungguhnya ayat al-Quran yang menceritakan tentang masa berlaku Lailatul Qadr, tidak dijelaskan secara jelas, kerana ia bertujuan agar manusia tidak hanya tertumpu pada satu malam sahaja jika mereka tahu malam tersebut, justeru ia dirahsiakan agar mereka menghidupkan setiap malam terakhir Ramadan dengan amalan-amalan yang pernah dilakukan oleh baginda, para sahabat dan para solihin terdahulu.

Syeikh Muhammad Abduh berpendapat bahawa sebab malam itu diturunkan kepada umat Muhamad kerana Qadar itu bermakna ketentuan atau takdir. Pada malam itu Allah mula mentakdirkan agama-Nya dan memerintahkan nabi-Nya untuk menyeru manusia kepada agama yang melepaskan mereka daripada segala kehancuran dan kerosakan.

Pendapat Syeikh Muhammad Abduh ini berdasarkan kenyataan bahawa al-Quran pertama kali diturunkan pada malam al-Qadar. Turunnya al-Quran pada dasarnya adalah watikah pelantikan Muhammad sebagai nabi dan rasul yang bertanggungjawab menyampaikan risalah Islam. Begitu juga dalam mengubah corak hidup manusia daripada alam jahiliah kepada suasana Islam. Ertinya malam al-Qadar itu adalah malam disyariatkan Islam kepada umat Nabi Muhammad sebagai agama penyelamat untuk seluruh alam.

Ada ulama lain yang menyatakan bahawa penyebab dikatakan dengan malam al-Qadar kerana pada malam itu Allah menetapkan takdir setiap makhluk baik berupa rezeki, umur atau sakit atau sihatnya seseorang untuk jangka masa setahun, iaitu dari malam al-Qadar tahun ini hingga ke malam al-Qadar tahun depan.

Mengenai jatuhnya malam al-Qadar, ulama berbeza pendapat mengenainya. Imam Nawawi berkata bahawa sebahagian ulama menyatakan malam itu bergilir dari tahun ke tahun. Ertinya apabila pada tahun ini berlaku pada malam 29 Ramadan, maka tahun akan datang datang pada malam berbeza.

Hal sama dikatakan oleh Ibn Hazm bahawa Lailatul Qadar itu ada kalanya pada malam 21, 23, 25, 27 atau 29 Ramadan.

Sementara menurut jumhur ulama, Lailatul Qadar berlaku pada malam yang sama pada setiap Ramadan iaitu pada malam 27 Ramadan. Ini berdasarkan hadis Rasulullah daripada Ubai bin Ka'ab yang diriwayatkan oleh Tirmizi dan hadis dari Mu'awiyah yang diriwayatkan Abu Dawud. "Saya mendengar Rasulullah bersabda carilah Lailatul Qadar itu pada malam 27."

Sebahagian sahabat dan ulama mencuba menentukan Lailatul Qadar dengan cara lain, iaitu menggunakan rumusan tertentu.

Ibnu Abbas berkata bahawa surah al-Qadr itu terdiri daripada 30 kalimah. Kata salamum hiya (selamat sejahteralah malam itu) berada pada kalimah yang ke-27. Oleh itu Ibnu Abbas menyatakan bahawa malam al-Qadar berlaku pada malam ke-27.

Sementara sebahagian ulama menyatakan bahawa kalimat Lailatul Qadr terdiri daripada sembilan huruf. Dalam surah al-Qadr kata-kata Lailatul Qadr itu diulang-ulang sebanyak tiga kali. Maka sembilan darab tiga adalah 27. Maknanya Lailatul Qadar itu berlaku pada malam 27.

Sementara ulama lain seperti Ahmad Marzuk dan Ibnu Arabi berpendapat bahawa Lailatul Qadar itu berlaku pada malam Jumaat ganjil pada 10 malam terakhir Ramadan.

Namun dalil yang paling kuat mengenai Lailatul Qadar adalah hadis daripada Aishah yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari."Carilah sedaya-upaya kamu Lailatul Qadar itu pada sepuluh malam ganjil pada akhir Ramadan."

Perbezaan pendapat sahabat dan ulama ini sebenarnya adalah satu kenyataan bahawa tidak ada satu dalil jelas yang menunjukkan bila malam ini berlaku. Tetapi sahabat dan ulama bersepakat dengan hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Aishah tadi bahawa malam itu berlaku pada sepuluh malam ganjil akhir Ramadan.

Menurut Prof Wahbah al-Zuhayli, sebab dirahsiakan Lailatul Qadar supaya umat Islam sentiasa berusaha beribadah pada setiap malam Ramadan tanpa menumpukan pada satu malam saja. Ini kerana setiap malam pada Ramadan memiliki hikmah dan rahsia tersendiri.

Tanda-tanda berlakunya Lailatul Qadr

Di antara tanda yang sempat terlihat pada masa Nabi s.a.w adalah bahwasanya ketika baginda bersujud di waktu Subuh di atas tanah yang dibasahi dengan air, ertinya bahawa pada malam itu turun hujan sehingga baginda sujud di atas tanah yang berair.

Lailatul Qadr adalah malam dibukanya seluruh pintu kebaikan, didekatkannya para kekasih Allah, didengarkannya permohonan dan dijawabnya segala doa, amal kebaikan pada malam itu ditulis dengan pahala sebesar besarnya, malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Maka hendaknya kita berusaha untuk mencarinya dengan bersungguh-sungguh.

Malam itu tenang dan hening, keadaannya tidak dingin dan tidak panas; siangnya pula memancarkan cahaya matahari yang warnanya pucat; pada malam itu juga malaikat Jibril akan menyelami orang yang beribadat pada malam itu dan secara tiba-tiba kita akan rasa sangat sayu dan kemudiannya menangis teresak-esak.

Ada pendapat yang berkata, bahawa orang yang menemui lailatul qadar akan melihat nur yang terang benderang di segenap tempat hingga keseluruhan ceruk yang gelap gelita.

Ada pula menyatakan bahawa kedengaran ucapan salam dan kata-kata yang lain daripada malaikat.

Ada juga yang melihat segala benda termasuk pohon-pohon kayu rebah sujud.

Ada yang berkata doa permohonannya makbul.

Fokus umat pada malam tersebut

Lailatul Qadr seperti yang dijelaskan di atas, adalah masa yang paling sesuai untuk mengajukan segala permohonan kepada Allah SWT, apa yang perlu dilakukan pada malam tersebut ialah dengan perkara-perkara berikut:

Menghayati malam tersebut dengan ibadah.

Beriman dengan yakin bahawa malam lailatul qadar itu adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan amal ibadah.

Amal ibadah itu dikerjakan kerana Allah semata-mata dengan mengharapkan rahmat dan keredhaanNya.

Kesimpulan, persoalan bila sebenarnya berlakunya Lailatul Qadr, hanya Allah SWT sahaja yang tahu.

Apa yang telah dinyatakan kepada kita melalui hadis-hadis Nabi s.a.w ialah tanda-tanda dan juga malam-malam yang kemungkinan berlakunya Malam al-Qadr.

Berdasarkan hadis Nabi s.a.w menghidupkan 10 malam terakhir dengan beriktikaf, ramai di kalangan ulama' cenderung mengatakan bahawa malam tersebut kemungkinan besar akan berlakunya Malam al-Qadr.

Mengenai cerita pelik yang berlaku, usahlah dijadikan pegangan, oleh kerana para sahabat juga mencari Malam Al-Qadr dengan berdasarkan tanda-tanda yang telah Nabi saw ceritakan kepada mereka. Malah, tidak terdapat sebarang periwayatan mengenai apa yang telah dilihat oleh para sahabat. Maka tidak melihat, tidak bermakna tidak mendapat ganjaran Malam al-Qadr!

Fikir masalah umat ketika sedang beritikaf adalah ibadat

Bukan sahaja melakukan ibadat qiyamullail itu dikira sebagai satu amal ibadat yang baik di sisi Allah SWT, malah memikirkan sesuatu khususnya mengenai masalah yang melanda umat Islam hari ini juga dikira sebagai ibadat yang besar, apatah lagi ketika menjalani proses beri’tikaf dalam masjid pada malam-malam terakhir Ramadan.

Lebih-lebih lagi masalah umat secara global, sama ada keruntuhan moral, perilaku, akhlak di kalangan remaja lelaki mahupun perempuan, masalah krisis keyakinan terhadap Islam di kalangan mereka yang mempunyai profil tinggi dan lain-lain, kesemua itu dapat ditangani jika masing-masing memainkan peranan sebagai hamba Allah yang mempunyai jati diri sebagai orang yang bertakwa seperti yang dituntut dalam ayat mengenai matlamat pelaksanaan ibadat puasa.

Fadilat Lailatul Qadr

Mungkin terdapat sesetengah orang menyangka bahawa mendirikan Qiyamullail pada disepertiga (1/3) malam iaitu dengan hanya bersolat Tarawih (Qiyam Ramadan) berjemaah pada awal malam, iaitu selepas Solat Ba'diyah Isya'. Apakah orang seperti ini mendapat ganjaran atau pahala seperti mereka yang bersolat di malam Al-Qadr (sekiranya berlaku Lailatul Qadr pada malam tersebut)?

Berkata Muhaddis terkenal, Sheikh Nasyirudin Al-Albani (didalam buku Risalah Qiyam Ramadan) :

"Sebaik-baik malam ialah Malam Al-Qadr, kerana baginda s.a.w bersabda :'Barangsiapa yang berqiyam pada Malam Al-Qadr (berjaya mendapatkannya) dengan keimanan dan pengharapan, telah diampunkan dosa-dosa yang telah lalu'

[Hadith riwayat kedua Sheikh dari hadith Abu Hurairah, Ahmad 5/318].

Sementara Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi menceritakan mengenai syarat beramal pada malam Al-Qadr, katanya :"Membawa kepada apa yang harus dilakukan oleh seorang Islam pada malam tersebut ialah : bersolat Isya' berjemaah, Solat subuh berjemaah dan pada malamnya mendirikan qiyamullail.

Di dalam Sahih diriwayatkan bahawa Nabi bersabda :

"Barangsiapa yang bersolat Isya' berjemaah, seolah-olah ia berqiam di separuh malam, dan barangsiapa yang bersolat subuh berjemaah, seolah-olah ia bersolat disepanjang malam tersebut.

(Riwayat Ahmad, Muslim dan lafaznya, dari hadis Osman, Sahih Jami' Saghir - 6341).

Dan tujuannya ialah : Barangsiapa yang bersolat Subuh dengan tambahan-tambahan di dalam waktu Isya', adalah sebagaimana yang diriwayatkan di dalam Hadis Abu Daud dan Tirmizi :

"Barangsiapa yang solat Isya' berjemaah bagaikan berqiyam separuh malam,dan barangsiapa bersolat Isya' dan Fajar bagaikan ia berqiyam sepenuh malam

(sumber yang sama - 6342)."

Semoga tahun ini kita mendapat rezeki untuk bertemu dengan Lailatul Qadr, iaitu satu malam yang penuh dengan misteri, supaya pahala amalan kita dilipat gandakan oleh Allah dan dikira sebagai amal-amal yang solih, Insya Allah.


Monday, August 23, 2010 | By: fEnDi nEtWoRk

~Ujian Allah : Tanamkan Kesabaran~

Ujian Allah : Tanamkan Kesabaran
www.iluvislam.com
Oleh : Ya Habibi
Editor : doraemong13




Pejuang hidup kerana berjuang.


Penat berjalan melalui rutin dan hidup hari demi hari. Terasa sakit dan pening kepala memikirkan semua benda yang perlu dilangsaikan. Itu hanya sakit lahiriah, bukan pada batinnya pula! Memikirkan diri sendiri dan ummah lebih membimbangkan. Apakah kesudahan.

Hah. Begitulah hidup kita dalam dunia ini. Allah sering sapa diri kita dengan ujian. Tidak dinamakan seseorang itu hamba Allah jika tidak menerima ujian yang Allah berikan. Dan tidak dapat dikatakan seseorang itu beriman jika tiada sifat sabar. Dan tiadalah dikatakan seseorang itu SABAR jika tiada dugaan yang akan menguji kesabarannya.

Kadang-kadang, kita cepat sangat untuk mengeluh dan merasa lelah atas semua apa yang telah menimpa dan apa yang telah kita lakukan. Lambat laun, keluhan yang keluar dari bibir dan penat yang dituturkan akan membuahkan sifat malas dan rasa putus asa dalam diri seseorang.


Ujian Allah = Kasih Sayang-Nya

Dalam menempuh hidup disertai dengan ujian daripada Allah, perlu kita ingat, ujian dan dugaan itu adalah tarbiah Allah. Cuba ingat kembali apakah hikmah selepas ujian Allah itu, adakah kita merasa lebih tenang dalam kesenangan? Atau merasa lebih susah dalam kesusahan? Saya yakin deh! Kita semua boleh berfikir dan renung sejenak, disetiap ujian yang Allah turunkan, ada kebaikan akhirnya. Cuma, mahu tidak mahu sahaja untuk kita berfikir.

Ujian yang Allah berikan itu datang daripada pelbagai arah. Sama ada kita dipermainkan, dihina, dimaki dan dikhianati oleh hamba Allah yang kita kasihi, cintai, sayangi dan yang kita kenali, juga suatu penyakit yang Allah turunkan. Itu semua adalah kasih sayang Allah.

Allah sebenarnya ingin mengajar kita untuk lebih tabah dan tetap teguh dengan pendirian kita yang kita pegang. Allah ingin memberitahu kita banyak sangat perkara yang boleh membuat kita mendapat tiket untuk ke syurga-Nya.

Apabila ujian datang menimpa, kadangkala, kita terasa ujian yang Allah berikan itu datangnya seperti hujan, tidak henti-henti sudahnya. Dan juga, kadangkala terasa seperti diri kita sahaja yang Allah berikan ujian seperti itu.

Kita sering terlupa, bahawa setiap manusia telah dan akan Allah uji dengan cara yang lain. Kita terlupa, bahawa ada hamba Allah yang lain yang lebih teruk dan hebat ujian diri mereka. Begitulah sifat kita sebagai manusia. Seringkali terlupa. Rasanya ungkapan Tun Mahathir yang berbunyi ‘Melayu Mudah Lupa’ patut digantikan dengan ungkapan ‘Hamba Allah Mudah Lupa’.



Hamba Allah Mudah Lupa


Sabar : Orang-orang Yang Hebat

Seringkali, apabila kita teruji dan mungkin menangis menumpang adu kepada sahabat, ungkapan SABAR seringkali kedengaran dan menunjukkan bahawa kekuatan sabar itu adalah KUAT. Ada orang yang sudah lali dengan perkataan sabar yang diungkapkan oleh orang lain.. Ada orang akan mendapat semangat daripada perkataan sabar yang disebut oleh orang lain.

Dan bagi diri saya sendiri, apabila saya memujuk diri saya untuk bersabar, seakan-akan ada suatu semangat yang sukar untuk saya gambarkan. Begitu juga apabila sahabat-sahabat yang lain memberikan sedikit semangat untuk diri saya.

Perlu kita renung sejenak dan tanam dalam hati. Sifat SABAR itu adalah salah satu sifat yang paling tertinggi di sisi Allah. Bukan semua orang boleh bersabar dengan dugaan yang dihadapi, boleh bertenang sambil tersenyum dalam menjalani kehidupan hari demi hari. Tiada sifat seorang muslim yang paling tinggi di sisi Allah melainkan sifat sabar. Sabar adalah kekuatan. Ia tidak mengira keturunan atau darjat yang ada pada diri seseorang itu.

Pesanan buat diri saya sendiri. Saya seringkali memujuk diri. Saya yakin dengan janji Allah.

Allah tetap akan memandang hamba-hamba yang sabar itu lebih dari segalanya. Allah akan tetap memandang dengan pandangan yang penuh kasih sayang melalui pandangan rahmat-Nya. Malah, para malaikat juga akan turut mendoakan hamba yang sabar, Insyaallah.

Percaya dan yakinlah dengan Allah. Sesungguhnya Allah tidak akan menimpakan sesuatu cubaan kepada kita melainkan kita mampu untuk menanggungnya. Allah tidak zalim untuk menyeksa kita dengan ujian yang Allah memang tahu kita tidak mampu untuk memikul ujian itu. Cuba renungkan kembali, atas dasar apa kita dilahirkan ke dunia dan apa niat kita di atas muka bumi ini.

Dengan sifat yang sabar, kita boleh menjadi seperti seteguhnya karang yang ada di laut. Tidak akan goyah walau dihempas badai yang melanda. Kita tetap akan menjadi lemah-lembut sepertimana rumput akur dengan belaian angin, tetapi kita tidak akan luruh dan tumbang akibat ditampar dengan ribut taufan yang sengaja datang untuk menyapa kekuatan SABAR yang kita ada.

Apabila sebarang musibah datang melanda, cepat-cepat bersuci dan menghadap Tuan Punya Dunia. Mengadulah, menangislah. Memang sifat kita lemah apabila berada di hadapan-Nya. Pujuk jugalah hatimu untuk melunturkan ego agar dirimu lembut untuk menitiskan airmata dihadapan-Nya. Ingatlah wahai diriku, secubit ujian yang Allah berikan, bergumpal-gumpal pahala sebagai ganjaran Allah kepada hamba-Nya. Syaratnya adalah dengan BERSABAR.


Kita Semua Adalah Pejuang

Kita semua adalah askar! Kita semua adalah pejuang! Dan seorang pejuang itu ada perjuangan yang wajib untuk dia selesaikan hingga ke akhir hayat. Hamba Allah, perjuangan kita sebagai hamba Allah adalah untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi sepertimana perjuangan Rasulullah s.a.w dahulu. Dan dengan perjuangan inilah kita akan mendapat keredhaan Allah.

Ingatlah, dalam barisan perjuangan kita ini memerlukan semangat yang tinggi, pengorbanan yang banyak. Semua itu tidak akan dapat kita selesaikan seandainya kita tiada sifat sabar dalam diri. Maka dengan itu, suburkanlah sifat sabar dalam jiwa.

Buangkan sejauh-jauhnya sifat amarah, jauhilah dendam jika dikhianat orang, dan maafkanlah kesalahan orang walaupun perbuatan itu sesuatu yang tidak dapat kita lupakan. Sesungguhnya, Allah juga sangat kasih kepada hamba yang pemurah dengan memaafkan kesalahan orang lain.


Pejuang Hidup Kerana Berjuang!

Seorang pejuang tetap wajib tegar di jalan perjuangan. Seorang pejuang tidak boleh berputus asa dengan perjalanan hidup yang masih panjang walaupun umur kita hanya Tuan Punya Dunia. Apabila seorang pejuang itu rebah kerana berputus asa, bermakna kita memberi peluang kepada iblis dan syaitan untuk bersorak kegembiraan kerana ada anak Adam yang lemah padahal syurga telah Allah janjikan bagi mereka yang penyabar.

Rebah seorang pejuang itu, memang keinginan syaitan laknatullah. Ketahuilah wahai diriku, seisi alam ini, haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan dan para malaikat turut mendoakan kesejahteraan manusia yang baik-baik, yang tetap teguh seperti seteguh karang di jalan perjuangan ini.

Moga qalam ini dapat membuat diri saya berfikir kerana ku menulisnya untuk peringatan diriku sendiri. Aku perlu untuk tetap berdiri di jalan yang penuh duri yang berbisa. Aku perlu. Aku wajib! Kerana, aku hanya mendambakan redha Allah. Dan untuk mendapatkan redha Allah, aku perlu bersabar seiring melalui rintangan perjuangan yang tidak terduga.



Aku sayang Allah~ Aku sayang Rasulullah~

~Cinta Yang Pasti~

Cinta Yang Pasti
www.iLuvislam.com
Oleh : syabab_musafir95
Editor : everjihad


Remaja selalunya dikaitkan dengan cinta. Agak pelik jika dilihat seseorang yang memegang gelaran remaja tidak mempunyai perasaan ingin bercinta dan dicintai juga tidak ada keinginan untuk berkenal-kenalan (kononnya) dan berhubungan sama ada secara SMS ataupun surat (baru romantik kononnya) dengan sahabat lain yang berlainan jantina.

Adakah Islam membunuh terus naluri cinta ?
Adakah Islam langsung tidak memberi peluang kepada seseorang
untuk merasakan perasaan cinta?
Adakah Islam ini terlalu kejam apabila mengekang seseorang itu
daripada terjebak dengan percintaan ?

Bukan begitu saudaraku...

Islam adalah agama yang syumul! Segalanya sudah ditetapkan oleh syari'at supaya manusia tidak terus tenggelam pada bisikan dunia. Cinta yang diimpikan semasa remaja cuma fatamorgana yang tidak kekal. Cuma mainan remaja yang dibisik oleh hawa nafsu dan syaitan yang cuba menarik setiap bani Adam untuk bersamanya di neraka.

Cinta remaja sering membuatkan kita menipu diri sendiri. Pada fikiran sebilangan remaja, 'cuma setakat menelefon dan menghantar mesej dan surat bukannya sampai berjumpa berdua-duaan di taman bunga'

Firman Allah S.W.T:

(٣١) وَلَا تَقۡرَبُواْ ٱلزِّنَىٰٓ‌ۖ إِنَّهُ ۥ كَانَ فَـٰحِشَةً۬ وَسَآءَ سَبِيلاً۬

Maksud : Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).


Sedangkan mendekati zina pun sudah ditegah. Apatahkan lagi berzina!.

Mengapa Allah kata,
'JANGAN' kamu 'MENDEKATI ZINA'?

Mengapa tidak dikatakan,
'TIDAK PATUTLAH KAMU MENDEKATI ZINA'

atau
'TIDAK BAIK KAMU MENDEKATI ZINA'?

Ini kerana Islam telah menegaskan bahawa mendekati zina itu saja sudah haram hukumnya, apatah lagi jika berzina.

Asyik daripada menelefon kekasih pujaan itulah akan menaikkan keinginan nafsu untuk berjumpa dan kemudian ke arah kegiatan-kegiatan yang seterusnya.




Ketahuilah sahabat-sahabatku sekalian,

Sesungguhnya terdapat enam perkara yang mendekatkan diri kita kepada zina. Moga kita sama-sama dapat memelihara diri kita dari menghampiri dan kemudiannya melakukan perkara-perkara tersebut yang antaranya :

1. (Melihat) نظرة
-Zina itu bermula apabila seseorang itu tertarik kepada pasangan yang berlainan jantina dengannya


2. (Senyum)فسامهم
-Seterusnya senyuman diukir untukmenarik perhatian masing-masing


3.(Memberi Salam) فسلام

- Salam diberi sebagai tanda memulakan hubungan

4.(Bercakap Kosong) فكلام
-Setelah mengenal hati budi masing-masing, seringkali mnelefon dan menghantar mesej yang semuanya dipenuhi dengan cakap kosong dan angan-angan cinta


5. (Berjanji)فموعدون
- Mula mengikat janji untuk berjumpa untuk mengenali dengan lebih dekat dan melepaskan rindu di hati


6. (Berjumpa) فلقاءون
-Dan satu perjumpaan diadakan berdua-duaan (tiga sebenarnya - yang ketiga makhluk bernama syaitan) maka akan berlakulah zina di mana nafsu tidak mampu menahan amarah, disinilah permulaan zuriat dibuang di longkang-longkang, di celah-celah belukar serta semak samun, di tong-tong sampah, di jalanan dan juga di kaki lima. Di sinilah permulaan tergadai segala kehormatan diri. Disinilah permulaan untuk melepaskan nafsu yang tidak pernah kenal kepuasan dan maruah diri.


Zina bukan sahaja menggadai kehormatan diri malah kehormatan agama, masyarakat dan ibubapa malah merosakkan generasi ummah! Mahukah kamu untuk memalit najis yang hina di muka ibubapa setelah mereka membesarkan kamu ibarat menjaga sebutir permata yang berharga? Mereka juga yang telah bersusah payah melahirkan serta membesarkan kamu dengan menggunakan segala kudrat yang ada. Mereka yang telah banyak berjasa dalam kehidupanmu


Wahai rakan-rakanku sekalian,

Waktu ini bukanlah masanya lagi untuk kita bercinta. Perjuangan dan perjalanan masih jauh dan kita masih mentah untuk melalui alam percintaan. Percintaan yang sebenar bermula apabila kita mula mahu melangkah ke gerbang perkahwinan.

Carilah cinta yang disandarkan kepada-Nya yang menjanjikan kemanisan di dunia dan kelebihan di akhirat. Sesungguhnya cinta kepada makhluk ciptaan-Nya merupakan satu fitrah yang tidak boleh dielak oleh seseorang yang bergelar manusia. Sedangkan Adam pun berasa sunyi tanpa kehadiran Hawa, bukan? Apakah yang tidak ada di syurga?

Fikirkanlah tentang ganjaran serta nikmat-nikmat yang bakal menanti kita di syurga yang tiada di dunia sementara kita melawan dari menuruti hawa nafsu kita yang sentiasa mahukan keseronokan yang tidak kekal juga kenikmatan yang tidak berpanjangan.

Marilah sama-sama kita menyeru diri kita serta kawan-kawan kita sekalian untuk kembali kepada ajaran agama kita sebagai pedoman mereka dalam kehidupan agar negara kita sentiasa dalam perlindungan dan rahmat Tuhan.

~Rahmat Sebalik Ujian~

Rahmat Sebalik Ujian
www.iLuvislam.com
Oleh: Zulyunus
Editor: Nazarudin Yaacob



Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan Al-Quran kepada hamba-Nya, yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kita, siapa di antara kita yang lebih baik amalnya. Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. Allah telah memuliakan manusia sebagai sebaik-baik ciptaan. Dia menghantar Rasul-Nya untuk mengeluarkan manusia daripada gelap gelita kepada cahaya terang benderang, menuju Tuhan. Maha Suci Allah yang menciptakan segala sesuatu dengan tujuan dan bersebab.
Telah bertasbih kepada Allah apa saja yang ada di langit dan apa saja yang ada di bumi, dan Dia-lah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, yang telah dihantar oleh Allah kepada Umat Manusia sebagai satu anugerah, membawa Rahmah ke seluruh pelosok alam. Demi Allah, sungguh tidak akan sesat orang yang berpegang pada tali agama Allah, menggigit Al-Quran dan Sunnah dengan gigi gerahamnya dan dia sama sekali tidak pernah mencari selainnya sebagai sesuatu yang lebih agung dan lebih utama.

Hidup ini adalah satu medan ujian. Dunia ini hanyalah sebuah persinggahan dan bukan destinasi. Sebuah perhentian dan bukan pengakhiran. Tanpa ujian, manusia takkan pernah terhantuk dan tengadah, bahkan akan terus lalai dengan dunianya sendiri yang penuh dengan angan-angan, hiasan syaitan. Ujian adalah satu bentuk interaksi antara Allah dan kita. Ujian membuatkan kita mendongak ke langit, menadah tangan memohon perhatian Tuhan. Kita selalu lupa, namun Allah tak pernah sekali-kali lalai daripada hamba-Nya.

Di hujung ujian ada Rahmat yang disediakan buat orang-orang yang berjaya, dan penyesalan buat orang-orang yang gagal. Jika kita tak pernah memahami atau cuba untuk mengerti hakikat ini, maka kita akan terus terkandas dalam ujian. Ujian demi ujian, keluhan demi keluhan, hidup terus berjalan dengan tertekan, tak pernah merasakan kenikmatan di sebalik ujian. Maka kita sangat perlu memahaminya, bahawa Rahmat Allah menanti di sebalik sesebuah ujian. Ujian itu takkan pernah hilang daripada papan cerita kehidupan ini.

Ujian membawa kita semakin dekat dengan pemberi ujian, mungkin juga sebaliknya. Ujian adalah lambang kasih sayang pencipta. Itu tanda Allah sentiasa mengambil berat dan tak pernah meninggalkan kita sendirian, kita bagaimana?



Ujian dan Iman

Firman Allah dalam surah Al-‘Ankabuut Ayat yang ke-2, ertinya:

“Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi?”


Ayat ini menggambarkan kepada kita betapa iman itu berkait rapat dengan ujian. Kenikmatan iman itu dikecapi setelah kita berjaya melalui beberapa siri ujian yang telah ditetapkan oleh Allah. Semakin hebat ujian, semakin manis iman yang bakal kita rasai di penghujungnya, bagi orang-orang yang berjaya melaluinya. Jika kita gagal menempuhinya dengan baik, kita akan terus diberi peluang dan didatangkan lagi dengan ujian-ujian yang lain. Kita akan semakin tersasar jika kita terus menerus gagal dan tak belajar menjadi lebih baik. Allah itu begitu Maha Pengasih dan masih memberi ruang kepada kita belajar daripada ujian.

Firman Allah lagi dalam surah Al-‘Ankabuut Ayat yang ke-3, ertinya:

“Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”


Iman itu memerlukan pembuktian. Seberat-berat ujian yang pernah kita alami, tak mungkin seberat Bilal Bin Rabah R.A. tatkala menampung batu besar di terik panas matahari padang pasir. Khabbab Bin ‘Arath R.A. begitu terseksa saat besi panas yang membara di atas kepalanya membakar dan menghanguskannya. Namun, mereka telah membuktikan keimanan mereka dan Allah mengetahui orang-orang yang benar dan orang-orang yang dusta. Di hujung penderitaan yang dialami generasi awal Islam itu, mereka mengakhiri kehidupan menuju alam abadi dengan penuh ketenangan.

Ujian itu adalah tempaan Allah buat orang-orang beriman. Pedang yang hebat takkan terbentuk jika tidak diketuk, dipanaskan dan ditempa dengan baik. Maka kita beruntung kerana Allah akan mengangkat darjat kita dengan ujian yang diturunkannya. Allah ingin memberikan berita gembira kepada kita jika kita bersabar atas ujian yang kita hadapi.

Lihatlah Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah Ayat 155-156, ertinya:

“Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: “Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun (Kita milik Allah dan kepada-Nya kita dikembalikan)””

Ujian Pelbagai Bentuk

Tahap ujian yang ditimpakan oleh Allah kepada manusia itu berbeza-beza, berdasarkan kepada keimanannya. Bentuk ujian itu juga pelbagai. Ada orang diuji dengan wanita, yang lainnya dengan harta, anak-anak, kesusahan, kawan-kawan dan sebagainya. Bagi para pelajar, peperiksaan itu juga satu bentuk ujian. Hakikatnya, kehidupan ini sendiri keseluruhannya adalah medan ujian, akhirat nanti medan ganjaran.

Biar apa juga bentuk ujian yang kita alami, Rahmat Allah tetap akan mengiringi jika kita menghadapinya dengan penuh sabar dan pengharapan kepada Allah. Allah sangat-sangat suka jika hamba-Nya mengadu kepada-Nya, menitiskan air mata di balik tirai malam dan mengakui kelemahannya. Tidak dapat tidak, ujian itu harus dilalui dengan penuh pengharapan kepada pertolongan Allah, kebergantungan yang sepenuhnya kepada pemilik diri kita. Jika tidak, kita akan buntu mencari jalan, kerana hanya Dia penunjuk jalan.

Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah Ayat 153, ertinya:

“Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan Solat, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.”


Ayat ini begitu dalam maknanya bagi orang-orang yang ingin memahami, dan begitu berat kecuali bagi orang-orang yang khusyu’. Sabar dan Solat itu kunci dalam memohon pertolongan Allah. Sampai bila kita harus bersabar? Sampai Allah memberikan pertolongan. Selagi kita diuji, selagi itulah kita bersabar.

Rasulullah adalah orang yang paling hebat kesabarannya bahkan paling besar ujiannya. Dan baginda jugalah yang paling mulia di sisi Allah di kalangan seluruh Umat manusia. Maka ujian itu sememangnya menuntut kesabaran, dan kesabaran akan mengangkat darjat seorang manusia.

“Dari Abu Hurairah R.A., ada seorang lelaki berkata kepada Nabi S.A.W., “Berilah aku wasiat.” Rasulullah S.A.W. bersabda, “Jangan marah!” Beliau mengulang-ulang beberapa kali ucapan, “Jangan marah!” (HR Bukhari)

Kesimpulannya, ujian itu pasti. Pergantungan kepada Allahlah yang akan membuatkan kita tenang menghadapinya. Mungkin kita sudah puas membaca, sekarang mari kita sama-sama merasa. Wallahua’lam.

Thursday, August 19, 2010 | By: fEnDi nEtWoRk

~Memori~

Aku masih ingat saat aku mula mengenali buku teks dihadapan mata, tika itulah seorang insan datang kepadaku dengan jarinya menunjukkan huruf, abjad, nombor dan kalimah.

"Cuba baca apa yang ditulis atas buku ni," cikgu mula bersuara.

"Sa-sa-saya pe-pe-pelajar tahun setu," gagap suaraku tidak tahu membaca.

"Eh, silap tu! Bukan 'setu' tapi 'satu'."

"Oh.. macam tu. Baru tahu, cikgu."

"Tak apa. Cuba baca sekali lagi, mesti boleh baca dengan lancar."

"Sa-saya pelajar tahun satu."

"Ha... tu boleh. Sekarang, baca lagi ayat seterusnya. Cikgu nak dengar."


Sejak itulah aku semakin pandai dalam membaca perkataan demi perkataan sehingga lengkap satu ayat. Aku lebih banyak berusaha untuk menjadi seorang pelajar yang boleh membaca dengan lancar. Hari demi hari, aku semakin seronok belajar dengan cikgu. Bukan disebabkan oleh cikgu pandai mengajar, tapi disebabkan cikgu itu selalu menolong aku bila aku tersilap membaca atau mengeja. Pendek cerita, memang seronoklah belajar dengan cikgu. Sehinggalah tiba satu hari ketika di tahun lima...



"Aliff! Kenapa kamu tak siapkan kerja sekolah ni?" Aku sungguh terkejut kerana itulah kali pertama cikgu menengking dengan nada suara yang tinggi.


"Sa-saya terlupa cikgu." Itulah alasan yang aku ada. Harap-harap cikgu dapat terima alasan aku.

"Cikgu tak boleh terima alasan kamu. Kamu buat apa dekat rumah?" Nada suara cikgu semakin tinggi. Makin seram aku dibuatnya. Biasalah, bukan pernah aku kena dimarahi sebegitu sekali oleh cikgu kesayangan aku.

"Saya main bola, cikgu."

"Itu yang kamu buat di rumah, lagi?"

"Saya tertidur awal malam tadi, cikgu. Sebab itulah saya terlupa nak buat kerja sekolah."

"Awak ni macam-macamlah, ada saja alasan awak tu. Orang lain boleh buat kerja sekolah kenapa kamu tak boleh buat? Kamu ada anak di sampai tak boleh buat kerja sekolah?"

"Tak ada cikgu."

"Habis tu?"

"Matilah aku lepas ini!" hatiku mula berbisik resah disebabkan aku sudah kehabisan alasan.

"Jawablah. Kenapa tak jawab?"

"Malunya aku kena tengking,semua kawan aku tengok,tambah-tambah pelajar perempuan,mana aku nak letak muka aku?" hatiku menjerit sayu melepaskan perasaan malu... tapi langsung tidak hilang.

"Err... saya minta maaf cikgu. Sa-saya tak buat lagi."

"Tak buat? Tak buat apa? Kamu tak mahu buat kerja sekolah lagi? Atau kamu tak mahu ulangi perbuatan kamu ni?"

"Saya tak mahu ulangi perbuatan saya cikgu. Saya janji saya akan buat kerja sekolah lepas ni."

"Sudah. Lepas ni saya tak mahu lagi tengok kamu tak buat kerja sekolah. Faham!"

"Faham cikgu..."



Itulah salah satu memori yang aku tak boleh lupa. Setiap hari ada sahaja perkara yang merunsingkan aku. Pernah juga aku ditendang pelajar perempuan sebab makan nasi mereka, ada juga aku kena simbah dengan air sinki dalam tandas sebab lama sangat duduk dalam tandas, pernah juga satu hari aku kena berdiri atas kerusi sebab tidur dalam kelas. Itu pun nasib aku sahaja. Kalau tidak, mungkin sudah digantung pada kipas sewaktu aku tengah proses air liur. Tetapi setiap kali ada masalah, pasti aku akan berjumpa dengan cikgu kesayangan aku. Siapa lagi kalau bukan Cikgu Zulaikha. Bujang lagi tu. Hehe...

Sewaktu aku di sekolah menengah lagi seronok. Setiap hari dapat kacau cikgu. Hehe... Zaman moden, aku pun sudah ada telefon bimbit. Aku dapat nombor cikgu pun sewaktu aku menghantar buku karangan padanya. Sampai sahaja di meja cikgu, aku letak buku. Tetapi entah macam mana, mata aku boleh ternampak susunan nombor telefon atas kertas. Aku tengok nombor tu ada tertera nama Cik Zulaikha. Aku pun apa lagi, sudah peluang, copy paste sajalah nombor telefon itu masuk dalam kepala otak aku. Lepas tu terus aku save. Hehe... Sepanjang hari aku senyum lebar sehingga gigi aku bertambah kulatnya.


Setiap malam, aku ganggu cikgu aku sampai dia dah naik runsing walaupun cikgu aku tidak tahu siapa yang kacau dia. Sampailah suatu hari aku cuba call Cikgu Zulaikha tapi tak dapat. Rupanya dia dah tukar nombor telefon. Sedih aku dibuatnya...


Hari khamis, 19 November 2009 merupakan hari terakhir aku menimba ilmu di sekolah menengah. Hari itu juga merupakan hari terakhir untuk aku tengok wajah cikgu kesayangan aku. Kalau aku boleh tengok pun buat apa, Cik Zulaikha yang aku kenal itu dah kahwin dengan orang Terengganu. Nasib baik bukan Negro dari Afrika. Apa boleh buat, bukan rezeki aku. Yalah... aku 17 tahun, cikgu aku 31 tahun. Tak kira umur, asal pandai mengajar aku sudah.


Pada hari yang sama, jam 10.46 pagi ,aku turun tangga dari tingkat empat, kemudian aku nampak Cikgu Zulaikha naik tangga. Apa lagi, cepat-cepat aku memperkacakkan wajah aku; sikat rambut guna jari, lebatkan mata guna air liur dan ikat tali leher yang aku minta dari ayah aku. Aku pun apa lagi, dengan bunga mawar di bibir, aku menunggu guru pujaan hatiku naik ke tingkat empat.

"Eh, kenapa tak muncul-muncul lagi cikgu aku ni." hatiku berbisik kehairanan. Aku cuba jenguk-jenguk ke bawah. Rupanya Cikgu Zulaikha naik ke tingkat tiga.

"Ala... ingatkan naik tangga sampai tingkat empat, rupanya ada *R&R pula di tingkat tiga. Apa nak buat, bukan nasib aku."

Tiba-tiba,seorang pelajar perempuan yang agak gemuk dan gelap memandang aku dengan wajah ala Mr.Bean. Nak mati aku rasa waktu itu sebab perlakuan bodoh aku itu dilihat insan yang agak busy body. "Habislah aku kali ini, jadi bahan ketawa orang lain."


"Aliff, apa yang kamu buat ni?" pelajar perempuan itu bersuara.

"Pergilah kau! Suka sangat ganggu aku."

Tiba-tiba dia hebohkan pada semua pelajar perempuan. Bukan pelajar perempuan kelas aku sahaja, tapi satu blok dia heboh. Malu la aku... Hari terakhir juga aku buat hal. Tak sempat tiga jam aku akan meninggalkan sekolah ini sudah kecoh satu bangunan. Macam-macam...





Hari ini hari amat indah bagiku. Aku baru sahaja lepas konvoi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Nak macam mana aku boleh masuk ke universiti ini? Panjang ceritanya, saya pendekkan. Selepas aku keluar daripada alam persekolahan, aku terserempak dengan seorang jejaka di masjid. Waktu itu dia baru sahaja habis baca al-Quran. Aku pun mendekati dia, mungkin dia akan layan insan macam aku. Aku tegur jejaka ni dengan suara manisku, macam aku mengurat cikgu.


"Err... abang baru habis baca al-Quran?"


"Assalamualaikum," dia memberi salam. Aku pun tersedar yang aku sepatutnya bagi salam dulu sebelum aku menegur dia.

"Wa'alaikummussalam," itulah jawapan salamku setelah sekian lama aku tak menyebutnya.

"Ya? Ada apa-apa yang abang boleh bantu?"

"Err..tak ada apa-apa. Saya saja ingin berkenalan. Siapa nama abang? Tak pernah nampak pun?"

"Nama abang Mikail. Abang baru berpindah ke kawasan perumahan ni."

"Ooo... patutlah saya tak pernah nampak abang sebelum ini."

" Err... boleh abang tanya sikit tak?"

"Boleh. Apa dia abang?"

"Err... tandas di mana?"

"Itu soalannya. Ingatkan mustahak sangat tadi." hatiku berbisik entah apa-apa.

"Tandas di belakang sana. Abang nak masuk tandas ya? Kalau abang nak masuk tandas, tandas itu tak berapa mewah sangat sebab terlalu banyak hiasan-hiasan yang tak best kita bau. Gurau saja. Hehe..."


"Abang cuma nak ambil air wuduk."


"Ooo... dah terbatal ke?"

"Bukan terbatal tapi abang nak memperbaharui wuduk abang."

"Ehh... bukankah abang dah habis baca al-Quran? Kenapa abang nak berwuduk lagi?

"Memanglah sudah habis baca tapi selepas ini abang ada usrah."

"Usrah? Usrah itu apa?"

"Usrah itu ertinya kita berkumpul dalam satu bulatan dan berbincang serta bertukar-tukar pendapat dalam isu agama dan semasa."

"Ooo... macam tu. Best tak usrah?"

"Best... jom la join abang sekali."

"Oraitttt! No problem. Line clear."



Sejak itulah aku mula mengikuti usrah. Banyak perkara yang aku dapat. Jika dulu aku pandai membaca tulisan rumi dengan lancar, kini aku boleh membaca al-Quran dengan bertajwid. Jika dulu aku sering mengganggu cikgu, kini aku tahu untuk beradab dengan guru. Jika dulu aku selalu melakukan sesuatu yang kurang faedah, sekarang aku dapat memperbanyakkan amalan ibadah. Hanya dengan mengikuti usrah best. Aku langsung tidak pernah meninggalkan usrah bermula kali pertama aku mengikuti usrah hingga sekarang. Setelah aku mengikuti usrah selama dua bulan, aku bertanyakan sesuatu kepada abang Mikail.

"Abang Mikail, boleh tanya sikit tak?"


"Apa dia?"

"Abang belajar dekat mana sekarang ni?"

"Abang belajar dekat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Kenapa?"

"Seronok tak belajar dekat situ?"

"Memang seronok. Abang join usrah pun sebab semua kawan yang abang kenal belajar di sana."

"Ooo... macam tu. Kalau saya nak belajar di universiti itu boleh tak?"

"Boleh, apa salahnya. Jomlah belajar sama-sama di sana."

"Boleh saja, tapi abang buat master kan?"

"Abang masih boleh tolong kamu."

"Betul juga tu. Okey la kalau macam tu."

Aku diterima masuk ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Sekarang aku menuntut di universiti itu di tahun terakhir. Mak aku pula bercadang nak langsungkan perkahwinan aku lepas aku habis belajar, tapi aku tak berfikir pun pasal itu. Apa yang aku fikir ialah aku ingin sambung belajar sikit sahaja lagi di Mesir.Harap-harap aku dapat...


Tiga tahun sudah berlalu. Sekarang aku baru balik dari Mesir. Sudah berkahwin, isteri aku orang Johor. Punyalah baik dia layan aku. Fizikal dan mental dia, Alhamdulillah semuanya baik. Lagipun, Allah sudah berfirman bahawa wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik adalah untuk wanita yang baik. Aku ini dalam kategori yang agak baiklah. Hanya Allah yang menentukan kedudukan aku.


Hari Isnin, aku dapat berita daripada kawan lama aku mengatakan cikgu aku maut kemalangan. Aku agak terkejut dengan berita itu. Aku terus letak teko berisi kopi atas meja lalu memandu Honda Accord menuju ke lokasi kejadian. Dalam hatiku, aku agak terkejut dengan berita kemalangan itu... tapi aku masih keliru. "Cikgu mana yang maut ni? Cikgu Zulaikha ke Abang Mikail?"


Setelah aku sampai di situ, aku terus disambut kawan aku yang telefon tadi. Dia suruh aku pergi tengok siapa yang maut. Aku bertanya, "Ehh... tak kan kau tak tahu siapa yang maut?"

"Aku tahu..tapi aku mahu kau pergi tengok sendiri dengan mata kau siapa yang maut tu."

Aku pun apa lagi, cepat-cepat pergi tengok bungkusan mayat. Terkejut aku bila tengok jasad yang berlumuran darah. Aku cuba tengok muka mayat tu. Aku terkejut bila nampak muka Cikgu Zulaikha sudah rentung...


"Cikgu, cikgu, cikgu!"
hatiku menjerit tidak dapat menahan perasaan sedih. Kawan aku memberitahu bahawa cikgu baru balik dari rumah kawannya Aku cuma dapat menahan perasaan sedih. Kemudian, kawan aku menarik aku pergi kepada satu lagi kereta yang berlanggar dengan Cikgu Zulaikha. Aku kesat air mata dan terus melangkah ke kereta yang satu lagi.



Pada awalnya aku kurang pasti siapa yang terbaring atas kerusi pemandu itu. Aku pun mendekat sikit. Kemudian, pasukan penyelamat datang. Aku baru nak tengok mayat itu tapi sudah dihalang pasukan penyelamat. Aku pun tunggu sampai mayat tu berjaya dibawa keluar. Akhirnya berjaya jugak mereka membawa keluar mayat yang tersangkut itu. Aku cepat-cepat pergi tengok wajah mayat tersbut. Kali ini aku tidak mampu berkata apa-apa. Abang Mikail meninggal dunia tanpa sebarang cedera sedangkan kereta yang dipandunya remuk. Bukan setakat itu sahaja, jasad abang Mikail masih wangi. Ada al-Quran di dalam poket baju abang Mikail. Ternyata bahawa Allah melindungi hamba-Nya yang beriman. Kawan aku yang berdiri di sebelah cuma memegang bahu aku. Dia menyuruh aku bersabar dengan takdir Allah.


Aku berada agak lama di tempat kejadian. Akhirnya aku mendapat tahu bahawa abang Mikail sebenarnya dalam perjalanan pergi ke masjid manakala Cikgu Zulaikha pula baru pulang dari rumah teman lelakinya. Teman lelakinya datang ke tempat kejadian dan mengaku telah berkhalwat dengan Cikgu Zulaikha di rumahnya. Cikgu Zulaikha bukan sahaja berkhalwat malah telah curang kepada suaminya. Disebabkan itulah Allah telah mengazabkan Cikgu Zulaikha atas perbuatannya itu.


Aku amat kesal dengan perbuatan cikgu aku. Jika dulu, aku sering mengharapkan perasaan aku terhadap Cikgu Zulaikha dibalas dengan perasaan sayang. Tapi ,sekarang baru aku tahu kenapa Tuhan mengasingkan aku daripada Cikgu Zulaikha dan bertemu dengan abang Mikail. Allah ingin menunjukkan bahawa orang yang beriman sentiasa dalam rahmatnya dan orang yang lalai dalam melaksanakan hukum Allah telah disediakan neraka untuknya. Tidak kira walau siapapun manusia itu. Sama ada guru kita, ibu bapa kita mahupun teman kita, semuanya telah ditakdirkan oleh Allah. Begitu juga dengan diriku. Dulu aku jahil tentang agama, tapi kini aku menjadi imam muda di masjid. Segala-galanya atas kehendak Tuhan yang Maha Esa.


Sehingga kini, peristiwa itu tidak pernah luput dalam ingatan aku. Cikgu Zulaikha dan Abang Mikail, kedua-duanya merupakan guru yang aku sayangi. Cikgu Zulaikha mengajar aku memahami ilmu dunia manakala abang Mikail mengajar aku mengenali agama, dunia dan akhirat. Kedua-duanya merupakan guru aku tetapi mereka pergi dalam keadaan yang berbeza. Aku amat sedih dengan pemergian keduanya. Biarlah semua itu menjadi memori yang tercatat dalam diari ingatanku. Aku juga berharap agar memori yang tidak akan lupus ini memberikan pengajaran yang baik dan dapat mengubah hati-hati manusia.





* R&R: Kawasan Rehat dan Rawat

http://www.iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=2830