Friday, September 30, 2011 | By: fEnDi nEtWoRk

Bantuan Allah



Kerap kali hati ini merintih lemah meminta dan mengharapkan daripada Allah swt. Sesungguhnya sangat banyak cabaran yang telah dilalui dan kadangkala ianya seperti memaksa kita untuk meninggalkan jalan ini. Nauzubillah.


Inilah fitrah kita selaku makhluk yang bernama manusia. Tidak pernah lekang dengan sifat cuai kerana kita bukanlah diciptakan sempurna. Mungkin selama ini kita terasa kuat dalam menghadapi mehnah pada jalan ini tetapi akan tiba suatu masa kita akan dikunjungi perasaan lemah dan malas yang akan menusuk hati kita secara perlahan-lahan. Ketika itu hati akan mula memberontak dan akhirnya dengan mudah syaitan laknatullah menjalankan misi mereka untuk menarik kita mengikuti jalan toghut.

Sebagai seorang pejuang dalam agama ini, kita seharusnya bergembira dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah:

Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, Sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat. (Al-Baqarah:214)

Dalam ayat tersebut Allah menyatakan ujian yang diberikan adalah untuk menjadi bukti bahawa para pejuang kebenaran ini adalah seorang yang benar-benar beriman dan ikhlas berjuang hanya kerana ingin menggapai mardhotillah. Inilah hakikat perjuangan, tiada erti senang lenang di dalam kamus hidupnya, yang ada dalam catatan hariannya cumalah perkara yang perit dan penuh dengan pengajaran untuk dibawa sebagai bekalan menempuh hari-hari mendatang yang menjanjikan seribu kesukaran lagi.

Tetapi, walaupun begitu susah perjuangan ini, mereka tidak semudah itu untuk mengalah. Lihat sahaja kisah Bilal bin Rabah, Mus’ab bin Umair dan Khabab yang dikurniakan dengan ujian yang menggetarkan iman, tetapi kerana keimanan yang tinggi kepada Allah, maka mereka diberi keistimewaan berada disamping Allah.

Ayuh pejuang!!! Bangkitlah dari kelemahan diri ini, ingatlah bahawa ujian itu sebagai mahar yang perlu dibayar untuk mendapatkan syurga dan semoga jerih lelah kita menunaikan mahar ini akan menjadi sirna ketika berhadapan dengan Allah kelak.

Perjuangan ini penuh onak duri dan segala macam rintangan, tetapi walaupun rintangan itu setinggi langit, ingatlah bahawa Allah sentisa berada di sisi kita.
Thursday, September 29, 2011 | By: fEnDi nEtWoRk

Permohonan Secara Online Dibuka Sekarang - UTM Space

Assalamualaikum,

Kawan2 ada permohonan UTM Space dibuka. Tengok iklan kat bawah tu..sapa2 yang terasa nk online leh la apply yer...selamat memohon n semoga berjaya.. :)



Thursday, September 22, 2011 | By: fEnDi nEtWoRk

Solat? Tunggu Bila Sudah Tua



Zack: Joe, jom pergi solat. Kalau lewat nanti terpaksalah kita bersolat di luar masjid.

Pelawa Zack ketika dia hendak keluar dari pejabat. Hari ini adalah hari pertama Joe memulakan tugas di tempat kerja baru. Dan orang pertama yang sudi menjadi sahabat Joe adalah Zack.

Joe: Kau pergilah solat Zack, aku nak habiskan kerja ni.

Zack: Eh, tak per. Lepas solat nanti, boleh sambung kerja tu semula. Jomlah.

Joe: Kau sahajalah pergi. Aku tak solat hari ni.

Zack: La, mana boleh macam itu Joe. Solat adalah perkara yang diwajibkan ke atas setiap muslim dan muslimat yang mukallaf iaitu baligh dan berakal.

Joe: Kau kata aku ni tidak berakal lah ya ?

Zack: Bukan macam tu maksud aku. Kenapa kau tak nak solat ?

Joe: Buat apa nak solat. Kitakan muda lagi. Tunggulah bila dah tua nanti. Waktu tu nanti, barulah aku hendak tumpukan sepenuh perhatian aku untuk mengerjakan solat, pergi haji ke. Masa tualah waktu untuk kita beristirehat. Perbanyakkan amalan untuk di jadikan bekalan di akhirat kelak. Masa muda adalah waktu untuk kita bekerja kuat, kumpulkan harta untuk bekalan hari tua.

Mengucap panjang Zack apabila mendengar pendirian Joe dalam bab solat. Sudah jauh tersesat rupanya Joe.

Zack: Ehm kalau kau tak sempat tua, macam mana pula Joe. Katakanlah jika kau ditakdirkan meninggal pada hari esok ?

Joe: Eh yang engkau sibuk sangat ni apasal. Mak bapa aku tak pernah solat dan mereka juga tidak pernah mengajar aku untuk solat. Walaupun aku tidak solat, aku masih bernafas hingga ke hari ini. Rezeki aku masih di murahkan hingga ke hari ini. Jadi apa yang penting sangat solat ini ?

Zack: Solat mempunyai kedudukan yang paling tinggi dalam Islam. Ibadah lain tidak dapat menyamai ibadah ini kerana solat merupakan suatu manifestasi perhubungan insan kepada Allah, mengandungi pelbagai hikmah serta mampu menjadikan individu Muslim itu benar-benar bertaqwa.

Solat juga merupakan tanda terima kasih kita di atas segala rezeki yang di kurniakan dan begitu juga dengan nyawa yang telah di beri pinjam kepada kita. Tujuan kita hidup di dunia ini adalah untuk beramal kerana hanya amalan kita sahaja yang akan menjadi tiket untuk kita ke syurga ataupun ke neraka.

Joe hanya memandang screen komputer sambil tangannya mengetuk - ngetuk pensil di atas meja tulis.

Zack: Joe, masih belum terlewat untuk kau bertaubat. Aku bersedia untuk membantu kau Joe. Suatu ketika dahulu, aku juga seperti kau Joe. Islam atas sebab keturunan sahaja. Hal solat, puasa, aku tidak pernah ambil kisah.

Hinggalah pada suatu hari, aku di uji dengan kemalangan yang dasyat. Aku koma sebulan. Selama aku dalam ke adaan koma, aku telah bermimpi untuk melihat segala balasan yang akan aku terima di sebabkan kejahilan aku. Tunang aku meninggal di tempat kejadian dan dia sedang hamil anak luar nikah aku ketika dia meninggal Joe. Aku amat terkilan kerana dia tidak sempat untuk bertaubat.

Hanya aku yang masih di beri kesempatan untuk memperbaiki segala kesilapan lalu. Setiap kali selepas bersolat, aku tidak lupa berdoa untuk arwah tunang aku. Moga dengan sedikit usaha dari aku ini, dapat meringankan azab kubur yang sedang di hadapinya di sana. Mari Joe, aku bantu engkau.

Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:

"Mana-mana muslim yang apabila masuk waktu sembahyang yang diwajibkan lalu dia pun berwudhuk dengan wudhuk yang baik, melakukan solat dengan sebaik-baiknya begitu juga dengan ruku'nya, maka sembahyang itu merupakan kafarat (memadamkan) dosa-dosanya yang telah lalu, selagi dia tidak melakukan dosa besar." Riwayat Muslim

-Artikel iluvislam.com

Wednesday, September 21, 2011 | By: fEnDi nEtWoRk

Doa yang Mustajab : Waktu dan Amalannya

alt

Solat hajat merupakan amalan yang sinonim dengan masyarakat kita. Selalunya jikalau ada sesetengah perkara contohnya peperiksaan anak, solat hajat selalunya didirikan dengan bacaan-bacaan tertentu untuk memohon pertolongan Allah S.W.T di dalam sesuatu perkara ataupun selain daripada itu.

Namun pernahkah kita menyemak semula, adakah solat hajat itu dari amalan Rasulullah S.A.W? Apakah baginda S.A.W dan para sahabat pernah mendirikan solat hajat bagi memohon pertolongan Allah S.W.T? Adakah para sahabat pernah mengamalkannya di kala kesusahan? Jikalau baginda S.A.W tidak pernah mengamalkannya, maka apakah amalan yang baginda S.A.W dirikan bagi memohon pertolongan Allah S.W.T semasa baginda mempunyai hajat ataupun ketika ditimpa kesusahan? Apakah waktu-waktu yang baik untuk kita berdoa, agar amalan kita selari dengan kaedah dan amalan yang telah dilakukan Nabi Muhammad S.A.W? Apakah ada alternatif lain bagi kita untuk berdoa memohon hajat, selain daripada mendirikan solat hajat?

Sesungguhnya amalan solat hajat itu berasal dari hadis yang tidak berapa kuat sanadnya, atau dengan kata lain, hadis yang dhaif. Adapun bagi mereka yang mengatakan amalan solat hajat itu ada dalam amalan sunnah, dalam masa yang sama mereka mengatakan bahawa:

1) Tidak boleh didirikan secara berjemaah kerana bukan itu yang dilakukan di dalam hadis.

2) Tiada bacaan yang khusus di dalam solat hajat, iaitu rakaat pertama sekian bacaannya, rakaat kedua sekian bacaannya.

Berikut amalan, cara-cara dan waktu-waktu yang mana insya-Allah, merupakan jalan yang baik untuk kita memohon pertolongan Allah S.W.T. Segala apa yang ada di sini adalah hasil dari pembacaan dan juga pengajian penulis di dalam bidang hadis, dan diambil dari hadis-hadis yang sahih.

Waktu-waktu mustajabnya doa.

01.Satu pertiga malam

Iaitu di antara jam 3.30 pagi atau jam 4 pagi sehingga ke sebelum Subuh. Ini kerana, di dalam hadis Imam Muslim, Nabi S.A.W bersabda, maksudnya:

Allah S.W.T turun dari Arasy-Nya ke langit yang pertama, (iaitu langit dunia) di sepertiga malam, seraya bersabda kepada para malaikat yang menjaga langit pertama, "Adakah di antara hambaKu yang berdoa? Aku akan perkenankan. Adakah di antara hamba-Ku yang memohon keampunan? Nescaya akan aku ampunkan dosanya". Maka sepertiga malam, atau solat tahajud merupakan waktu yang sangat afdhal untuk kita berdoa kepada Allah S.W.T.

02.Sewaktu hujan turun

Ketika ini, pintu rezeki dari langit sedang terbuka luas.

03.Waktu di antara dua khutbah khatib pada solat Jumaat

Sepertimana yang telah kita sedia amalkan di mana antara dua khutbah, imam akan membacakan doa dan selawat. Namun adalah lebih afdhal andai di sini kita berdoa secara individu, sebagaimana yang penulis lihat telah mula diamalkan di sesetengah masjid di kawasan Selangor. Ini kerana setiap jemaah yang datang mempunyai hajat, keperluan dan doa yang berlainan di antara satu sama lain.

04.Sewaktu membacakan syahadah akhir setiap kali waktu solat

Oleh itu nabi Muhammad S.A.W telah mengajarkan kita doa yang khusus untuk dibacakan di sini, yang akan penulis garapkan di bawah.

05. Tempoh masa dari azan hingga iqamat, dan juga sewaktu bilal telah iqamat untuk solat, dan sewaktu masuk ke dalam saf.

06. Setiap sujud di dalam setiap waktu solat

Nabi Muhammad S.A.W menyuruh kita memanjangkan sujud kita andai kita mempunyai sebarang doa, dan baginda tidak pernah mengkhususkan sujud mana yang perlu dipanjangkan sama ada sujud di rakaat pertama, kedua, ketiga, atau keempat. Maka, kita boleh memanjangkan mana-mana sujud untuk meluangkan masa berdoa kepada Allah S.W.T. Adapun jikalau doa yang ingin dibacakan semasa sujud ini adalah di dalam bahasa selain bahasa Arab, maka hendaklah dibacakan di dalam hati, kerana selain bahasa Arab akan membatalkan solat. Itu merupakan kata-kata para ulama' fekah termasuk As-Syafi'e rahimahullah.

07.Waktu dhuha

Waktu Dhuha ialah waktu setelah berakhirnya masa tahrim (waktu yang diharamkan solat, dari selepas solat subuh sehingga waktu:

1) Menurut Nabi Muhammad S.A.W, bangunnya anak unta dari tidurnya atau

2) kata orang-orang tua kita, tinggi matahari sudah mencapai dua galah iaitu lebih kurang sejam sebelum masuknya solat Zohor.

Malahan di antara fadhilat solat Dhuha ialah memurahkan rezeki. Insya-Allah...

Amalan-amalan yang memustajabkan doa.

01.Memperbanyakkan amalan-amalan yang sunat setelah kita sudah mencukupkan amalan-amalan yang wajib.

Adapun amalan-amalan sunat yang sunnah, sila rujuk kepada artikel penulis "Mengejar Cinta Pemilik 'Arasy".

02.Memanjangkan sujud di dalam solat, dan berdoa di dalamnya sebagaimana yang penulis jelaskan di atas.

03.'Menebus' kembali amal baik yang telah kita lakukan.

Seperti yang kita dapati di dalam surah Ali-Imran, yang merupakan bacaan yang baik untuk solat Tahajjud, iaitu,

"Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam Neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong pun; Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada Iman, katanya: ` Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu ', maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti; Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui rasul-rasul-Mu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji." [Ali-Imran 3:192-194]

Kita lihat di sini sebagai dalil, bahawa boleh bagi kita setelah beramal baik, untuk kita menebus kembali (claim) daripada Allah S.W.T agar memustajabkan doa kita. Hal ini juga telah penulis bawakan di dalam kisah tiga orang sahabat yang terperangkap di dalam gua.

04.Menghulurkan pertolongan.

Menolong orang lain, terutamanya mereka yang dekat dengan kita seperti kaum keluarga dan sahabat handai. Ini kerana sabda nabi S.A.W, "Andai kamu menolong saudara kamu, Allah akan permudahkan bagi kamu urusan kamu".

05.Sabar.

Sabar dalam menghadapi ujian Allah S.W.T. Doa orang yang bersabar sangat didengari Allah S.W.T.

Doa-doa yang mustajab.

01.Ingin penulis kongsikan di sini beberapa doa yang sangat mustajab untuk dibacakan ketika memohon pertolongan Allah S.W.T. Salah satu daripadanya:

"Allahumma inni as aluka anniy asyhaduka annaka antaAllah, laa ilaa ha illa anta, al-waahidus somadul lazi lam yalid walam yuulad, walam yakun lahu kufuan ahad", yang bererti:

"Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu, dengan bahawasanya aku menyaksikan bahawa Engkaulah Allah, tiada Tuhan yang selayaknya disembah melainkan Engkau, Engkau Maha Esa, tempat meminta, Engkau tidak beranak dan Engkau tidak dilahirkan, dan tiada bagi-Mu tandingan dari sesuatu apapun."

Doa ini merupakan doa seorang sahabat yang didengari Rasulullah S.A.W, lalu baginda S.A.W bersabda, "Engkau telah berdoa kepada Allah S.W.T dengan tauhid-Nya, yang mana jika engkau berdoa dengannya nescaya pasti akan Dia kabulkan." Hadis Hasan riwayat Imam Ahmad.

02.Doa Nabi Musa A.S sebagaimana yang direkodkan di dalam al-Quran, "Rabbi syrah li sodri, wa yassirli amri, wahlul 'uq datan min lisaniy, yafqahu qauliy", bermakna:

"Wahai Tuhanku, lapangkanlah dadaku, permudahkanlah urusanku, dan bukalah simpulan dari lidahku, agar mereka memahami perkataanku."

03.Membaca nama-nama Allah S.W.T, yang berkaitan dengan doa kita.

Sebagai contoh, ar-Raazik (Maha Pemberi Rezeki) jika memohon rezeki, al-Ghafuur (Maha Pengampun) jika memohon taubat, ar-Rahiim (Yang Maha Pengasih) jika memohon belas kasihan, al-Jabbar (Yang Maha Kuat) jika memohon pembelaan dan juga lain-lain.

Bahkan afdhal juga jika dibacakan kesemua 99 nama Allah, dan berdoa setelah membacanya. Ini kerana sabda nabi S.A.W, "Nama-nama Allah seratus kurang satu, sesiapa yang menghitungnya (menghayati dan mengamalkan) akan masuk Syurga". Maka dengan itu nama-nama Allah sangat mustajab jika didahulukan sebelum berdoa.

04.Doa tahiyat akhir, iaitu "Allahumma 'auzubika min 'azaabi jahannam, wa 'auzubika min 'azaabil qabri, wa 'auzubika min fitnatil mahyaa wal mamaat, wa min syarri fitnatil masiihid dajjal", maksudnya:

"Ya Allah ya tuhanku, aku berlindung dengan-Mu dari seksa Jahanam, dan aku berlindung denganMu dari seksa kubur, dan aku berlindung dengan-Mu dari fitnah orang yang hidup atau mati, dan aku berlindung denganMu dari fitnah al-Masih Dajjal"

Sungguh jika kita lihat secara teliti, dan kita pelajari dengan minda dan hati yang terbuka, kita akan dapati terlalu banyak doa dan amalan yang membawa kepada mustajabnya doa kita. Andai kita cuba beramal dengan semuanya, nescaya kita tidak akan mampu untuk beristiqamah dengannya. Kerana itu kita katakan bahawa ibadah baginda S.A.W adalah ibadah yang paling sempurna.

Penulis mengharapkan agar kita semua dapat berbalik kepada keindahan sunnah nabi S.A.W, dan kembali mengikuti cara dan saranan baginda S.A.W di dalam beribadah, agar doa kita tergolong di dalam doa-doa yang mustajab.

Ya Allah... Aku berlindung dengan-Mu dari doa yang tidak mustajab dan dari ilmu yang tidak berguna.

Ya Allah... Aku berlindung dengan-Mu dari najis bid'ah dan syirik.

Ya Allah peliharalah kemurniaan aqidah kami kepada-Mu.

Selawat dan salam ke atas rasul junjungan Muhammad S.A.W, ahli keluarga baginda dan sahabat handai baginda yang beroleh kebaikan di sisi-Mu.

Ya Allah... Bimbinglah kami selama mana kami hidup bernafas, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang mendapat kebaikan di sisi-Mu.

Ya Allah... Sudahkah aku sampaikan pesanan-Mu...?

- Artikel iLuvislam.com

Dunia atau Akhirat? Ataupun Kedua-duanya?



Segala syukur dan puji-pujian kepada Allah Tuhan semesta alam. Tuhan yang berhak disembah, dipuji dan dicintai. Kami berlindung kepada Allah dari segala macam kejahatan dan tipu daya Syaitan. Dari segala dosa dan noda yang telah kami lakukan. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah semata-mata dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhamad adalah pesuruh Allah.

Selawat dan salam ke atas baginda S.A.W Sesungguhnya barang siapa yang diberikan oleh Allah petunjuk, maka tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barang siapa yang disesatkan oleh Allah, maka tiada siapa yang dapat memberikannya petunjuk.

Ilmu adalah sumber pengetahuan. Semua manusia di muka bumi ini perlukan ilmu tidak kira siapa pun dia, pasti ada suatu ilmu dalam dirinya. Lihat sahaja seorang anak kecil yang terbaring kemudiannya belajar merangkak sehinggalah mampu berjalan.

Setiap hari anak kecil itu akan memikirkan bagaimana dia ingin merangkak dan bagaimana ingin berjalan. Tanpa ilmu bagaimana mungkin anak kecil mampu berjalan? Begitu juga dengan manusia lainnya. Semuanya memerlukan ilmu untuk kelangsungan hidup.

Islam juga mementingkan ilmu buat umat-Nya. Masih ingatkah kita pada firman Allah yang mula-mula diturunkan kepada Rasulullah S.A.W menerusi Surah al-Alaq ayat pertama?

Allah berfirman : "Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)" [Al-Alaq:1]

Perumpamaan ilmu itu adalah umpama cahaya yang menyinari hati dan akal fikiran. Tanpa hadirnya ilmu maka hati dan fikiran berada dalam kegelapan dan kesesatan. Sebab itulah Islam menekankan aspek keilmuan kepada umat-Nya kerana ilmu itu dapat diaplikasi dan digunakan untuk kemaslahatan agama, dunia dan akhirat. Perlu diingat ilmu yang dituntut itu adalah ilmu yang baik, berguna dan bermanfaat.

Abu Darda' berkata: "Aku pernah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: "Sesiapa yang menempuh perjalanan untuk menuntut ilmu, maka Allah memudahkan perjalanannya menuju Syurga. Malaikat akan menaungi penuntut ilmu dengan sayapnya kerana redha terhadap perkara yang dia lakukan. Semua penghuni langit dan bumi akan memohon ampun bagi mereka yang memiliki ilmu pengetahuan, demikian juga ikan di dalam air. Keutamaan seseorang yang berilmu pengetahuan atas seorang ahli ibadah bagaikan bulan dengan sekumpulan bintang. Ketahuilah bahawa ulama' adalah pewaris para Nabi. Dan para Nabi tidaklah mewariskan wang dinar mahupun dirham (harta), melainkan ilmu. Maka sesiapa yang mengambilnya, maka dia telah mendapatkan keberuntungan yang sangat besar." (Hadis riwayat Abu Daud, Tirmizi, Ibnu Majah, Baihaqi, dan Ibnu Hibban)

Berdasarkan hadis di atas, ternyata ilmu itu adalah harta yang sebenar dan berharga melebihi kekayaan dan kemewahan yang sementara. Ilmu adalah warisan para nabi. Para nabi membawa ilmu yang diilhamkan dari pemilik segala ilmu iaitu Allah S.W.T Biarpun para nabi membawa ilmu agama yang suci lagi mulia, tidaklah bermakna ilmu selain dari ilmu agama itu adalah sia-sia. Semua ilmu yang baik itu ada manfaatnya, tiada yang sia-sia. Cuma yang menjadikan ilmu itu sia-sia dan tiada harga apabila ilmu duniawi itu ditekankan lebih daripada ilmu Akhirat. Kadang-kala kita terlalu membanggakan ilmu dunia sehingga mengabaikan ilmu yang akan menentukan nasib kita di Akhirat nanti.

Muhasabahlah diri sejenak, sedalam mana ilmu akhirat kita berbanding ilmu duniawi yang kita belajar sejak dari sekolah hingga ke universiti. Adakah kedua-duanya seimbang? Atau adakah ilmu duniawi menguasai hidup kita melebihi ilmu ukhrawi? Tepuk dada, tanyalah Iman kita. Punyai ilmu agama tidak bermakna kita tidak boleh menjadi seorang doktor, jurutera, usahawan dan sebagainya. Betulkan persepsi kita dan hayatilah ilmu Islam yang indah dan luas aspeknya. Maka dengan itu, ummah mampu melahirkan doktor, jurutera mahupun usahawan yang soleh dan solehah. Itulah yang terbaik.

Mari kita renung mesej yang besar maknanya dalam sebuah kisah ketika Rasulullah S.A.W telah wafat, disebutkan bahawa Abu Dzar al-Ghiffari r.a, pada suatu hari dia pergi ke pasar di Kota Madinah. Ketika itu dia merenung dan melihat masyarakat di sekitar kota itu penuh dengan kekacauan dan kesibukan. Mereka menyibukkan diri dengan pelbagai urusan duniawi dan menjadikan akal mereka sebagai Tuhan. Melihat peristiwa itu maka timbullah rasa takut dan bergetarlah hati Abu Dzar melihat kelalaian mereka. Lantas Abu Dzar pun berteriak "Wahai sekalian manusia! Apa yang sedang kamu lakukan dengan harta dan perdagangan kamu sehingga tidak memerhatikan peninggalan dan warisan Nabi Muhammad S.A.W yang sedang dibahagikan di masjid ketika ini?"

Sebaik sahaja mendengar teriakan keras Abu Dzar itu, berlarianlah mereka semua ke Masjid Nabawi dengan harapan bahawa mereka dapat memperolehi harta warisan tersebut. Sesampainya mereka semua di masjid suci itu, mereka terkejut kerana tiada satu pun harta seperti yang dikhabarkan oleh Abu Dzar sebentar tadi. Hanya yang ada adalah mereka yang sedang sujud kepada Allah, serta para ilmuan dan murid-mudridnya.

Mereka pun kembali kepada Abu Dzar dan bertanya "Wahai Abu Dzar, kami tidak menjumpai satu harta warisan pun seperti yang engkau khabarkan melainkan hanyalah orang yang beribadah dan mempelajari ilmu!" Abu Dzar pantas menjawab, "Itulah sebenarnya warisan Nabi Muhammad S.A.W kepada kita semua."

Sama-samalah kita mengingatkan diri kita yang alpa ini. Dalam kesibukan kita mengejar ilmu dunia yang tidak terbatas, jangan sesekali kita lupa keutamaan ilmu suci yang dibawa oleh Rasulullah. Moga ilmu yang kita miliki menjadikan kita lebih dekat kepada Allah S.W.T
Insya-Allah.

Telah ku sampaikan
Akan pesan dan ingatan
Dari ilham Pemilik Ilmu yang Abadi
Kepada sekalian pewaris ilmu
Sekalian saudaraku
Agar kita beringat
Walau siapa pun kita
Kita milik Dia Yang Hakiki.

-Artikel Iluvislam.com

Tunggu Dapat Hidayah?

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri." (Surah ar-Ra'd 13:11)

Di sini, kita mengerti bahawa perubahan itu akan wujud melalui usaha daripada diri kita sendiri. Jikalau kita tidak memulakan langkah untuk berubah, maka kita akan selamanya berada di takuk yang lama.

"Insya-Allah nanti bila sudah dapat hidayah saya akan pakai tudung."

Ini hanya contoh jawapan yang 'cliche' bila ditanya mengenai pemakaian tudung. Ada banyak lagi ayat-ayat yang sering diungkapkan kita demi untuk menepis segala soalan masyarakat mengenai diri kita atau sikap kita. Walhal hidayah tidak datang kepada kita, kita yang sepatutnya mencari hidayah Allah!

"Dah tua nanti aku berubah lah weh!"

Ini lagi satu contoh. Kalau hati sendiri telah set kan bahawa anda memang tidak mahu berubah, bagilah seribu tahun pun kehidupan.. anda rasa anda akan berubah? Tidak sama sekali!

Untuk berubah, individu tersebut perlukan keinginan, ketetapan dan keteguhan hati.

Kenapa kita lihat banyak manusia yang mahu berubah ke arah kebaikan kecundang di tengah jalan transformasi?

Ini berkemungkinan besar kerana mereka punyai keinginan untuk berubah tetapi hati mereka tidak cekal dan tidak tetap untuk berubah!

Namun, jika hendak seribu daya jika tidak mahu seribu dalih. Hati itu asbab dan punca. Jika ia kuat maka akan kuatlah kita, jika tidak, kalahlah kita.

Berubah itu kaitannya hati dan jika hati itu tidak kuat, punya nawaitu yang tidak tetap dan masih ada walau sekelumit keinginan untuk mengulangi sikap lampau kita, maka susahlah manusia itu untuk menetapkan diri pada perubahan.

Hati itu juga berkait dengan anggota. Anggota itulah yang bakal meneguhkan hati. Demikian, apabila bertemu keinginan yang lama, mata tidak boleh memandang, kaki tidak boleh mengekori dan tangan tidak boleh beragak-agak untuk menyentuh atau melakukan.

Sekali lagi saya ingin tegas kan kepada saudari dan saudara marilah kita hayati akan maksud di sebalik Firman Allah ini:

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri."
Surah ar-Ra'd 13:11

Sekiranya jalan yang kita lalui itu sukar ketika kita ingin berubah, maka sebenarnya itu lebih baik daripada anda kembali bergelumang dengan selut dan lumpur di jalan lama. Ingat, ini hanya dunia. Berubahlah ke arah kebaikan untuk Akhirat yang kekal abadi. Kitalah penentu nasib kita di sana!

- Artikel iluvislam.com