Thursday, August 2, 2012 | By: fEnDi nEtWoRk

Zakat fitrah dan Ramadan



Sesungguhnya, Ramadan adalah bulan yang amat dinanti-nantikan, bukan sahaja oleh kita, bahkan oleh Nabi Muhammad SAW demi melestarikan amal kebajikan. Ibnu Abbas r.a pernah memberitahu: Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan dan lebih besar kedermawannya pada bulan Ramadan. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Zakat fitrah adalah secebis bukti kedermawanan kita. Seandainya jumlah zakat fitrah yang kecilpun ada orang yang masih berkira-kira dan bakhil menunaikannya bagaimana pula mereka mahu menunaikan zakat harta yang lebih besar nilainya?

Hakikatnya, di sisi Islam, sememangnya zakat itu terbahagi dua, iaitu zakat harta (mal) dan zakat fitrah. Zakat fitrah juga dikenali sebagai zakat badan, kerana ia diwajibkan oleh Allah SWT bagi setiap individu Muslim tanpa mengira sama ada kecil, dewasa, lelaki, wanita, merdeka ataupun hamba. Selagi mana mereka dapat hidup pada dua masa, yakni Ramadan dan Syawal walaupun sebentar, maka wajiblah zakat fitrah ke atas mereka.

Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a, bahawa: "Rasulullah SAW memerintahkan untuk mengeluarkan zakat fitrah kepada anak kecil, orang dewasa, orang merdeka dan hamba sahaya daripada orang-orang yang kamu sediakan makanan mereka (tanggunganmu)." (riwayat Daruquthni daripada Ibnu Umar r.a)

Di samping itu, uniknya zakat fitrah kerana ia hanya diwajibkan pada bulan Ramadan atau lebih tepat lagi pada Hari Raya Aidilfitri sahaja. Ia tiada pada bulan-bulan yang lain. Pada zaman dahulu, umat Islam memberikan zakat fitrahnya dalam bentuk makanan asasi kepada orang-orang fakir dan miskin, khususnya pada pagi hari raya. Namun, dek perubahan zaman, maka fuqaha mengharuskan ia ditukar kepada bentuk tunai demi memudahkan urusan penyimpanan dan pengagihannya.

Maka, atas dasar itu, memberikan zakat fitrah paling afdal ialah pada pagi hari raya. Yakni sebelum solat sunat Aidilfitri didirikan sehingga ada yang melambatkan solat sunat berkenaan, demi memberikan kesempatan umat Islam menunaikan zakat fitrah.

Namun, tidaklah boleh dilewatkan sehingga gelincir matahari (masuk waktu Zuhur) dan menurut sunah, eloklah dilakukan solat sunat Aidilfitri itu pada waktu matahari di sepenggalahan (kira-kira jam 8.30pagi - 9pagi) (Fiqh al-Manhaji al-Syafie, hal. 334).

Walau bagaimanapun, amalan zakat fitrah di Malaysia ia boleh ditunaikan sejak hari pertama Ramadan. Ia lebih sesuai, memandangkan kesibukan seseorang mungkin menyebabkan mereka tidak sempat menunaikannya atau paling bahaya terlupa menunaikannya sehingga menjadi berdosa.

Sebenarnya, zakat fitrah mempunyai maksud dan hikmah yang tersendiri. Islam mensyariatkan zakat fitrah, agar setiap orang yang berpuasa dapat menghayati watak sebenar manusia yang mahu kembali kepada fitrah.

Apabila berpuasa, maka umat Islam dididik untuk menghayati erti kesusahan, kelaparan dan menginsafi kehidupan dan zakat fitrah seolah-olah menjadi kemuncak kepada menghayati kesusahan dan erti kelaparan itu.

Akhirnya, Ramadan wajib dilunasi dengan memberikan sedikit kekayaan yang dimiliki kepada orang miskin yang hakikatnya sentiasa merasai keperitan, dan itulah namanya zakat fitrah.

Sebab itulah, orang yang berpuasa dengan sepenuh hati, maka mereka akan benar-benar memahami kewajipan zakat fitrah ini dan akan segera menunaikannya, demi mendapat ganjaran besar di sisi Allah SWT.

Ibnu Abbas menyatakan: "Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang berpuasa daripada ucapan yang tidak ada manfaatnya dan kata-kata yang kotor, serta untuk memberikan makanan kepada orang-orang miskin." (riwayat Abu Daud).

Oleh kerana Islam adalah agama fitrah, maka asas kepada fitrah ini ialah saling ambil tahu, saling berkongsi dan saling bahu-membahu, khususnya memberikan rasa kegembiraan kepada mereka yang serba kekurangan di hari lebaran.

Nabi Muhammad SAW turut menukilkan bahawa setiap Muslim itu ibarat satu bangunan yang saling menguatkan antara satu dengan yang lainnya sebagaimana eratnya genggaman jari-jemari (riwayat Bukhari dan Muslim).

Maka kedatangan Ramadan Al-Mubarak inilah masanya kita menunjukkan tingginya hemah dan santunnya kita sebagai seorang Muslim sejati, yang mengasihi sesama saudaranya dengan keikhlasan dan kepatuhan kepada agama. Wallahua'lam.

Lipat ganda semangat timba ilmu



Al-Quran menyediakan prinsip arahan supaya manusia memandu kehidupan untuk dirinya dan bermasyarakat. Menepati semangat itu, usaha menimba ilmu dari al-Quran untuk dijadikan panduan dalam semua aspek kehidupan patut dilipatgandakan.
Umat Islam perlu berkeyakinan usaha mereka tidak memadai dengan membaca al-Quran pada Ramadan ini. Bahkan umat Islam dituntut meningkat budaya membaca, menyelidik dan menghasilkan formula menyusun kehidupan menepati arahan al-Quran supaya berdaya maju dan progresif.

"Kesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang daripada perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan”
Justeru, usaha ke arah matlamat itu perlu dilipat ganda khususnya pada Ramadan. Pendekatan al-Quran menyusun kehidupan manusia sama ada di peringkat individu dan masyarakat sangat bersesuaian dengan fitrah kemanusiaan mencapai kemuliaan hidup di dunia seterusnya di akhirat.

Dalam konteks itu salah satu aspek perlu diberi perhatian oleh umat Islam ialah kemantapan amalan kerohanian semoga dapat mendampingi Penciptanya melalui ibadat puasa.

Manusia dicipta Allah mengandungi roh, jasad dan akal. Kesemua keperluan untuk memaju komponen manusia ini perlu dipenuhi tanpa pengecualian dan dimajukan secara sepadu.

Allah mengingati manusia dalam firman: Dan jiwa/roh serta penyempurnaannya (ciptaannya) maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya, sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa/roh itu, dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.” (Surah asy-Syams, ayat 7-10)
Roh manusia dicipta Allah untuk membeza perkara benar dengan yang batil. Justeru, kejayaan manusia akan dicapai apabila rohnya sentiasa berada dalam keadaan suci. Untuk mengenali perkara baik, puasa antara ibadat yang mampu mendidik roh manusia ke arah pencapaian itu.

Konsep meningkat kekuatan kerohanian manusia gagal difahami masyarakat sekular. Keruntuhan moral dan hilang pedoman hidup masyarakat sekular dewasa kini disebabkan putusnya hubungan manusia dengan Allah SWT.

Ibadat puasa melatih manusia menguasai dan membimbing nafsu kehaiwanannya semoga tunduk kepada sifat kemalaikatan yang terdapat dalam diri manusia. Islam berkeyakinan bahawa kejayaan membangun diri manusia, masyarakat dan negara bergantung rapat ketinggian akhlak individu.

Akhlak tinggi manusia dalam semua aspek termasuk aktiviti ekonomi dan sebagainya akan terjamin jika sifat semula jadi pada tiap diri manusia iaitu sifat kemalaikatan dapat membimbing sifat kebinatangan.

Contohnya, usaha memaju ekonomi masyarakat perlu dicapai melalui kemantapan penghayatan akhlak. Bahkan kemantapan kerohanian manusia akan mengurangkan ketidakadilan ekonomi berlaku. Roh yang suci akan mendokong usaha keadilan dalam aktiviti ekonomi bermasyarakat.

Dalam menyusun sistem ekonomi, Islam menganjur semoga prinsip keadilan dapat diamalkan. Daripada pendekatan itu lahirlah prinsip al’adl wal ihsan.

Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang daripada perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan.” (Surah an-Nahl, ayat 90)


Aspek ekonomi disebut dalam istilah positif dalam al-Quran tetapi berbeza dengan pendekatan ideologi sistem ‘materialisme’ (kebendaan). Bagi Islam, usaha memajukan ekonomi adalah untuk meningkat kualiti kehidupan manusia, dimensi penting memartabatkan ummah.

Budaya rakus kepada harta bukan pendekatan yang mampu membina daya juang berkekalan, bahkan ia menimbul kehancuran kepada diri dan masyarakat. Berasaskan budaya rakus akan lahirlah pegangan hedonisme iaitu memuas nafsu.

Semangat ibadat puasa turut menganjur kepada penghayatan semangat keadilan dalam kehidupan bermasyarakat, di mana segala bentuk manipulasi dan penindasan dalam kegiatan serta penyusunan ekonomi ditegah.

Semangat ini mengarah kepada penghayatan prinsip al adl wal ihsan dalam penyusunan ekonomi bermasyarakat dan bernegara. Ibadat puasa mampu membina individu melalui sikap adil, muafakat dan persaudaraan, ciri asas kepada kestabilan dan peningkatan prestasi ekonomi masyarakat.



Penulis Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Khutbah Jumaat: Al-Quran ajak berfikir, kaji alam semesta

Peristiwa Nuzul al-Quran, turunnya ayat al-Quran yang pertama kepada Nabi Muhammad SAW seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap seperti kitab al-Quran yang ada pada hari ini. Peristiwa ini berlaku pada tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW ketika Baginda sedang beribadat di Gua Hira.

Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW, maka ia memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutama yang serius memikirkan rahsia al-Quran.
Firman Allah SWT: “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan perbezaan (antara yang benar dan yang salah.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Menurut Imam al-Qurthubi, ayat ini menjelaskan Allah SWT menurunkan al-Quran untuk menjadi petunjuk dan penjelasan bagi umat manusia, membuat aturan kehidupan dan membina peradaban supaya menjadi umat yang dapat membezakan antara halal dan haram, kebenaran dan kebatilan.

Al-Quran dimanfaatkan sebagai sumber saintifik dengan mengajak manusia berfikir dan mengkaji alam semesta termasuk diri sendiri. Kajian demi kajian dilakukan manusia zaman moden membuktikan wujudnya pencipta kepada alam ini iaitu Allah SWT.

Antara contoh saintis yang mengkaji al-Quran secara terperinci dari perspektif sains moden ialah Dr Maurice Bucaille dari Perancis. Beliau menulis buku bertajuk Quran, Bible dan Sains menyatakan, “Sesungguhnya al-Quran terbukti keunggulannya dari sudut sains hanya di zaman sekarang setelah sains mencapai satu tahap yang agak tinggi.”

Satu lagi contoh kajian berkenaan kejadian manusia membuatkan ahli embriologi seperti Profesor Keith Moore berasa kagum dengan apa diutarakan al-Quran menepati apa yang baru ditemui di abad ini.
Begitu juga dengan geologis yang membuat kajian, mengatakan jejari bumi ini ialah lebih kurang 3,750 batu dan tanah bahagian kita berpijak ini amat nipis dalam lingkungan 30-35 kilometer.

Kebarangkalian bumi untuk bergegar dan bergerak-gerak itu amat tinggi.

Maka kejadian gunung ganang sebagai pasak, menetap teguhkan tanah ini dan memberi ia kestabilan. Al-Quran menyebut fenomena: “Bukankah Kami telah menjadikan bumi (terbentang luas) sebagai hamparan? Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya?” (Surah an-Naba, ayat 6-7)

Dalam buku bertajuk “Earth’, salah seorang penulisnya, Frank Press yang juga Presiden Academy of Science di Amerika Syarikat selama 12 tahun menunjukkan bagaimana gunung yang kita lihat itu hanya sebahagian kecil saja di bumi.

Bahagian bawah gunung ini tertanam dalam bumi seperti satu pasak. Menurut beliau lagi, gunung gunung memainkan peranan penting dalam menstabilkan bumi tempat kita berpijak.

Hakikat kajian saintifik ini telah diterangkan dalam firman Allah SWT: “Dan Kami jadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya, supaya bumi itu tidak menggegar mereka; dan Kami jadikan di celah-celahnya jalan-jalan laluan, supaya mereka mendapat petunjuk.” (Surah al-Anbiya, ayat 31)

Justeru, umat Islam diseru menjaga alam ini dengan sebaiknya, janganlah terlalu rakus mengejar pembangunan dengan mengenepikan aspek keselamatan alam seperti bukit-bukau ditarah dan diruntuhkan, pembakaran terbuka berleluasa, pembalakan haram menjadi-jadi dan pembuangan sampah di mana-mana.

Akibatnya sistem ekologi dan keseimbangan alam semesta akan tergugat. Sesungguhnya Maha Tinggi dan Agungnya kuasa Allah SWT yang telah memberi petunjuk dan al-Quran sebenar-benarnya dari Allah, tuhan Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Sunday, January 15, 2012 | By: fEnDi nEtWoRk

Mengapa Rasulullah melarang minum sambil berdiri?

Mengapa Rasulullah melarang minum sambil berdiri?





Dalam hadis disebutkan “janganlah kamu minum sambil berdiri”. Dari segi kesihatan. Air yang masuk dengan cara duduk akan disaring oleh sfinger. Sfinger adalah suatu struktur muskuler (berotot) yang boleh membuka (sehingga air kencing boleh keluar) dan menutup.
Setiap air yang kita minum akan disalurkan pada ‘pos-pos’ penyaringan yang berada di ginjal. Jika kita minum sambil berdiri. Air yang kita minum otomatik masuk tanpa disaring lagi.
Terus menuju kandungan air kencing. Ketika menuju kandungan air kencing itu terjadi pengendapan di saluran sepanjang perjalanan (ureter). Kerana banyak sisa-sisa yang melekat di ureter inilah awal mula munculnya bencana.

Benar, penyakit kristal ginjal. Salah satu penyakit ginjal yang sungguh berbahaya.Disyaki akibat susah kencing, jelas perkara ini berhubungan dengan saluran yang sedikit demi sedikit tersumbat tadi.

Dari Anas r.a. dari Nabi saw.: "Bahawa ia melarang seseorang untuk minum sambil berdiri". Qatadah berkata, "Kemudian kami bertanya kepada Anas tentang makan. Ia menjawab bahawa hal itu lebih buruk."

Pada masa duduk, apa yang diminum atau dimakan oleh seseorang akan berjalan pada dinding usus dengan perlahan dan lambat. Adapun minum sambil berdiri, maka ia akan menyebabkan jatuhnya cairan dengan keras ke dasar usus, melanggarnya dengan keras.
Jika ini terjadi berulang-ulang dalam waktu lama maka akan menyebabkan membesar dan jatuhnya usus, yang kemudian menyebabkan disfungsi pencernaan.
Adapun Rasulullah saw pernah sekali minum sambil berdiri, maka itu disebabkan ada sesuatu yang menghalangi beliau untuk duduk, seperti penuh sesaknya manusia pada tempat-tempat suci, bukan merupakan kebiasaan.

Manusia pada masa berdiri, ia dalam keadaan tegang, organ keseimbangan dalam pusat saraf sedang bekerja keras, supaya mampu mempertahankan semua otot pada tubuhnya, sehingga boleh berdiri stabil dan dengan sempurna.
Ini merupakan kerja yang sangat teliti yang melibatkan semua susunan saraf dan otot secara bersamaan, yang menjadikan manusia tidak boleh mencapai ketenangan yang merupakan syarat terpenting pada masa makan dan minum.

Ketenangan ini hanya boleh dihasilkan pada masa duduk, di mana saraf berada dalam keadaan tenang dan tidak tegang, sehingga sistem pencernaan dalam keadaan sedia untuk menerima makanan dan minum dengan cara cepat.
Makanan dan minuman yang dimakan pada masa berdiri, boleh memberi kesan pada refleksi saraf yang dilakukan oleh reaksi saraf kelana (saraf otak kesepuluh) yang banyak tersebar pada lapisan endotel yang mengelilingi usus.
Refleksi ini apabila terjadi secara keras dan tiba-tiba, boleh menyebabkan tidak berfungsinya saraf (vagal inhibition) yang parah, untuk menghantarkan detik mematikan bagi jantung, sehingga menyebabkan pengsan atau mati mendadak.

Begitu pula makan dan minum berdiri secara terus-menerus sangat membahayakan dinding usus dan memungkinkan terjadinya luka pada perut. Para doktor melihat bahawa luka pada perut 95% terjadi pada tempat-tempat yang biasa berlaku perlanggaran makanan atau minuman yang masuk.

Sebagaimana keadaan keseimbangan pada masa berdiri disertai pengecutan otot pada kerongkong yang menghalang jalannya makanan ke usus secara mudah, dan kadang-kadang menyebabkan rasa sakit yang sangat yang mengganggu fungsi pencernaan, dan seseorang boleh kehilangan rasa selesa semasa makan dan minum.

Diriwayatkan ketika Rasulullah s.a.w. dirumah Aisyah r.a. sedang makan daging yang dikeringkan diatas talam sambil duduk bertongkatkan lutut, tiba-tiba masuk seorang perempuan yang keji mulut melihat Rasulullah s.a.w. duduk sedemikian itu lalu berkata: "Lihatlah orang itu duduk seperti budak."
Maka dijawab oleh Rasulullah s.a.w.: "Saya seorang hamba, maka duduk seperti duduk budak dan makan seperti makan budak." Lalu Rasulullah s.a.w. mempersilakan wanita itu untuk makan.
Adapun duduk bertelekan (bersandar kepada sesuatu) telah dilarang oleh Rasulullah sebagaimana sabdanya, "Sesungguhnya Aku tidak makan secara bertelekan" (HR Bukhari).
Tuesday, January 10, 2012 | By: fEnDi nEtWoRk

Dosa meninggalkan solat

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN


SEMUA orang yang mengaku beragama Islam sebenarnya sedar tentang kewajipan melakukan solat. Namun, ramai yang kesedarannya hanya bermain di hujung lidah sahaja. Tidak turun ke hati dan dizahirkan dengan perbuatan.

Maka, bukan suatu yang ganjil sekiranya kita dapati orang yang beragama Islam, namun gagal mendirikan solat. Mungkin kerana malas ataupun jahil akan akibatnya.

Sekiranya Islam itu diumpamakan sebagai rumah, maka tiang yang menjadi tunjang kepadanya ialah solat. Demikianlah perumpamaan yang telah dibuat oleh Rasulullah SAW dalam menyatakan peri pentingnya solat dalam kehidupan beragama seseorang muslim.

Ia sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Solat itu tiang agama, sesiapa mendirikan solat maka dia telah mendirikan agama dan sesiapa meninggalkan solat dia telah meruntuhkan agama”. (riwayat Baihaqi)

Justeru, sesiapa yang meninggalkan solat walaupun mengerjakan ibadah-ibadah yang lain seolah-olah memiliki rumah yang indah dan mewah, tetapi tidak mempunyai tiang yang kukuh untuk menjaminnya kekal teguh.

Maka, lama-kelamaan rumah tersebut akan runtuh dan musnah menyembah bumi. Perumpamaan ini begitu signifikan sekali sekiranya dikaitkan dengan realiti masyarakat Islam yang ada pada hari ini.

Bukan sedikit yang meninggalkan solat walaupun tetap melakukan ibadah yang lain seperti menunaikan zakat dan berpuasa di bulan Ramadan.

Sebahagian mereka pula pada umumnya tidak meninggalkan solat, tetapi lalai serta alpa dalam mengerjakannya dengan kata lain suka melengah-lengahkan solat dan bersolat di akhir waktu.

Sebahagian lagi walaupun mendirikan solat namun gagal untuk menumpukan hati dengan penuh khusyuk dan tawaduk ketika melakukan solat. Solat hanya menjadi rutin biasa dalam kehidupannya tanpa memberikan kesan yang positif kepada keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.

Bahkan, semakin hari mereka semakin jauh dari agama Allah SWT. Akhirnya, di atas kealpaan dan kelalaian ini, maka mereka digolongkan dalam neraka bersama dengan azab yang tidak terperi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Kecelakaanlah bagi orang yang solat, iaitu orang yang lalai daripada solatnya. (al-Maa’un: 4-5)

Allah SWT juga berfirman yang bermaksud: (Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar? Orang-orang yang bersalah itu menjawab: Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang. (al-Muddathir: 43)

Meninggalkan solat merupakan dosa yang boleh menghampirkan seseorang itu dengan kekufuran. Ini adalah kerana, solat adalah penghubung seseorang hamba kepada penciptanya.

Sekiranya solat tidak dikerjakan, maka terputuslah hubungan dengan Allah SWT. Bukti seseorang itu masih beriman kepada Allah SWT ialah solat. Ini dapat dilihat dari firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Aku ini Allah, tidak ada tuhan selain Aku. Dan dirikanlah solat itu semata-mata untuk mengingati Daku. (Taha: 14)

Bahkan, ada beberapa hadis yang menyatakan bahawa seseorang itu boleh dianggap kufur sekiranya meninggalkan solat. Antaranya, hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah r.a menyatakan, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Antara seorang lelaki Muslim dengan syirik dengan kufur kepada Allah, ialah solatnya yang ditinggalkan. (riwayat Muslim)

Hadis lain yang memperkatakan tentang kekufuran akibat meninggalkan solat dengan sengaja asalah: “Perjanjian antara kami dengan mereka itu adalah solat, maka sesiapa yang meninggalkannya, maka kufurlah dia”.

Namun, terdapat perbezaan pandangan di kalangan para ulama berhubung hukum meninggalkan solat dengan sengaja, sama ada kufur atau berdosa besar.

Pandangan-pandangan ini boleh dibahagikan kepada dua, iaitu:

1. Golongan pertama berpandangan bahawa orang yang meninggalkan solat secara sengaja, namun tidak mengingkari tentang kewajipannya dikira sebagai berdosa besar (fasiq). Tetapi dia tidak dianggap kafir.

Sebaliknya, orang yang meninggalkan solat dalam keadaan dia menafikan kewajipannya akan dianggap sebagai kafir.

2. Golongan kedua pula berpandangan bahawa meninggalkan solat secara sengaja atau malas boleh menyebabkan seseorang itu menjadi kafir, bukan berdosa besar.

Justeru, orang yang meninggalkan solat itu perlu untuk mengucap kalimah syahadah semula dan bertaubat dengan dosa kekufuran tersebut.

Daripada kedua-dua pandangan ini, pandangan pertama dilihat lebih tepat. Ini kerana, perkataan kufur atau kafir dalam hadis-hadis tersebut bermaksud melakukan dosa besar.

Walaupun begitu, ini bukanlah bermaksud kita boleh meninggalkan solat sewenang-wenangnya. Ia tetap dosa besar dan boleh mengundang murka daripada Allah SWT.

Solat yang ditunaikan secara sempurna seperti yang disunnahkan oleh Rasulullah SAW menjadi asas penting kepada kecemerlangan didunia dan di akhirat.

Menerusi solat seseorang itu dididik dan dilatih agar sentiasa mengingati Allah, memperbanyakkan zikir, istiqamah dengan amalan soleh, berdisiplin dengan waktu, menjauhkan kemungkaran dan sebagainya.

Pendek kata, dengan mendirikan solat dan menghayati makna di sebalik solat itu menjadi asas kepada kebahagiaan hakiki di dunia dan di akhirat.

Tuesday, December 27, 2011 | By: fEnDi nEtWoRk

~Azam baik tidak perlu tunggu tahun baru untuk diterap~

Oleh : Lokman Ismail

ISLAM tidak menegah acara sambutan tahun baru asalkan aktiviti sambutan yang dilakukan tidak bercanggah dengan syariat Islam. Ironinya, amat mendu-kacitakan sambutan tahun baru kebanyakannya bercanggah dengan syariat Islam dan budaya Melayu. Banyak acara hiburan, tari menari, percampuran bebas lelaki perempuan, minum arak dan keriangan mengasyikkan.


Fenomena ini perlu dibendung, bukan saja masa sambutan, bahkan pada bila-bila masa. Islam mementingkan hidup berlandaskan syariat untuk mencegah perkara buruk.
Muda mudi kita terikut-ikut dengan budaya masyarakat lain yang berpunca daripada kelemahan pegangan akidah. Pengaruh asing yang masuk melalui media massa dan pengalaman hidup di luar negara, serta kegagalan menanam kefahaman agama menjadi punca keruntuhan moral anak muda yang semakin parah.

Dan syaitan bermaksud menyesatkan manusia dengan sesat yang sejauh-jauhnya. - Surah an-Nisa, Ayat 60)

Syaitan sentiasa mengambil kesempatan menyesatkan manusia dengan pelbagai cara, termasuk aktiviti seperti sambutan tahunan itu. Tugas syaitan menjadi mudah kerana ‘budaya’ dan ‘kebiasaan’ diamalkan setiap tahun menjadi ikutan tanpa syaitan perlu berkerja keras memujuk manusia melakukan kejahatan dan dosa.

Syaitan mahu menyesatkan seseorang dengan kesesatan yang paling berat. Sebab itu setiap kejahatan yang dilakukan akan berulang dan ditambah pula dengan kesalahan lain. Manusia yang tunduk dengan hasutan syaitan merasa bangga melakukan kejahatan dengan alasan untuk rasa gembira.

Firman Allah bermaksud: “Dan syaitan bermaksud menyesatkan manusia dengan sesat yang sejauh-jauhnya.” – (Surah an-Nisa, ayat 60)

Hanya orang benar-benar beriman dan bertakwa mampu menangkis segala serangan dan hasutan syaitan biarpun tidak melihat di mana syaitan itu berada. Hidup dalam era moden ini mendedahkan manusia dengan jerat syaitan yang sesuai dengan budaya hidup diamalkan masyarakat lain.

Kejatuhan sesebuah bangsa dan negara berpunca daripada musnahnya nilai murni dalam amalan hidup rakyatnya. Masalah ini akan menjadi parah jika pencegahan dan pemulihan awal tidak dilakukan segera.

Sambutan tahun baru hendaklah dilakukan dengan menerima hakikat bahawa kita telah memasuki satu tempoh fasa baru yang memerlukan semangat, iltizam dan cita-cita untuk menghadapinya.

Orang Islam perlu menyambut tahun baru dengan identiti yang membanggakan. Jauhkan diri daripada terikut-ikut dengan sambutan yang dilakukan oleh penganut agama lain.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Bahawa sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka” (Hadis riwayat Abu Daud).

Harapnya kita semua termasuk dalam golongan yang beruntung di dunia dan akhirat. Masa yang berlalu dipenuhi dengan amal kebaikan dan masa bakal ditempuh pula dirancang untuk diisi dengan amalan yang lebih baik berbanding sebelumnya.

Allah memberi peringatan agar mementingkan masa. Maksud firman Allah: “Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh serta mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar.” – (Surah al-Ashr, ayat 1 hingga 3)

Tahun baru sepatutnya dijadikan sebagai kayu pengukur kepada apa yang sudah dilalui sepanjang setahun. Berdasarkan apa yang berlaku sepanjang tahun, mudahlah untuk merancang sesuatu lebih baik untuk tahun seterusnya.

Berusaha mengubah kepada lebih baik perlu menjadi matlamat Muslim setiap masa. Sesiapa yang hidupnya hari ini tidak berubah menjadi lebih baik daripada semalam, bermakna telah mempersia-siakan peluang hidup pada hari sebelumnya.

Namun, azam baik tidak seharusnya ditunggu hanya apabila sambutan tahun baru. Setiap masa kita dituntut untuk melakukan sesuatu yang lebih baik berbanding sebelumnya. Jika sudah melakukan kesilapan, segera memperbaikinya.

Sekiranya ia membabitkan dosa, sebaik menyedarinya hendaklah terus bertaubat yang menjadi lambang atau tanda tidak akan mengulangi perbuatan dosa itu. Salah satu tanda taubat ialah berazam meninggalkan amalan buruk dan beralih melakukan perbuatan baik.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang mukmin apabila melakukan dosa bererti ia membuat noda dengan sebuah titik hitam di dalam hatinya. Apabila ia bertaubat, meninggalkan perbuatannya, dan memohon ampun kepada Allah, maka hatinya jernih kembali. Tetapi apabila ia menambah dosanya, maka bertambahlah titik hitam itu hingga menutupi seluruh hatinya.” – (Hadis Riwayat Ahmad)
Monday, December 26, 2011 | By: fEnDi nEtWoRk

Azab pasti datang

SURAH ini diturunkan selepas surah al-Haqqah dan sebagai penyempurna gambaran tentang keadaan Hari Kiamat dan azab neraka. Surah ini dikatakan sebagai surah makiyah dengan ijmak ulama.

Firman Allah SWT: Seseorang telah meminta kedatangan azab yang akan menimpa. Orang-orang kafir, yang tidak seorangpun dapat menolaknya. (al-Maarij: 1-2)

Ahli tafsir berkata: Ayat ini diturunkan kepada al-Nadir Ibn al-Haris ketka berkata: Ya Allah, jika ini yang dibawa oleh Muhammad, adalah benar disisi-Mu, maka turunkan ke atas kami balasan hujan daripada batu. Inilah pendapat jumhur ulama termasuk Ibnu Abbas dan Mujahid. Ada pendapat lain menyatakan ayat ini diturunkan kepada Abu Jahal. Inilah pendapat al-Rabi' Ibnu Anas.

Berkenaan dengan yang meminta dan berdoa. Di sini ada tiga pendapat:

* Berdoa supaya dikenakan bala azab sebagai tanda mengejek.

* Berdoa supaya Allah menimpakan azab pada dirinya.

* Berdoa supaya azab benar-benar berlaku dan terjadi.

Al-Maghari berkata: Seorang peminta telah meminta kedatangan azab yang pasti berlaku, meskipun ia diminta atau tidak diminta (ia tetap akan berlaku). Ini disebabkan azab itu pasti menimpa orang kafir di akhirat kelak dan tidak ada seorang pun yang berdaya menghalang kedatangan azab tersebut.

Firman Allah SWT: (yang datang) dari Allah, yang mempunyai tempat-tempat naik. (al-Maarij: 3)

Ibnu Kathir berkata: Azab yang pasti berlaku kepada orang kafir daripada Allah. Adapun perkataan zi al-ma'arij ada beberapa tafsiran:

* Allah yang bersifat Maha Tinggi kedudukan dan kelebihan. Inilah pendapat Ibn Abbas.

* Tangga-tangga langit. Inilah pendapat Mujahid.

* Allah mempunyai banyak kelebihan dan nikmat. Inilah pendapat Qatadah.

Syed Qutub berkata: Surah ini menceritakan ada orang yang meminta ditimpakan azab dengan segera kemudian menjelaskan bahawa azab ini memang tetap berlaku dari satu segi ia telah ditetapkan dalam perencanaan Allah SWT. Dari segi yang lain, ia sudah hampir berlaku dan tiada siapa mampu menolak dan menghalangnya. Oleh itu, orang yang meminta supaya azab disegerakan merupakan orang yang malang sama ada individu atau berkumpulan.

Azab ketika itu disediakan kepada seluruh orang kafir termasuk orang yang meminta azab disegerakan. Hari itu berlaku dengan perintah Allah Yang Maha Besar. Di dalam surah yang lain menceritakannya.

Firman Allah SWT: Malaikat-malaikat dan Jibril naik (menghadap) kepada Tuhan dalam sehari yang kadarnya lima puluh ribu tahun. (al-Maarij: 4)

Berkenaan dengan 50,000 tahun ia merupakan masa pada hari Kiamat. Dan ia cukup panjang dan lama bagi orang kafir.

Seorang lelaki pernah bertanya kepada Ibnu Abbas berkenaan kadar masa ini. Lantas jawabnya: Ia merupakan dua hari yang Allah sebut kedua-duanya dan aku tidak suka untuk menyebut dalam kitab Allah apa yang tidak aku ketahui.

Syed Qutub berkata: Menurut pendapat yang terkuat, maksud kata-kata hari yang disebutkan dalam ayat ialah hari Kiamat kerana susunan ayat itu sendiri menentukan maksud tersebut.

Pada hari tersebut, para malaikat dan Jibril akan naik menghadap Allah SWT. Maksud kata-kata al-ruh pula menurut pendapat yang sama, iaitu Jibril kerana beliau juga dinamakan dalam surah-surah yang lain. Beliau disebut khusus selepas para malaikat kerana kedudukannya yang istimewa.

Demikianlah juga istiadat para malaikat menghadap Allah SWT dan menunjukkan betapa istimewanya hari tersebut. Kita tidak dituntut untuk mengetahui tugasan yang penting pada hari tersebut, bagaimana caranya malaikat naik bertemu Allah SWT kerana semuanya urusan alam ghaib dan tidak mungkin kita mengetahuinya.

Firman Allah SWT: Maka Bersabarlah kamu dengan sabar yang baik. Sesungguhnya mereka memandang siksaaan itu jauh (mustahil). Sedangkan kami memandangnya dekat (mungkin terjadi). Pada hari ketika langit menjadi seperti luluhan perak. (al-Maarij: 5-8)

Ibnu al-Jauzi berkata: Bersabarlah atas pendustaan mereka terhadapmu dan ayat ini dikatakan diturunkan sebelum ayat diperintahkan memerangi mereka kemudian dinasahkannya.

Ibnu Kathir berkata: Berlakunya azab dan Kiamat pada sangkaan orang kafir amat jauh dan hampir mustahil berlaku sedangkan orang yang beriman yakin bahawa kiamat amat hampir berlaku kecuali waktunya tidak diketahui hanya Allah sahaja.

Firman Allah SWT: Dan gunung-gunung menjadi seperti bulu (yang berterbangan). (al-Maarij: 9)

Al-Maghari berkata: Gunung-ganang hancur lebur, tidak tegak berdiri, gambarannya seperti bulu-bulu yang berterbangan ketika ditiup angin. Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan daripada al-Hasan: Gunung-ganang itu bergerak bersama angin, kemudian menjadi hancur seperti pasir dan pada saat itu seolah-olah bulu yang berterbangan kemudian hancur berkecai sehingga menjadi debu-debu yang bertebaran.

Firman Allah SWT: Dan tidak ada seorang teman akrabpun menanyakan temannya. Sedang mereka saling memandang. Orang kafir ingin kalau sekiranya dia dapat menebus (dirinya) dari azab hari itu dengan anak-anaknya, Dan isterinya dan saudaranya, Dan kaum keluarganya yang melindunginya (di dunia). Dan orang-orang di atas bumi seluruhnya kemudian (mengharapkan) tebusan itu dapat menyelamatkannya. (al-Maarij: 10-14)

Kebanyakan ulama berpendapat pada ketika itu seseorang kerabat tidak bertanya tentang kerabatnya walaupun bertemu kerana masing-masing bimbang hal mereka sendiri. Ini kerana rasa gerun dan takut keadaan suasana tersebut. Inilah pendapat Muqatil.

Syed Qutub berkata: Manusia pada hari tersebut sibuk dengan masalah masing-masing. Mereka tiada masa memikirkan masalah orang lain. Kedahsyatan malapetaka Kiamat itu memutuskan segala perhubungan dan memenjarakan setiap orang dengan halnya yang tersendiri. Mereka tidak menghiraukan sesiapa walaupun ternampak sahabat karib. Kesusahan dan ketakutan menyelubungi semua orang.

Bagaimana pula orang yang bersalah? Seluruh perasaannya diselubungi ketakutan dan dia bercita-cita menebuskan dirinya daripada diazab dengan anak-anaknya, isterinya dan saudara maranya yang selalu memberi perlindungan kepadanya dan kerana terlalu ingin menyelamatkan diri dia berangan-angan menebuskan dirinya dengan seluruh penghuni bumi.

Itulah gambaran yang terharu dan mendesak dalam melepaskan diri dari seksaan. Semuanya tertulis dalam pengungkapan ayat al-Quran yang sangat menarik untuk dihayati bersama.

Firman Allah SWT: Sekali-kali tidak dapat, sesungguhnya neraka itu adalah api yang bergolak. Yang mengelupas kulit kepala. Yang memanggil orang yang membelakang dan yang berpaling (dari agama), serta mengumpulkan (harta benda) lalu menyimpannya. (al-Maarij: 15-18)

Berkenaan dengan perkataan laza, ada beberapa pendapat:

* Al-Farra' berkata: Perkataan laza merupakan salah satu nama neraka jahanam yang demikian kerana mereka diheretnya.

* Ibn al-Anbari berkata: Dinamakan demikian kerana kepanasan dan sifat membuaknya.

* Ada pendapat menyatakan pada bahasa dengan nyalaan yang benar-benar hebat.

Sedangkan tafsiran berkenaan dengan kulit yang disiat ada empat pendapat:

* Kulit kepala. Inilah pendapat Mujahid.

* Kulit dan rupa wajah yang cantik. Inilah pendapat al-Hasan dan Abu al-'Aliyah.

* Tumit dan kaki. Inilah pendapat Ibn Jubair.

* Segala anggota seperti dua tangan, dua kaki dan kepala. Inilah pendapat al-Farra' dan al-Zajjaj.

Al-Maghari berkata: Tebusan itu tidak akan diterima meskipun dia membawa seluruh penghuni bumi atau membawa harta yang paling berharga, walaupun emas sepenuh bumi. Begitu juga jika dia membawa anaknya yang merupakan cahaya hatinya di dunia, atau membawa isteri dan keluarganya.

Syed Qutub berkata: Neraka itu memanggil mereka sebagaimana mereka pernah dipanggil di dunia untuk menerima hidayah Allah tetapi berpaling daripada panggilan itu. Akan tetapi apabila mereka dipanggil api neraka ketika itu tidak berupaya dan berdaya menidakkannya. Mereka tidak menghiraukan dakwah kerana sibuk dengan urusan dunia mengumpul harta tetapi hari yang dijanjikan dan neraka yang memanggil mereka, maka ketika itu tidak terdaya dan ada harapan untuk menidakkan kerana ia telah terpilih merasai azab yang telah dijelaskan oleh Allah SWT.

Api ini dapat menarik penghuni neraka yang telah diciptakan Allah SWT untuknya antara para penghuni padang al-Mahsyar (tempat berkumpul). Sememangnya telah ditakdirkan bahawa penghuni neraka ketika di dunia dahulu mengerjakan pekerjaan penghuni neraka. Mereka mengotorkan diri apabila berdusta dengan hati mereka. Kemudian meninggalkan amalan yang dilakukan dengan anggota badan malah mereka mengumpul harta dan menyimpannya tetapi mereka tidak menunaikan hak Allah SWT dan mereka pula disibukkan dengan harta itu sehingga lalai mengerjakan kewajipan-Nya sama ada dalam bentuk perintah atau larangan.

Semoga Allah menjadikan kita di kalangan hambanya yang soleh, seterusnya melayakkan kita menghuni syurga-Nya dan selamat daripada neraka-Nya. Amin.