Monday, December 26, 2011 | By: fEnDi nEtWoRk

~Sikap cuma penting diri tutup pintu pahala manusia~

Oleh Ashraf Muslim


Berkongsi pengetahuan, kesenangan dikurniakan bantu golongan memerlukan pertolongan

DALAM hidup ini kita tidak boleh terlalu berkira kerana ibarat roda, ada kala kita di atas dan tiba masanya dengan kehendak Allah, kita mungkin berada di bawah. Pada saat itu, jika tidak bersedia berdepan perubahan, kita bakal berdepan pelbagai konflik.
Pastinya kita biasa dengar nasihat, apabila berada di atas, jangan lupa mereka di bawah. Begitu juga apabila diberi rezeki lebih dan kesenangan, jangan lupa berkongsi atau bantu mereka yang memerlukan.
Zakat yang diwajibkan ke atas orang Islam membuka jalan kepada mereka yang diberi Allah kelebihan rezeki untuk meringankan beban golongan tidak berkemampuan. Zakat juga menjadi sumber menjana ekonomi, meluaskan peluang pendidikan dan mengeluarkan manusia daripada kesusahan.

Putaran kehidupan manusia mempunyai hikmah tersendiri. Sesiapa pernah susah dan tiba-tiba diberi peluang membina kehidupan lebih baik akan mudah memahami atau merasai keperitan dilalui mereka yang hidup dalam kemiskinan.

Keadaan itu menyedarkan mereka supaya tidak lupa diri seterusnya bersedia berkongsi kesenangan dengan orang susah. Tidak dinafikan, ada juga yang apabila sudah senang, mudah lupa diri. Harap-harap kita tidak termasuk dalam golongan itu.

Sebenarnya mereka yang terlalu berkira dalam hidup menutup pintu pahala kerana sikap suka berkira menunjukkan orang itu tidak mempunyai semangat bantu membantu atau bertolak ansur dan hanya mementingkan diri sendiri.
Bersaing dalam perniagaan tidak salah tetapi apabila wujud perasaan tidak mahu berkongsi, ini akan mengehadkan peluang orang lain untuk berkembang. Bukannya rugi jika kita berkongsi pengetahuan malah kerjasama boleh mengembangkan minda serta menggalakkan kreativiti.

Dalam perniagaan, siapa yang ringan mulut, rajin mencari dan mencipta peluang akan maju tetapi jika asyik berdengki atau cemburu dengan orang lain, kita tidak akan ke mana. Silap-silap, perniagaan boleh gagal kerana sibuk hendak menjatuhkan orang lain.

Bekerja juga sama, khususnya membabitkan organisasi besar yang memerlukan semangat kerjasama tinggi kerana bekerja secara berkumpulan jika tiada semangat tolong menolong, boleh menimbulkan banyak masalah.

Tidak hairan jika ada yang merasa dibuli, asyik-asyik aku, yang lain tidak pula disuruh. Apabila kerja secara berkumpulan, setiap ahli perlu bersedia untuk membantu apabila diminta dan jika rasa tidak mampu melakukan semua tugas, jangan malu meminta pertolongan orang lain.

Kata kunci ialah kerjasama dan jangan berkira. Lebih utama, melakukan sesuatu itu dengan ikhlas kerana Allah. Hanya dengan niat serta kesedaran itu, apa juga pekerjaan yang kita buat terasa lebih mudah serta bermakna.

Memang susah hendak memuaskan hati semua orang tetapi itu bukan penghalang bagi kita untuk berusaha dan sentiasa memperbaiki keadaan menjadi lebih baik. Dalam hidup ini akan ada masa kita mengharapkan pertolongan orang lain.

Sebab itu apabila ada yang meminta bantuan, kita tidak boleh bersikap terlalu berkira kerana takut nanti di saat kita memerlukan, orang lain pula berkira dengan kita.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa melepaskan salah satu kesusahan dunia daripada seorang mukmin, maka Allah akan melepaskan salah satu kesusahan hari kiamat darinya. Barang siapa memudahkan orang yang dilanda kesulitan, maka Allah SWT akan memudahkannya di dunia dan akhirat.” (Hadis riwayat Muslim)

Ada kala kami berdepan pelbagai kerenah pesakit yang datang mendapatkan rawatan di Al-Hidayah namun, ia sedikit pun tidak mematahkan semangat untuk terus merancang pembaharuan yang boleh meningkatkan keberkesanan perkhidmatan di masa depan.

Sedaya mungkin mereka yang datang untuk mendapatkan rawatan dilayan dan mengenangkan kesabaran mereka menantikan giliran, maka waktu operasi Al-Hidayah adalah fleksibel. Maklumlah, ada hari ramai yang datang, ada hari jumlahnya kurang tetapi selalunya memang ramai.

Jika terlalu berkira, kasihan kepada yang datang dan setia menanti giliran. Bagaimana perasaan mereka jika selepas penat menunggu, diminta pulang dan datang lain kali.

Tambahan, yang datang dari jauh, pasti akan kecewa dan silap hari bulan, timbul pula rasa marah.

Andainya masa tidak mengizinkan, petugas akan memaklumkan pesakit lebih awal supaya membuat temu janji pada tarikh lain. Itu pun ada kala ketelusan kami menimbulkan rasa kurang senang tetapi penolakan terpaksa dilakukan demi kebaikan semua pihak.

INFO: Masalah autistik
Lewat berkembang dan lambat belajar, baca surah Az-Zumar (ayat 24-37). Amalkan tiga kali sehari atau lebih dan berdoa kepada Allah semoga diberi penyembuhan.
Tuesday, December 20, 2011 | By: fEnDi nEtWoRk

~Mesti sensitif dan peka~

Mesti sensitif dan peka

Petikan : Imam Muda Hassan Adli Yahaya

DUNIA semakin hari semakin tua menanti saat sampai ke penghujungnya. Entah sampai bila bumi ini sanggup menahan kerakusan manusia yang semakin ghairah melakukan kerosakan demi kerosakan di atas ciptaan Allah ini.

Cuma kita yang hidup di dunia ini kadangkala seakan-seakan lupa mengenai kehidupan di alam sana iaitu akhirat. Disebabkan itu, kita mengambil mudah atau memandang remeh segala perkara dalam keadaan sedar atau tidak.


Namun, perlu kita peringatkan diri bahawa setiap amalan serta perbuatan kita di dunia akan disoal di depan Allah SWT di akhirat. Kita akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya.

Jika kita lihat situasi masa kini, antara paling kita abai serta ketepikan ialah soal halal dan haram. Soal halal dan haram bukan saja bercampur baur antara satu sama lain, malah lebih malang, ia dikaburkan segelintir pihak secara sengaja atau tidak.


Sedarilah bahawa setiap yang halal dan haram itu sebenarnya adalah jelas di sisi agama Allah.


Antara penjelasan mengenai halal dan haram adalah sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Abdullah An-Numan bin Basyir RA, bermaksud: “Aku mendengar Rasulullah bersabda: Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas, dan di antara kedua-duanya ada perkara yang samar-samar, kebanyakan manusia tidak mengetahuinya, barang siapa menjaga dirinya daripada yang samar-samar itu, bererti ia menyelamatkan agama dan kehormatannya, dan barang siapa terjerumus dalam perkara syubhah (samar-samar statusnya), ia terjerumus ke dalam perkara yang haram...” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) Namun, pada hari ini, tidak ramai umat Islam yang sensitif terhadap perkara membabitkan halal dan haram. Sebaliknya, kebanyakan kita menjadi sensitif apabila ada pihak menjadikan sesuatu perkara itu sebagai isu panas.

Seperti contoh, isu murtad yang hangat diperkatakan dan diperdebatkan sebelum ini. Namun, ia hanya bermusim dan selepas berlalu ‘musimnya’, kita mula melupakan isu ini.


Pada masa sama, kita selalu mengambil mudah perkara membabitkan halal, haram serta syubhah. Contoh paling mudah adalah dalam hal makan dan minum kita.

Kita boleh melihat di Internet, ada gambar personaliti tertentu bersama botol atau gelas berisi arak. Lebih malang lagi apabila personaliti itu beragama Islam.


Bukankah lebih elok jika beliau, atau mana-mana orang Islam, tidak menghadiri atau membabitkan diri di tempat yang boleh menimbulkan fitnah seperti itu.


Saya memahami jiwa orang muda yang sukakan hiburan tetapi perlu berhati-hati dengan saluran hiburan yang kita pilih. Jangan apabila mengetahui ia jelas haram, kita masih memilih jurang kerosakan berkenaan yang akhirnya mengundang padah tanpa kita sedari.


Dalam hal pemakanan pula, masih ada segelintir saudara sesama Islam yang mengambil pendekatan mudah dengan melihat logo halal.


Asalkan ada logo ‘halal’, halallah makanan berkenaan pada pandangannya tanpa mengambil berat sama ada logo halal itu diiktiraf atau tidak.


Samalah keadaannya ketika membeli makanan pek di pasar raya mahupun makanan di restoran. Ada yang berpendapat jika tiada bahan haram seperti ‘khinzir’ atau ‘arak’ dalam makanan atau minuman berkenaan, tidak salah untuk dimakan walaupun diberitahu pihak tertentu yang ia haram.


Sama juga senario yang sering dilihat di kedai makan, asalkan pekerjanya ada rupa Melayu atau ada papan tanda ‘tiada khinzir’ atau seumpamanya, kebanyakan masyarakat menganggap makanan di restoran atau kedai makan itu halal.


Harus diingat, setiap yang dimakan mungkin membentuk darah daging kita. Mungkin juga ia mengalir menjadi sebahagian daripada darah daging yang membentuk zuriat kita.


Tidak mustahil antara punca keruntuhan akhlak yang menggusarkan pada hari ini bertitik tolak daripada punca pemakanan kita.


Malah, antara penyebab mengapa kita terlalu ‘liat’ untuk melakukan ibadah disebabkan faktor sumber haram yang kita makan. Oleh itu sentiasa berwaspada ketika memilih makanan dan minuman.


Dalam soal pertuturan seharian kita pula, kita harus berhati-hati dengan apa yang kita lafaz kerana dibimbangi akan menyebabkan akidah kita terpesong. Kadangkala, kata-kata kita seolah-olah menghalalkan apa yang diharamkan dan mengharamkan apa yang dihalalkan.


Firman Allah SWT di dalam surah An-Nahl, ayat 116 bermaksud: “Jangan kamu berkata dusta menurut yang diterangkan oleh lidahmu sendiri; Ini halal dan ini haram, supaya kamu mengadakan dusta terhadap Allah. Sesungguhnya, orang-orang yang mengadakan dusta terhadap Allah tidak beroleh kemenangan.” Saya sedih melihat kebanyakan kedai nombor ramalan judi dipenuhi orang Islam daripada segenap lapisan usia. Lebih pilu lagi apabila melihat ada mereka yang berumur lebih 60 tahun, tanpa segan silu dan rasa bersalah, beratur bersama-sama yang bukan Islam.


Saya pernah terdengar kata-kata dilafazkan seseorang beragama Islam yang kecewa apabila nombor ramalan judinya tidak ‘mengena’ dengan menyebut: “Allah, sikit je lagi nak kena.” Begitu juga sebaliknya, barangkali ada yang menyebut, “Alhamdulillah, kena juga nombor ramalan aku kali ni.” Kata-kata seperti ini boleh membatalkan iman kita. Nauzubillah Min Zalik (kami berlindung dengan Allah daripada hal itu).


Baru-baru ini, saya melihat sebuah video yang banyak dikongsi kenalan di Facebook. Saya sangat terkejut apabila menonton video itu yang menemubual seorang ibu yang sanggup berzina dengan anak lelaki sulungnya selepas ketiadaan suaminya di sisi.


Lebih mengejutkan apabila si ibu, tanpa rasa bersalah, menyatakan: “... daripada berzina dengan orang lain, lebih baik saya berzina dengan anak sendiri.” Beristighfar panjang saya selepas menyaksikan video berkenaan. Manusia semakin jahil akibat jauh daripada hidayah Allah.


Tidak hairan bala dan bencana Allah datang bertimpa- timpa pada akhir zaman ini. Namun demikian, bagi mereka yang tidak mahu menginsafi, bala yang datang dilihat tidak lebih daripada sekadar lumrah alam.


Sebagai Muslim, kita mesti mengambil iktibar bahawa setiap bala yang Allah timpa ke atas manusia adalah kerana kelalaian manusia.

Firman Allah SWT dalam surah Ar-Rum, ayat 41 bermaksud: “Telah jelas kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan manusia; Allah menghendaki mereka merasakan sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan benar).” Rasulullah SAW pernah bersabda di dalam sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, bermaksud: “...Ketahuilah bahawa dalam diri ini ada segumpal daging, jika ia baik, baiklah seluruh tubuh ini dan jika ia buruk, buruklah seluruh tubuh; ketahuilah bahawa ia adalah hati.” Jadi, cerminlah diri dan tanya iman sama ada kita kita tergolong dalam kumpulan ini secara sedar atau tidak.

Monday, December 19, 2011 | By: fEnDi nEtWoRk

Antivirus Kaspersky Internet Security 2012


Assalamualaikum......

Saya ada menjual antivirus Kaspersky Internet Security 2012 ( KIS ) dan Kaspersky Antivirus 2012 ( KAV )....

Product Detail :

Kaspersky Internet Security 2012 ( KIS )

* 100 % original dan 1 tahun lesen
* Harga : 3 user ---> RM 55.00
1 user ---> RM 35.00

Kaspersky Antivirus 2012 ( KAV )

* 100 % original dan 1 tahun lesen
* Harga : 1 user ---> RM 20.00

Penghantaran :

* Saya akan menghantar activation code kepada email anda so anda kena beri email kepada saya tetapi anda mesti membuat pembayaran terlebih dahulu kepada saya.

Pembayaran :

* Anda boleh membuat transfer funds kepada saya samada Maybank ataupun CIMB. Saya minta maaf kerana tidak boleh meletekkan no akaun saya di sini atas keselamatan.

* Boleh email kepada saya fendi87_scorpio@yahoo.com sekiranya berminat dengan produk ini..

Terima Kasih....

~Sambutan tahun baru boleh diisi dengan aktiviti keluarga bukan perkara mungkar~

Sambutan tahun baru boleh diisi dengan aktiviti keluarga bukan perkara mungkar

SAMBUTAN tahun baru setiap tahun sudah menjadi upacara tradisi rakyat Malaysia dan seolah-olah satu kewajipan, bahkan pernah sambutan diadakan pada Ramadan. Terikatnya syaitan sepanjang Ramadan belum tentu mampu mengikat nafsu manusia untuk berfoya-foya.
Apa lagi sambutan tahun baru 2012 kali ini bukan pada bulan puasa, sudah tentu perkara saban tahun menjadi kebimbangan berulang berlaku. Hiburan sempena menyambut kedatangan tahun baru juga sudah mula dipromosikan.
Pemandangan biasa dilihat ketika sambutan tahun baru ialah pergaulan lelaki dan wanita tiada batasan, pasangan tanpa segan silu melakukan aksi mengghairahkan di khalayak ramai dan minuman keras juga menjadi hidangan. Apakah kita sedang menuju negara yang bebas segala-galanya.

Ingatlah kemungkaran boleh mengundang bala dan pastinya kita tidak mahu perkara itu berlaku. Malangnya, dosa dianggap perkara remeh hingga melakukan perbuatan menyalahi agama menjadi kebiasaan dalam masyarakat.

Seperti iman, maksiat juga mempunyai tingkatannya, ada dilakukan secara tersembunyi, terbuka dan ada maksiat dianggap biasa. Apa juga jenis maksiat, tidak kira yang ringan atau berat, ia akan mengundang kemurkaan Allah.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya seorang mukmin dalam melihat dosanya, bagaikan seorang yang berada di puncak gunung, di mana ia terlalu khuatir akan tergelincir jatuh. Adapun orang fasik dalam melihat dosanya, bagaikan seseorang yang dihinggapi lalat di hidungnya, maka dia usir begitu saja.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Begitu juga perlakuan maksiat dan dosa yang dilakukan secara terang-terangan. Ada kalanya Nabi SAW berusaha menutup sehabis mungkin perlakuan maksiat dilakukan secara tersembunyi supaya si pelaku berpeluang bertaubat kepada Allah SWT. Bagaimana pula mereka yang melakukan maksiat secara terbuka?

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Semua umatku akan diampunkan dosanya kecuali orang yang mujaharah (terang-terangan dalam berbuat dosa) dan yang termasuk mujaharah adalah seorang yang melakukan perbuatan dosa pada malam hari, kemudian hingga pagi hari Allah sudah menutupi dosa terbabit, kemudian dia berkata: Wahai fulan semalam saya berbuat ini dan berbuat itu. Padahal Allah sudah menutupi dosa itu semalaman, tetapi pada pagi hari dia buka yang ditutup Allah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Ini peringatan penting untuk kita kerana apa yang amat ditakuti manusia adalah taubat yang tidak diterima. Betapa ruginya kita jika mengetahui taubat tidak diterima kerana maksiat terbuka yang dilakukan dulu.

Sejarah Islam melakarkan pelbagai peristiwa untuk dijadikan iktibar. Banyak kemurkaan Allah bermula apabila maksiat dilakukan secara terbuka. Malah kini banyak tempat dijadikan pusat maksiat secara terbuka.

Maksiat secara terbuka perlu dicegah kerana apabila maksiat itu dianggap biasa, kita sebenarnya sedang memanggil azab Allah. Maksiat secara terbuka adalah dosa purba dulu kala yang sudah dimodenkan.

Lihat saja kisah kehancuran kaum Nabi Luth yang dirakamkan al-Quran: “Adakah patut bagi kamu mendatangi lelaki (homoseksual) dan menyamun di jalan raya dan kamu membuat kemungkaran di tempat pertemuan kamu. Maka tidaklah ada jawapan kaumnya melainkan mereka berkata: Datanglah kepada kami azab Allah itu, jika sungguh engkau dari orang yang benar.” (Surah al-Ankabut, ayat 29)

Ketika menafsirkan ayat ini, Al-Isfahani dalam kitab al-Mufradat fi Gharib al-Quran menceritakan tempat masyarakat awam berkumpul iaitu tempat kaum Nabi Luth melakukan maksiat secara terbuka dan diketahui umum.

Rentetan peristiwa maksiat secara terbuka, akhirnya Allah menurunkan bala yang sangat pedih ke atas kaum Nabi Luth. Ini menggambarkan kepada kita, menzahirkan maksiat secara terbuka sama seperti kita mencabar Allah SWT untuk menurunkan azabnya.

Bagaimana pula orang yang menghadiri tempat maksiat tetapi tidak melakukan perbuatan maksiat. Firman Allah yang bermaksud: “Dan sungguh, Allah sudah menurunkan kepada kamu dalam al-Quran bahawa apabila kamu mendengar ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan, maka jangan kamu duduk berserta mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain kerana sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentu kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan semua orang munafik dan orang kafir di dalam Jahannam.” (Surah an-Nisa’, ayat 140)

Berdasarkan nas dan pandangan ulama yang sentiasa menyinari kalam mereka dengan nasihat dan tunjuk ajar, maka lebih baik kita mengubah gaya serta corak menyambut sesuatu perayaan. Jangan sambutan itu dicemari perlakuan yang boleh mengundang kemurkaan Allah.

Sambutlah tahun baru kali ini dengan menanamkan tekad melakukan transformasi menjadi insan lebih baik serta mencapai keredaan Allah. Marilah wujudkan suasana ceria melalui aktiviti keluarga pada malam tahun supaya anak remaja tidak terleka dengan sambutan di luar kawalan keluarga.

Allah sukakan suasana yang ceria tetapi hiasilah keceriaan itu dengan amalan serta program yang berpayung kepada matlamat mencari keredaan Allah.

~4 penyakit bakal hapus sifat mukmin umat akhir zaman ~

ADA empat penyakit dalam diri individu yang semestinya dibasmi kerana jika dibiarkan, penyakit itu akan membarah dan membudaya kukuh sehingga menenggelamkan perwatakan individu sebagai seorang mukmin sebenar.

Penyakit itu seperti kata Saidina Ali Abi Talib: “Kelak akan menimpa umat ini penyakit umat terdahulu iaitu penyakit sombong, kufur nikmat, mensia-siakan masa dan lupa diri dalam memperoleh harta dan bermegah-megah dengan harta. Mereka terjerumus ke dalam jurang kemenangan dunia, saling bermusuhan, dengki-mendengki dan dendam sehingga melakukan kezaliman.”
Ini senario dalam masyarakat Islam hari ini yang sentiasa lupa akibat perbuatan dan tingkah laku mereka yang menyeleweng daripada landasan agama, sedangkan Allah dan Rasul-Nya banyak memberi peringatan serta pesanan supaya berwaspada. Sikap pertama mesti dibendung ialah sombong kerana ini senjata syaitan untuk menjerumuskan seseorang ke jurang kehinaan.

Allah menegaskan dalam firman bermaksud: “Dan jangan engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan jangan engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong. Sesungguhnya Allah tidak suka orang yang sombong takbur lagi membanggakan diri.” (Surah Luqman, ayat 18)

Sombong ialah penyakit hati yang akan memudaratkan hubungan dengan manusia lain. Bayangkan seandainya dia seorang peniaga. Bagaimanakah perniagaannya hendak berjaya dan dihormati pelanggan?

Tentu peniaga sebegini dibenci dan dijauhi. Jadi, siapakah yang rugi? Sebaliknya, jika seseorang peniaga itu sentiasa berwajah manis dengan senyuman, sudah tentu ia akan menjadi faktor tarikan dan secara tidak langsung mampu melonjakkan keberkesanan perniagaannya.

Perkara kedua kata Saidina Ali ialah kufur nikmat. Ini penyakit sangat berbahaya. Kufur nikmat ialah cepat lupa diri hingga lupa bersyukur kepada Allah yang memberikan nikmat. Ini warisan penyakit Firaun dan Qarun yang dilaknat Allah kerana sombong dan kufur dengan nikmat dikecapi.

Seseorang itu dikategorikan sebagai kufur nikmat apabila bakhil terhadap harta kekayaannya. Jiwa terasa kaku untuk menghulurkan sedekah jariah buat insan lain yang memerlukan, apatah lagi berzakat?

Ini semua akan mengundang padah dan laknat Allah serta bakal berhadapan seksa sengsara di akhirat nanti. Allah sudah memberi amaran keras terhadap orang yang kufur nikmat.

Ditinjau dari perspektif psikologi, sikap kufur nikmat mencerminkan corak hati yang tamak dan rakus sehingga terbuai dalam keenakan harta dunia. Dari sisi pandang sosiologi pula, mereka dilihat insan yang ingin melihat hanya dirinya saja memperoleh nikmat.

Ingat pesanan Rasulullah SAW yang bermaksud: “Seorang hamba berkata: Hartaku, hartaku! Sesungguhnya harta yang punya itu hanya ada tiga, iaitu apa yang ia makan hingga habis, apa yang ia pakai hingga usang dan apa yang ia berikan hingga ia mendapatkan pahalanya. Sedangkan harta selain itu akan menghilang dan ditinggalkan untuk orang lain (diwariskan).” (Hadis riwayat Muslim)

Penyakit ketiga yang perlu dihindari ialah lalai dalam pengurusan masa. Jika diperhatikan, majoriti kaum muslimin yang leka dan melalaikan aspek mengurus masa. Lihat saja bagaimana anak muda saban malam berlumba haram, merempit di jalanan dan yang suka melepak di pusat beli belah.

Ibnu Mas’ud meninggalkan wasiat berguna buat kita semua, katanya: “Demi Allah, aku tidak menyesali sesuatu pun seperti penyesalanku terhadap suatu hari yang matahari terbit di dalamnya, di mana ajalku semakin dekat dan amalku tidak bertambah.”

Sementara, pesan Ibnu Umar pula: “Jika kamu memasuki waktu petang, maka jangan menunggu pagi. Apabila kamu memasuki waktu pagi, maka jangan menunggu datangnya petang.” Kedua-dua pesanan sahabat Rasulullah SAW itu wajar direnungi untuk memperkasakan kualiti pengurusan masa kita.

Penyakit umat akhir zaman yang keempat sangat sinonim dengan situasi semasa yang sedang kita lihat iaitu bermegah dengan harta benda dunia. Manusia tidak lagi mempedulikan aspek etika dan aturan wajib dalam memperoleh harta, janji asal dapat.

Bagaimana cara atau kaedahnya tidak diberikan perhatian disebabkan rakus dan berlumba mengejar harta dunia. Apa dinyatakan Saidina Ali ada kebenarannya. Oleh itu, kita perlu sentiasa berhati-hati supaya diri, keluarga, masyarakat dan negara tidak berada dalam bahaya.
Monday, October 24, 2011 | By: fEnDi nEtWoRk

Perbualan Antara Manusia, Malaikat Dan Syaitan

Perbualan Antara Manusia, Malaikat Dan Syaitan


Manusia – Eh, dah subuh dah?
Malaikat – Bangunlah wahai anak Adam, tunaikan solat subuh mu
Syaitan – Alahhhhhh, sekejaplah, mengantuk ni…awal lagi ni..zzZZz

Manusia – Nak makan, laparlah ..
Malaikat – Wahai Anak Adam, mulakanlah dengan Bismillah….
Syaitan – Ahh, tak payahlah… dah lapar ni ! makan saja..sedapnya

Manusia – Hari ni nak pakai apa ye?
Malaikat – Wahai anak Adam, pakailah pakaian yang menutup aurat.
Syaitan – Ehh, panaslah,tak ada style langsung, nampak kampung!

Manusia – Alamak, dah lewat!
Malaikat – Bersegeralah wahai manusia , nanti terlewat ke pejabat.
Syaitan – Ahhh? awal lagi?mmm..aaahh? suruh si X punchkanlah?

Manusia – Azan sudah kedengaran.. ..
Malaikat – Wahai anak Adam, bersegeralah menunaikan kewajipan
Syaitan – Baru pukul berapa.. rilex lah..awal lagi ni.

Manusia – Eh, eh…. tak boleh tengok ini, berdosa..
Malaikat – Wahai anak Adam, alihkanlah pandanganmu, sesungguhnya Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui !
Syaitan – Perggghh… best tu…rugi ooo kalau tak tengok ni.

Manusia – Saudaraku sedang melakukan dosa
Malaikat – Wahai anak Adam, cegahla ia..
Syaitan – Apa kau sibuk? Jangan jaga tepi kain orang, lantak dia lah

Manusia – Elok kalau aku sampaikan nasihat ini kepada orang lain
Malaikat – Wahai anak Adam, nasihat-menasihati lah sesama kamu..
Syaitan – Sendiri pikirlah, semua dah besar, buat apa susah2…pandai2 lah

Manusia – Aku telah berdosa..
Malaikat – Wahai anak Adam, bertaubatlah kamu, sesungguhnya Allah Maha Pengampun.
Syaitan – Tangguhlah dulu, lain kali boleh bertaubat… muda lagi kan..lagipun hidup hanya sekali..rugilah..(kalau sempatla)

Manusia – Kalau pergi, mesti seronok!
Malaikat – Wahai anak Adam, kakimu ingin melangkah ke jalan yang dimurkai Allah, berpalinglah dari jalan itu.
Syaitan – Jangan bimbang, tiada sesiapa yang tahu…Jomlahhh !

Manusia – Uuhhh..letihnya harini..tak solat lagi ni.
Malaikat – Wahai anak Adam, taatilah Allah dan RasulNYA, kebahagiaan di dunia dan akhirat untukmu. Solat itu wajib bagimu.
Syaitan – Hey anak Adam, ikutilah aku, kebahagiaan di dunia (sahaja) dan kebahagiaan diakhirat untukmu nanti ada juga (jangan mimpilah!)

Sekarang anda mempunyai 3 pilihan :

1. Anda – Patut ke aku biarkan artikel ini tetap di sini saja??
2. Malaikat – Ingatkan pada kawan yang anda kenal..sebarkan lah !
3. Syaitan – Tak payahlah sibuk2 ..biar je disini..kalau, boleh delete je..bukan mereka nak baca pon.

free web page hit counter
Friday, October 14, 2011 | By: fEnDi nEtWoRk

~permohonan kemasukan ke UITM ~


Assalamualaikum....kawan2..ini ade sedikit info, sape2 yang hendak apply UITM boleh lah apply melalui http://online.uitm.edu.my. tarikh tutup dia smpai 16 November jer...sape cpt dia dapat..:P