Monday, August 23, 2010 | By: fEnDi nEtWoRk

~Ujian Allah : Tanamkan Kesabaran~

Ujian Allah : Tanamkan Kesabaran
www.iluvislam.com
Oleh : Ya Habibi
Editor : doraemong13




Pejuang hidup kerana berjuang.


Penat berjalan melalui rutin dan hidup hari demi hari. Terasa sakit dan pening kepala memikirkan semua benda yang perlu dilangsaikan. Itu hanya sakit lahiriah, bukan pada batinnya pula! Memikirkan diri sendiri dan ummah lebih membimbangkan. Apakah kesudahan.

Hah. Begitulah hidup kita dalam dunia ini. Allah sering sapa diri kita dengan ujian. Tidak dinamakan seseorang itu hamba Allah jika tidak menerima ujian yang Allah berikan. Dan tidak dapat dikatakan seseorang itu beriman jika tiada sifat sabar. Dan tiadalah dikatakan seseorang itu SABAR jika tiada dugaan yang akan menguji kesabarannya.

Kadang-kadang, kita cepat sangat untuk mengeluh dan merasa lelah atas semua apa yang telah menimpa dan apa yang telah kita lakukan. Lambat laun, keluhan yang keluar dari bibir dan penat yang dituturkan akan membuahkan sifat malas dan rasa putus asa dalam diri seseorang.


Ujian Allah = Kasih Sayang-Nya

Dalam menempuh hidup disertai dengan ujian daripada Allah, perlu kita ingat, ujian dan dugaan itu adalah tarbiah Allah. Cuba ingat kembali apakah hikmah selepas ujian Allah itu, adakah kita merasa lebih tenang dalam kesenangan? Atau merasa lebih susah dalam kesusahan? Saya yakin deh! Kita semua boleh berfikir dan renung sejenak, disetiap ujian yang Allah turunkan, ada kebaikan akhirnya. Cuma, mahu tidak mahu sahaja untuk kita berfikir.

Ujian yang Allah berikan itu datang daripada pelbagai arah. Sama ada kita dipermainkan, dihina, dimaki dan dikhianati oleh hamba Allah yang kita kasihi, cintai, sayangi dan yang kita kenali, juga suatu penyakit yang Allah turunkan. Itu semua adalah kasih sayang Allah.

Allah sebenarnya ingin mengajar kita untuk lebih tabah dan tetap teguh dengan pendirian kita yang kita pegang. Allah ingin memberitahu kita banyak sangat perkara yang boleh membuat kita mendapat tiket untuk ke syurga-Nya.

Apabila ujian datang menimpa, kadangkala, kita terasa ujian yang Allah berikan itu datangnya seperti hujan, tidak henti-henti sudahnya. Dan juga, kadangkala terasa seperti diri kita sahaja yang Allah berikan ujian seperti itu.

Kita sering terlupa, bahawa setiap manusia telah dan akan Allah uji dengan cara yang lain. Kita terlupa, bahawa ada hamba Allah yang lain yang lebih teruk dan hebat ujian diri mereka. Begitulah sifat kita sebagai manusia. Seringkali terlupa. Rasanya ungkapan Tun Mahathir yang berbunyi ‘Melayu Mudah Lupa’ patut digantikan dengan ungkapan ‘Hamba Allah Mudah Lupa’.



Hamba Allah Mudah Lupa


Sabar : Orang-orang Yang Hebat

Seringkali, apabila kita teruji dan mungkin menangis menumpang adu kepada sahabat, ungkapan SABAR seringkali kedengaran dan menunjukkan bahawa kekuatan sabar itu adalah KUAT. Ada orang yang sudah lali dengan perkataan sabar yang diungkapkan oleh orang lain.. Ada orang akan mendapat semangat daripada perkataan sabar yang disebut oleh orang lain.

Dan bagi diri saya sendiri, apabila saya memujuk diri saya untuk bersabar, seakan-akan ada suatu semangat yang sukar untuk saya gambarkan. Begitu juga apabila sahabat-sahabat yang lain memberikan sedikit semangat untuk diri saya.

Perlu kita renung sejenak dan tanam dalam hati. Sifat SABAR itu adalah salah satu sifat yang paling tertinggi di sisi Allah. Bukan semua orang boleh bersabar dengan dugaan yang dihadapi, boleh bertenang sambil tersenyum dalam menjalani kehidupan hari demi hari. Tiada sifat seorang muslim yang paling tinggi di sisi Allah melainkan sifat sabar. Sabar adalah kekuatan. Ia tidak mengira keturunan atau darjat yang ada pada diri seseorang itu.

Pesanan buat diri saya sendiri. Saya seringkali memujuk diri. Saya yakin dengan janji Allah.

Allah tetap akan memandang hamba-hamba yang sabar itu lebih dari segalanya. Allah akan tetap memandang dengan pandangan yang penuh kasih sayang melalui pandangan rahmat-Nya. Malah, para malaikat juga akan turut mendoakan hamba yang sabar, Insyaallah.

Percaya dan yakinlah dengan Allah. Sesungguhnya Allah tidak akan menimpakan sesuatu cubaan kepada kita melainkan kita mampu untuk menanggungnya. Allah tidak zalim untuk menyeksa kita dengan ujian yang Allah memang tahu kita tidak mampu untuk memikul ujian itu. Cuba renungkan kembali, atas dasar apa kita dilahirkan ke dunia dan apa niat kita di atas muka bumi ini.

Dengan sifat yang sabar, kita boleh menjadi seperti seteguhnya karang yang ada di laut. Tidak akan goyah walau dihempas badai yang melanda. Kita tetap akan menjadi lemah-lembut sepertimana rumput akur dengan belaian angin, tetapi kita tidak akan luruh dan tumbang akibat ditampar dengan ribut taufan yang sengaja datang untuk menyapa kekuatan SABAR yang kita ada.

Apabila sebarang musibah datang melanda, cepat-cepat bersuci dan menghadap Tuan Punya Dunia. Mengadulah, menangislah. Memang sifat kita lemah apabila berada di hadapan-Nya. Pujuk jugalah hatimu untuk melunturkan ego agar dirimu lembut untuk menitiskan airmata dihadapan-Nya. Ingatlah wahai diriku, secubit ujian yang Allah berikan, bergumpal-gumpal pahala sebagai ganjaran Allah kepada hamba-Nya. Syaratnya adalah dengan BERSABAR.


Kita Semua Adalah Pejuang

Kita semua adalah askar! Kita semua adalah pejuang! Dan seorang pejuang itu ada perjuangan yang wajib untuk dia selesaikan hingga ke akhir hayat. Hamba Allah, perjuangan kita sebagai hamba Allah adalah untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi sepertimana perjuangan Rasulullah s.a.w dahulu. Dan dengan perjuangan inilah kita akan mendapat keredhaan Allah.

Ingatlah, dalam barisan perjuangan kita ini memerlukan semangat yang tinggi, pengorbanan yang banyak. Semua itu tidak akan dapat kita selesaikan seandainya kita tiada sifat sabar dalam diri. Maka dengan itu, suburkanlah sifat sabar dalam jiwa.

Buangkan sejauh-jauhnya sifat amarah, jauhilah dendam jika dikhianat orang, dan maafkanlah kesalahan orang walaupun perbuatan itu sesuatu yang tidak dapat kita lupakan. Sesungguhnya, Allah juga sangat kasih kepada hamba yang pemurah dengan memaafkan kesalahan orang lain.


Pejuang Hidup Kerana Berjuang!

Seorang pejuang tetap wajib tegar di jalan perjuangan. Seorang pejuang tidak boleh berputus asa dengan perjalanan hidup yang masih panjang walaupun umur kita hanya Tuan Punya Dunia. Apabila seorang pejuang itu rebah kerana berputus asa, bermakna kita memberi peluang kepada iblis dan syaitan untuk bersorak kegembiraan kerana ada anak Adam yang lemah padahal syurga telah Allah janjikan bagi mereka yang penyabar.

Rebah seorang pejuang itu, memang keinginan syaitan laknatullah. Ketahuilah wahai diriku, seisi alam ini, haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan dan para malaikat turut mendoakan kesejahteraan manusia yang baik-baik, yang tetap teguh seperti seteguh karang di jalan perjuangan ini.

Moga qalam ini dapat membuat diri saya berfikir kerana ku menulisnya untuk peringatan diriku sendiri. Aku perlu untuk tetap berdiri di jalan yang penuh duri yang berbisa. Aku perlu. Aku wajib! Kerana, aku hanya mendambakan redha Allah. Dan untuk mendapatkan redha Allah, aku perlu bersabar seiring melalui rintangan perjuangan yang tidak terduga.



Aku sayang Allah~ Aku sayang Rasulullah~

~Cinta Yang Pasti~

Cinta Yang Pasti
www.iLuvislam.com
Oleh : syabab_musafir95
Editor : everjihad


Remaja selalunya dikaitkan dengan cinta. Agak pelik jika dilihat seseorang yang memegang gelaran remaja tidak mempunyai perasaan ingin bercinta dan dicintai juga tidak ada keinginan untuk berkenal-kenalan (kononnya) dan berhubungan sama ada secara SMS ataupun surat (baru romantik kononnya) dengan sahabat lain yang berlainan jantina.

Adakah Islam membunuh terus naluri cinta ?
Adakah Islam langsung tidak memberi peluang kepada seseorang
untuk merasakan perasaan cinta?
Adakah Islam ini terlalu kejam apabila mengekang seseorang itu
daripada terjebak dengan percintaan ?

Bukan begitu saudaraku...

Islam adalah agama yang syumul! Segalanya sudah ditetapkan oleh syari'at supaya manusia tidak terus tenggelam pada bisikan dunia. Cinta yang diimpikan semasa remaja cuma fatamorgana yang tidak kekal. Cuma mainan remaja yang dibisik oleh hawa nafsu dan syaitan yang cuba menarik setiap bani Adam untuk bersamanya di neraka.

Cinta remaja sering membuatkan kita menipu diri sendiri. Pada fikiran sebilangan remaja, 'cuma setakat menelefon dan menghantar mesej dan surat bukannya sampai berjumpa berdua-duaan di taman bunga'

Firman Allah S.W.T:

(٣١) وَلَا تَقۡرَبُواْ ٱلزِّنَىٰٓ‌ۖ إِنَّهُ ۥ كَانَ فَـٰحِشَةً۬ وَسَآءَ سَبِيلاً۬

Maksud : Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).


Sedangkan mendekati zina pun sudah ditegah. Apatahkan lagi berzina!.

Mengapa Allah kata,
'JANGAN' kamu 'MENDEKATI ZINA'?

Mengapa tidak dikatakan,
'TIDAK PATUTLAH KAMU MENDEKATI ZINA'

atau
'TIDAK BAIK KAMU MENDEKATI ZINA'?

Ini kerana Islam telah menegaskan bahawa mendekati zina itu saja sudah haram hukumnya, apatah lagi jika berzina.

Asyik daripada menelefon kekasih pujaan itulah akan menaikkan keinginan nafsu untuk berjumpa dan kemudian ke arah kegiatan-kegiatan yang seterusnya.




Ketahuilah sahabat-sahabatku sekalian,

Sesungguhnya terdapat enam perkara yang mendekatkan diri kita kepada zina. Moga kita sama-sama dapat memelihara diri kita dari menghampiri dan kemudiannya melakukan perkara-perkara tersebut yang antaranya :

1. (Melihat) نظرة
-Zina itu bermula apabila seseorang itu tertarik kepada pasangan yang berlainan jantina dengannya


2. (Senyum)فسامهم
-Seterusnya senyuman diukir untukmenarik perhatian masing-masing


3.(Memberi Salam) فسلام

- Salam diberi sebagai tanda memulakan hubungan

4.(Bercakap Kosong) فكلام
-Setelah mengenal hati budi masing-masing, seringkali mnelefon dan menghantar mesej yang semuanya dipenuhi dengan cakap kosong dan angan-angan cinta


5. (Berjanji)فموعدون
- Mula mengikat janji untuk berjumpa untuk mengenali dengan lebih dekat dan melepaskan rindu di hati


6. (Berjumpa) فلقاءون
-Dan satu perjumpaan diadakan berdua-duaan (tiga sebenarnya - yang ketiga makhluk bernama syaitan) maka akan berlakulah zina di mana nafsu tidak mampu menahan amarah, disinilah permulaan zuriat dibuang di longkang-longkang, di celah-celah belukar serta semak samun, di tong-tong sampah, di jalanan dan juga di kaki lima. Di sinilah permulaan tergadai segala kehormatan diri. Disinilah permulaan untuk melepaskan nafsu yang tidak pernah kenal kepuasan dan maruah diri.


Zina bukan sahaja menggadai kehormatan diri malah kehormatan agama, masyarakat dan ibubapa malah merosakkan generasi ummah! Mahukah kamu untuk memalit najis yang hina di muka ibubapa setelah mereka membesarkan kamu ibarat menjaga sebutir permata yang berharga? Mereka juga yang telah bersusah payah melahirkan serta membesarkan kamu dengan menggunakan segala kudrat yang ada. Mereka yang telah banyak berjasa dalam kehidupanmu


Wahai rakan-rakanku sekalian,

Waktu ini bukanlah masanya lagi untuk kita bercinta. Perjuangan dan perjalanan masih jauh dan kita masih mentah untuk melalui alam percintaan. Percintaan yang sebenar bermula apabila kita mula mahu melangkah ke gerbang perkahwinan.

Carilah cinta yang disandarkan kepada-Nya yang menjanjikan kemanisan di dunia dan kelebihan di akhirat. Sesungguhnya cinta kepada makhluk ciptaan-Nya merupakan satu fitrah yang tidak boleh dielak oleh seseorang yang bergelar manusia. Sedangkan Adam pun berasa sunyi tanpa kehadiran Hawa, bukan? Apakah yang tidak ada di syurga?

Fikirkanlah tentang ganjaran serta nikmat-nikmat yang bakal menanti kita di syurga yang tiada di dunia sementara kita melawan dari menuruti hawa nafsu kita yang sentiasa mahukan keseronokan yang tidak kekal juga kenikmatan yang tidak berpanjangan.

Marilah sama-sama kita menyeru diri kita serta kawan-kawan kita sekalian untuk kembali kepada ajaran agama kita sebagai pedoman mereka dalam kehidupan agar negara kita sentiasa dalam perlindungan dan rahmat Tuhan.

~Rahmat Sebalik Ujian~

Rahmat Sebalik Ujian
www.iLuvislam.com
Oleh: Zulyunus
Editor: Nazarudin Yaacob



Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan Al-Quran kepada hamba-Nya, yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kita, siapa di antara kita yang lebih baik amalnya. Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. Allah telah memuliakan manusia sebagai sebaik-baik ciptaan. Dia menghantar Rasul-Nya untuk mengeluarkan manusia daripada gelap gelita kepada cahaya terang benderang, menuju Tuhan. Maha Suci Allah yang menciptakan segala sesuatu dengan tujuan dan bersebab.
Telah bertasbih kepada Allah apa saja yang ada di langit dan apa saja yang ada di bumi, dan Dia-lah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, yang telah dihantar oleh Allah kepada Umat Manusia sebagai satu anugerah, membawa Rahmah ke seluruh pelosok alam. Demi Allah, sungguh tidak akan sesat orang yang berpegang pada tali agama Allah, menggigit Al-Quran dan Sunnah dengan gigi gerahamnya dan dia sama sekali tidak pernah mencari selainnya sebagai sesuatu yang lebih agung dan lebih utama.

Hidup ini adalah satu medan ujian. Dunia ini hanyalah sebuah persinggahan dan bukan destinasi. Sebuah perhentian dan bukan pengakhiran. Tanpa ujian, manusia takkan pernah terhantuk dan tengadah, bahkan akan terus lalai dengan dunianya sendiri yang penuh dengan angan-angan, hiasan syaitan. Ujian adalah satu bentuk interaksi antara Allah dan kita. Ujian membuatkan kita mendongak ke langit, menadah tangan memohon perhatian Tuhan. Kita selalu lupa, namun Allah tak pernah sekali-kali lalai daripada hamba-Nya.

Di hujung ujian ada Rahmat yang disediakan buat orang-orang yang berjaya, dan penyesalan buat orang-orang yang gagal. Jika kita tak pernah memahami atau cuba untuk mengerti hakikat ini, maka kita akan terus terkandas dalam ujian. Ujian demi ujian, keluhan demi keluhan, hidup terus berjalan dengan tertekan, tak pernah merasakan kenikmatan di sebalik ujian. Maka kita sangat perlu memahaminya, bahawa Rahmat Allah menanti di sebalik sesebuah ujian. Ujian itu takkan pernah hilang daripada papan cerita kehidupan ini.

Ujian membawa kita semakin dekat dengan pemberi ujian, mungkin juga sebaliknya. Ujian adalah lambang kasih sayang pencipta. Itu tanda Allah sentiasa mengambil berat dan tak pernah meninggalkan kita sendirian, kita bagaimana?



Ujian dan Iman

Firman Allah dalam surah Al-‘Ankabuut Ayat yang ke-2, ertinya:

“Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi?”


Ayat ini menggambarkan kepada kita betapa iman itu berkait rapat dengan ujian. Kenikmatan iman itu dikecapi setelah kita berjaya melalui beberapa siri ujian yang telah ditetapkan oleh Allah. Semakin hebat ujian, semakin manis iman yang bakal kita rasai di penghujungnya, bagi orang-orang yang berjaya melaluinya. Jika kita gagal menempuhinya dengan baik, kita akan terus diberi peluang dan didatangkan lagi dengan ujian-ujian yang lain. Kita akan semakin tersasar jika kita terus menerus gagal dan tak belajar menjadi lebih baik. Allah itu begitu Maha Pengasih dan masih memberi ruang kepada kita belajar daripada ujian.

Firman Allah lagi dalam surah Al-‘Ankabuut Ayat yang ke-3, ertinya:

“Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”


Iman itu memerlukan pembuktian. Seberat-berat ujian yang pernah kita alami, tak mungkin seberat Bilal Bin Rabah R.A. tatkala menampung batu besar di terik panas matahari padang pasir. Khabbab Bin ‘Arath R.A. begitu terseksa saat besi panas yang membara di atas kepalanya membakar dan menghanguskannya. Namun, mereka telah membuktikan keimanan mereka dan Allah mengetahui orang-orang yang benar dan orang-orang yang dusta. Di hujung penderitaan yang dialami generasi awal Islam itu, mereka mengakhiri kehidupan menuju alam abadi dengan penuh ketenangan.

Ujian itu adalah tempaan Allah buat orang-orang beriman. Pedang yang hebat takkan terbentuk jika tidak diketuk, dipanaskan dan ditempa dengan baik. Maka kita beruntung kerana Allah akan mengangkat darjat kita dengan ujian yang diturunkannya. Allah ingin memberikan berita gembira kepada kita jika kita bersabar atas ujian yang kita hadapi.

Lihatlah Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah Ayat 155-156, ertinya:

“Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: “Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun (Kita milik Allah dan kepada-Nya kita dikembalikan)””

Ujian Pelbagai Bentuk

Tahap ujian yang ditimpakan oleh Allah kepada manusia itu berbeza-beza, berdasarkan kepada keimanannya. Bentuk ujian itu juga pelbagai. Ada orang diuji dengan wanita, yang lainnya dengan harta, anak-anak, kesusahan, kawan-kawan dan sebagainya. Bagi para pelajar, peperiksaan itu juga satu bentuk ujian. Hakikatnya, kehidupan ini sendiri keseluruhannya adalah medan ujian, akhirat nanti medan ganjaran.

Biar apa juga bentuk ujian yang kita alami, Rahmat Allah tetap akan mengiringi jika kita menghadapinya dengan penuh sabar dan pengharapan kepada Allah. Allah sangat-sangat suka jika hamba-Nya mengadu kepada-Nya, menitiskan air mata di balik tirai malam dan mengakui kelemahannya. Tidak dapat tidak, ujian itu harus dilalui dengan penuh pengharapan kepada pertolongan Allah, kebergantungan yang sepenuhnya kepada pemilik diri kita. Jika tidak, kita akan buntu mencari jalan, kerana hanya Dia penunjuk jalan.

Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah Ayat 153, ertinya:

“Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan Solat, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.”


Ayat ini begitu dalam maknanya bagi orang-orang yang ingin memahami, dan begitu berat kecuali bagi orang-orang yang khusyu’. Sabar dan Solat itu kunci dalam memohon pertolongan Allah. Sampai bila kita harus bersabar? Sampai Allah memberikan pertolongan. Selagi kita diuji, selagi itulah kita bersabar.

Rasulullah adalah orang yang paling hebat kesabarannya bahkan paling besar ujiannya. Dan baginda jugalah yang paling mulia di sisi Allah di kalangan seluruh Umat manusia. Maka ujian itu sememangnya menuntut kesabaran, dan kesabaran akan mengangkat darjat seorang manusia.

“Dari Abu Hurairah R.A., ada seorang lelaki berkata kepada Nabi S.A.W., “Berilah aku wasiat.” Rasulullah S.A.W. bersabda, “Jangan marah!” Beliau mengulang-ulang beberapa kali ucapan, “Jangan marah!” (HR Bukhari)

Kesimpulannya, ujian itu pasti. Pergantungan kepada Allahlah yang akan membuatkan kita tenang menghadapinya. Mungkin kita sudah puas membaca, sekarang mari kita sama-sama merasa. Wallahua’lam.

Thursday, August 19, 2010 | By: fEnDi nEtWoRk

~Memori~

Aku masih ingat saat aku mula mengenali buku teks dihadapan mata, tika itulah seorang insan datang kepadaku dengan jarinya menunjukkan huruf, abjad, nombor dan kalimah.

"Cuba baca apa yang ditulis atas buku ni," cikgu mula bersuara.

"Sa-sa-saya pe-pe-pelajar tahun setu," gagap suaraku tidak tahu membaca.

"Eh, silap tu! Bukan 'setu' tapi 'satu'."

"Oh.. macam tu. Baru tahu, cikgu."

"Tak apa. Cuba baca sekali lagi, mesti boleh baca dengan lancar."

"Sa-saya pelajar tahun satu."

"Ha... tu boleh. Sekarang, baca lagi ayat seterusnya. Cikgu nak dengar."


Sejak itulah aku semakin pandai dalam membaca perkataan demi perkataan sehingga lengkap satu ayat. Aku lebih banyak berusaha untuk menjadi seorang pelajar yang boleh membaca dengan lancar. Hari demi hari, aku semakin seronok belajar dengan cikgu. Bukan disebabkan oleh cikgu pandai mengajar, tapi disebabkan cikgu itu selalu menolong aku bila aku tersilap membaca atau mengeja. Pendek cerita, memang seronoklah belajar dengan cikgu. Sehinggalah tiba satu hari ketika di tahun lima...



"Aliff! Kenapa kamu tak siapkan kerja sekolah ni?" Aku sungguh terkejut kerana itulah kali pertama cikgu menengking dengan nada suara yang tinggi.


"Sa-saya terlupa cikgu." Itulah alasan yang aku ada. Harap-harap cikgu dapat terima alasan aku.

"Cikgu tak boleh terima alasan kamu. Kamu buat apa dekat rumah?" Nada suara cikgu semakin tinggi. Makin seram aku dibuatnya. Biasalah, bukan pernah aku kena dimarahi sebegitu sekali oleh cikgu kesayangan aku.

"Saya main bola, cikgu."

"Itu yang kamu buat di rumah, lagi?"

"Saya tertidur awal malam tadi, cikgu. Sebab itulah saya terlupa nak buat kerja sekolah."

"Awak ni macam-macamlah, ada saja alasan awak tu. Orang lain boleh buat kerja sekolah kenapa kamu tak boleh buat? Kamu ada anak di sampai tak boleh buat kerja sekolah?"

"Tak ada cikgu."

"Habis tu?"

"Matilah aku lepas ini!" hatiku mula berbisik resah disebabkan aku sudah kehabisan alasan.

"Jawablah. Kenapa tak jawab?"

"Malunya aku kena tengking,semua kawan aku tengok,tambah-tambah pelajar perempuan,mana aku nak letak muka aku?" hatiku menjerit sayu melepaskan perasaan malu... tapi langsung tidak hilang.

"Err... saya minta maaf cikgu. Sa-saya tak buat lagi."

"Tak buat? Tak buat apa? Kamu tak mahu buat kerja sekolah lagi? Atau kamu tak mahu ulangi perbuatan kamu ni?"

"Saya tak mahu ulangi perbuatan saya cikgu. Saya janji saya akan buat kerja sekolah lepas ni."

"Sudah. Lepas ni saya tak mahu lagi tengok kamu tak buat kerja sekolah. Faham!"

"Faham cikgu..."



Itulah salah satu memori yang aku tak boleh lupa. Setiap hari ada sahaja perkara yang merunsingkan aku. Pernah juga aku ditendang pelajar perempuan sebab makan nasi mereka, ada juga aku kena simbah dengan air sinki dalam tandas sebab lama sangat duduk dalam tandas, pernah juga satu hari aku kena berdiri atas kerusi sebab tidur dalam kelas. Itu pun nasib aku sahaja. Kalau tidak, mungkin sudah digantung pada kipas sewaktu aku tengah proses air liur. Tetapi setiap kali ada masalah, pasti aku akan berjumpa dengan cikgu kesayangan aku. Siapa lagi kalau bukan Cikgu Zulaikha. Bujang lagi tu. Hehe...

Sewaktu aku di sekolah menengah lagi seronok. Setiap hari dapat kacau cikgu. Hehe... Zaman moden, aku pun sudah ada telefon bimbit. Aku dapat nombor cikgu pun sewaktu aku menghantar buku karangan padanya. Sampai sahaja di meja cikgu, aku letak buku. Tetapi entah macam mana, mata aku boleh ternampak susunan nombor telefon atas kertas. Aku tengok nombor tu ada tertera nama Cik Zulaikha. Aku pun apa lagi, sudah peluang, copy paste sajalah nombor telefon itu masuk dalam kepala otak aku. Lepas tu terus aku save. Hehe... Sepanjang hari aku senyum lebar sehingga gigi aku bertambah kulatnya.


Setiap malam, aku ganggu cikgu aku sampai dia dah naik runsing walaupun cikgu aku tidak tahu siapa yang kacau dia. Sampailah suatu hari aku cuba call Cikgu Zulaikha tapi tak dapat. Rupanya dia dah tukar nombor telefon. Sedih aku dibuatnya...


Hari khamis, 19 November 2009 merupakan hari terakhir aku menimba ilmu di sekolah menengah. Hari itu juga merupakan hari terakhir untuk aku tengok wajah cikgu kesayangan aku. Kalau aku boleh tengok pun buat apa, Cik Zulaikha yang aku kenal itu dah kahwin dengan orang Terengganu. Nasib baik bukan Negro dari Afrika. Apa boleh buat, bukan rezeki aku. Yalah... aku 17 tahun, cikgu aku 31 tahun. Tak kira umur, asal pandai mengajar aku sudah.


Pada hari yang sama, jam 10.46 pagi ,aku turun tangga dari tingkat empat, kemudian aku nampak Cikgu Zulaikha naik tangga. Apa lagi, cepat-cepat aku memperkacakkan wajah aku; sikat rambut guna jari, lebatkan mata guna air liur dan ikat tali leher yang aku minta dari ayah aku. Aku pun apa lagi, dengan bunga mawar di bibir, aku menunggu guru pujaan hatiku naik ke tingkat empat.

"Eh, kenapa tak muncul-muncul lagi cikgu aku ni." hatiku berbisik kehairanan. Aku cuba jenguk-jenguk ke bawah. Rupanya Cikgu Zulaikha naik ke tingkat tiga.

"Ala... ingatkan naik tangga sampai tingkat empat, rupanya ada *R&R pula di tingkat tiga. Apa nak buat, bukan nasib aku."

Tiba-tiba,seorang pelajar perempuan yang agak gemuk dan gelap memandang aku dengan wajah ala Mr.Bean. Nak mati aku rasa waktu itu sebab perlakuan bodoh aku itu dilihat insan yang agak busy body. "Habislah aku kali ini, jadi bahan ketawa orang lain."


"Aliff, apa yang kamu buat ni?" pelajar perempuan itu bersuara.

"Pergilah kau! Suka sangat ganggu aku."

Tiba-tiba dia hebohkan pada semua pelajar perempuan. Bukan pelajar perempuan kelas aku sahaja, tapi satu blok dia heboh. Malu la aku... Hari terakhir juga aku buat hal. Tak sempat tiga jam aku akan meninggalkan sekolah ini sudah kecoh satu bangunan. Macam-macam...





Hari ini hari amat indah bagiku. Aku baru sahaja lepas konvoi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Nak macam mana aku boleh masuk ke universiti ini? Panjang ceritanya, saya pendekkan. Selepas aku keluar daripada alam persekolahan, aku terserempak dengan seorang jejaka di masjid. Waktu itu dia baru sahaja habis baca al-Quran. Aku pun mendekati dia, mungkin dia akan layan insan macam aku. Aku tegur jejaka ni dengan suara manisku, macam aku mengurat cikgu.


"Err... abang baru habis baca al-Quran?"


"Assalamualaikum," dia memberi salam. Aku pun tersedar yang aku sepatutnya bagi salam dulu sebelum aku menegur dia.

"Wa'alaikummussalam," itulah jawapan salamku setelah sekian lama aku tak menyebutnya.

"Ya? Ada apa-apa yang abang boleh bantu?"

"Err..tak ada apa-apa. Saya saja ingin berkenalan. Siapa nama abang? Tak pernah nampak pun?"

"Nama abang Mikail. Abang baru berpindah ke kawasan perumahan ni."

"Ooo... patutlah saya tak pernah nampak abang sebelum ini."

" Err... boleh abang tanya sikit tak?"

"Boleh. Apa dia abang?"

"Err... tandas di mana?"

"Itu soalannya. Ingatkan mustahak sangat tadi." hatiku berbisik entah apa-apa.

"Tandas di belakang sana. Abang nak masuk tandas ya? Kalau abang nak masuk tandas, tandas itu tak berapa mewah sangat sebab terlalu banyak hiasan-hiasan yang tak best kita bau. Gurau saja. Hehe..."


"Abang cuma nak ambil air wuduk."


"Ooo... dah terbatal ke?"

"Bukan terbatal tapi abang nak memperbaharui wuduk abang."

"Ehh... bukankah abang dah habis baca al-Quran? Kenapa abang nak berwuduk lagi?

"Memanglah sudah habis baca tapi selepas ini abang ada usrah."

"Usrah? Usrah itu apa?"

"Usrah itu ertinya kita berkumpul dalam satu bulatan dan berbincang serta bertukar-tukar pendapat dalam isu agama dan semasa."

"Ooo... macam tu. Best tak usrah?"

"Best... jom la join abang sekali."

"Oraitttt! No problem. Line clear."



Sejak itulah aku mula mengikuti usrah. Banyak perkara yang aku dapat. Jika dulu aku pandai membaca tulisan rumi dengan lancar, kini aku boleh membaca al-Quran dengan bertajwid. Jika dulu aku sering mengganggu cikgu, kini aku tahu untuk beradab dengan guru. Jika dulu aku selalu melakukan sesuatu yang kurang faedah, sekarang aku dapat memperbanyakkan amalan ibadah. Hanya dengan mengikuti usrah best. Aku langsung tidak pernah meninggalkan usrah bermula kali pertama aku mengikuti usrah hingga sekarang. Setelah aku mengikuti usrah selama dua bulan, aku bertanyakan sesuatu kepada abang Mikail.

"Abang Mikail, boleh tanya sikit tak?"


"Apa dia?"

"Abang belajar dekat mana sekarang ni?"

"Abang belajar dekat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Kenapa?"

"Seronok tak belajar dekat situ?"

"Memang seronok. Abang join usrah pun sebab semua kawan yang abang kenal belajar di sana."

"Ooo... macam tu. Kalau saya nak belajar di universiti itu boleh tak?"

"Boleh, apa salahnya. Jomlah belajar sama-sama di sana."

"Boleh saja, tapi abang buat master kan?"

"Abang masih boleh tolong kamu."

"Betul juga tu. Okey la kalau macam tu."

Aku diterima masuk ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Sekarang aku menuntut di universiti itu di tahun terakhir. Mak aku pula bercadang nak langsungkan perkahwinan aku lepas aku habis belajar, tapi aku tak berfikir pun pasal itu. Apa yang aku fikir ialah aku ingin sambung belajar sikit sahaja lagi di Mesir.Harap-harap aku dapat...


Tiga tahun sudah berlalu. Sekarang aku baru balik dari Mesir. Sudah berkahwin, isteri aku orang Johor. Punyalah baik dia layan aku. Fizikal dan mental dia, Alhamdulillah semuanya baik. Lagipun, Allah sudah berfirman bahawa wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik adalah untuk wanita yang baik. Aku ini dalam kategori yang agak baiklah. Hanya Allah yang menentukan kedudukan aku.


Hari Isnin, aku dapat berita daripada kawan lama aku mengatakan cikgu aku maut kemalangan. Aku agak terkejut dengan berita itu. Aku terus letak teko berisi kopi atas meja lalu memandu Honda Accord menuju ke lokasi kejadian. Dalam hatiku, aku agak terkejut dengan berita kemalangan itu... tapi aku masih keliru. "Cikgu mana yang maut ni? Cikgu Zulaikha ke Abang Mikail?"


Setelah aku sampai di situ, aku terus disambut kawan aku yang telefon tadi. Dia suruh aku pergi tengok siapa yang maut. Aku bertanya, "Ehh... tak kan kau tak tahu siapa yang maut?"

"Aku tahu..tapi aku mahu kau pergi tengok sendiri dengan mata kau siapa yang maut tu."

Aku pun apa lagi, cepat-cepat pergi tengok bungkusan mayat. Terkejut aku bila tengok jasad yang berlumuran darah. Aku cuba tengok muka mayat tu. Aku terkejut bila nampak muka Cikgu Zulaikha sudah rentung...


"Cikgu, cikgu, cikgu!"
hatiku menjerit tidak dapat menahan perasaan sedih. Kawan aku memberitahu bahawa cikgu baru balik dari rumah kawannya Aku cuma dapat menahan perasaan sedih. Kemudian, kawan aku menarik aku pergi kepada satu lagi kereta yang berlanggar dengan Cikgu Zulaikha. Aku kesat air mata dan terus melangkah ke kereta yang satu lagi.



Pada awalnya aku kurang pasti siapa yang terbaring atas kerusi pemandu itu. Aku pun mendekat sikit. Kemudian, pasukan penyelamat datang. Aku baru nak tengok mayat itu tapi sudah dihalang pasukan penyelamat. Aku pun tunggu sampai mayat tu berjaya dibawa keluar. Akhirnya berjaya jugak mereka membawa keluar mayat yang tersangkut itu. Aku cepat-cepat pergi tengok wajah mayat tersbut. Kali ini aku tidak mampu berkata apa-apa. Abang Mikail meninggal dunia tanpa sebarang cedera sedangkan kereta yang dipandunya remuk. Bukan setakat itu sahaja, jasad abang Mikail masih wangi. Ada al-Quran di dalam poket baju abang Mikail. Ternyata bahawa Allah melindungi hamba-Nya yang beriman. Kawan aku yang berdiri di sebelah cuma memegang bahu aku. Dia menyuruh aku bersabar dengan takdir Allah.


Aku berada agak lama di tempat kejadian. Akhirnya aku mendapat tahu bahawa abang Mikail sebenarnya dalam perjalanan pergi ke masjid manakala Cikgu Zulaikha pula baru pulang dari rumah teman lelakinya. Teman lelakinya datang ke tempat kejadian dan mengaku telah berkhalwat dengan Cikgu Zulaikha di rumahnya. Cikgu Zulaikha bukan sahaja berkhalwat malah telah curang kepada suaminya. Disebabkan itulah Allah telah mengazabkan Cikgu Zulaikha atas perbuatannya itu.


Aku amat kesal dengan perbuatan cikgu aku. Jika dulu, aku sering mengharapkan perasaan aku terhadap Cikgu Zulaikha dibalas dengan perasaan sayang. Tapi ,sekarang baru aku tahu kenapa Tuhan mengasingkan aku daripada Cikgu Zulaikha dan bertemu dengan abang Mikail. Allah ingin menunjukkan bahawa orang yang beriman sentiasa dalam rahmatnya dan orang yang lalai dalam melaksanakan hukum Allah telah disediakan neraka untuknya. Tidak kira walau siapapun manusia itu. Sama ada guru kita, ibu bapa kita mahupun teman kita, semuanya telah ditakdirkan oleh Allah. Begitu juga dengan diriku. Dulu aku jahil tentang agama, tapi kini aku menjadi imam muda di masjid. Segala-galanya atas kehendak Tuhan yang Maha Esa.


Sehingga kini, peristiwa itu tidak pernah luput dalam ingatan aku. Cikgu Zulaikha dan Abang Mikail, kedua-duanya merupakan guru yang aku sayangi. Cikgu Zulaikha mengajar aku memahami ilmu dunia manakala abang Mikail mengajar aku mengenali agama, dunia dan akhirat. Kedua-duanya merupakan guru aku tetapi mereka pergi dalam keadaan yang berbeza. Aku amat sedih dengan pemergian keduanya. Biarlah semua itu menjadi memori yang tercatat dalam diari ingatanku. Aku juga berharap agar memori yang tidak akan lupus ini memberikan pengajaran yang baik dan dapat mengubah hati-hati manusia.





* R&R: Kawasan Rehat dan Rawat

http://www.iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=2830

Tuesday, August 17, 2010 | By: fEnDi nEtWoRk

~Cerpen : Aku Nak Jadi Orang~

Petang itu cahayanya cerah. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa meniupkan pelepah-pelepah kelapa menggambarkan suasana desa kampung yang harmoni. Beberapa ekor bangau melepak bersama kerbau-kerbau di kawasan sawah padi seolah-olah memberitahu terdapatnya jalinan utuh antara mereka bersama. Pokok-pokok rambuta yang lebat buahnya menzahirkan keindahan ciptaan Ilahi.

Tanpa disedari, sebenarnya semua sedang bertasbih dan memuji Allah, tanda taat kepada-Nya.

Khairul dan ayahnya sedang berehat di atas kerusi ringkas di bawah sepohon jambu yang tidak berbuah. Seperti biasa, mereka berbual-bual tentang isu semasa. Tetapi petang itu, dia ingin mengutarakan soalan yang lama terpendam dalam hati kepada ayah.

"Abah, Khairul nak tanya sikit boleh?", kata Khairul.

"Tanyalah", jawab ayahnya.

"Sebenarnya, Khairul tak ada cita-cita. Khairul tak tahu nak jadi apa bila besar nanti. Abah nak Khairul jadi apa?". kata Khairul sambil memandang wajah ayahnya menantikan sebuah jawapan.

Lantas perlahan-lahab ayahnya meletakkan tangan ke atas bahu Khairul dan berpaut padanya seperti sepasang sahabat yang sangat rapat sambil menagalirkan arus kasih sayang kepada anak sulungnya.

"Khairul, abah nak Khairul jadi orang. Itu saja", jawabnya ringkas.

Lantas jari jemari Khairul menggaru kulit kepalanya yang tidak gatal sambil mempamerkan wajah pelik kepada ayahnya tanda tidak paham dengan kata ayahnya.
Melihat Khairul begitu, ayahnya tersenyum sambil berkata, "tak mengapalah Khairul, suatu hari nanti Khairul akan faham".

Khairul tidak berpuas hati dengan jawapan ayahnya itu. Malam itu, dia mengutarakan soalan yang sama kepada ibunya mengharapkan jawapan yanf memuaskan hatinya. Tapi jawapan yang sama diberi oleh ibunya.

"Mak nak Khairul jadi orang", kata ibunya.

"Memang Khairul orang pun mak", kata Khairul tanpa menyedari jarinya sudah melekat sekali lagi menggaru kulit kepala yang tidak gatal. Ibunya tersenyum melihat gelagat anaknya kesayangannya itu.

" Nanti Khairul dah besar nanti, Khairul fahamlah tu", kata ibunya.

Beberapa hari selepas itu, berlakulah peristiwa yang tidak dapat dilupakan Khairul sampai sekarang. Sudah menjadi kebiasaan Khairul dan kawan-kawannya bermain 'kad tepuk'. 'kad tepuk' ini merupakan sebuah permainan kanak-kanak yang berbentuk perjudian. Dengan berbekalkan duit syiling 10 sen, sepapan kad yang mempunyai pebagai gambar di depan dan nombor kad terup di belakang dibeli.

Apabila hendak bermain, setiap permain dikehendaki bertaruh sebanyak beberapa keping kad. Apabila 'line clear', atau tiada guru, maka berlaku pertandingan tepuk-menepuk antara mereka. Setiap kad yang berjaya diterbalikkan angin hasil tepukan, menjadi milik kekal penepuk itu. Nah, inilah bentuk-bentuk perjudian halus yang dilakukan Khairul. Tapi ketika itu, Khairul tidak tahu definisi sebenar judi kerna dia masih kanak-kanak. Malam itu, seperti biasa, ibunya menyemak hasil pembelaranya di sekolah. Tapi, kad hasil kemenangan tadi yang dijumpai.

"Aduh, habislah aku. Lupa pulak nk simpan tadi," Khairul bermonolog sendirian.

"Khairul ! Apa benda ini?," tanya ibunya dengan nada marah sambil meujukkan kad itu kepada Khairul. Khairul hanya mampu menunduk.

Lantas ibunya bangun mengambul sebatang rotan yang bersaizkan sedaerhana tapi besar impaknya dalam hidup Khairul. Jantung Khairul berdegup kencang seperti enjin motor ayahnya kerana takutkan rotan.

"Kad judi," jawabnya.

"Selama ini mak hantar pergi sekolah suruh belajar bukan suruh main benda ini.
Tadah tangan cepat !, perintah ibunya.

Maka tangan Khairul dicium rotan itu tanda sayang seorang ibu yang ingin membentuk anaknya menjadi anak soleh.

"Ingat, mak nk Khairul jadi orang bukan binatang", kata ibunya.

Tapi Khairul yang masih kecil ketika itu masih tidak memahami maksud ibunya. "Khairul memang orang. Bukan Binatang", dia bermonolog sendirian tanda protes tapi dalam diam sahaja.

Sejak kecil lagi Khairul sudah diterapkan dengan nilai-nilai Islami. Khairul dipaksa pergi ke surau sebelum masuk waktu, membaca Al-quran setiap hari dan macam-macam lagi. Tujuannya hanya satu, untuk melatih Khairul menjadi orang. Pada mulanya Khairul tidak suka diperlakukan sedemikian rupa tapi pabila dia sudah biasa, Khairul merasa halawatul iman dan jatuh cinta kepada Islam dan Penciptanya.



Alhamdulillah, Khairul telah mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR dan ditawarkan ke SMKA Kerian. Maka, dia terus dilatih menjadi insan yang lebih baik daripada sebelumnya.
"Jadikan hari ini lebih baik daripada semalam dan hari esok lebih baik dari hari ini."
Itulah prinsip yang dipegang Khairul. Semakin hari, dia semakin memahami maksud kedua orang tuanya iaitu menjadi 'orang', 'bukan binatang'. Setiap hari, Khairul terus berusaha untuk majukan dirinya dengan mengimbangkan ketiga-tiga perkara ini, iaitu jasmani, akal dan roh. Dia bermain setiap petang, berusaha dalam pembelajarannya dan beribadah dengan istiqamah. Dia ingin bertawazzun (mengimbangkan) ketiga-tiga perkara ini supaya dirinya menjadi seorang muslim yang berjaya.
Tahun demi tahun berlalu, Khairul telah mendapat keputusan yang cemerlang dalam PMR. Pada suatu ketika di satu per tiga malam, dia berkhalwat seorang diri sambil bermuhasabah diri. Dia mengimbau kenangan dan dosa yang terdahulu lalu teringat pesan kedua orang tuanya yang mahukandia menjadi 'orang'.
" Abah, mak, Khairul dah berjaya jadi 'orang'. Terima kasih banyak-banyak abah, mak, sebab didik Khairul. Khairul akan berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya dunia akhirat. Insyallah. " Khairul bermonolog sendirian sambil menitiskan air mata lantas berdoa.
"Ya Allah, ampunilah dosa-dosa kedua ibu bapaku dan kasihilah mereka sepertimana mereka mengasihiku sewaktu aku masih kecil".


Monday, August 16, 2010 | By: fEnDi nEtWoRk

~Kisah Rasul : Adam diarak malaikat 100 tahun~

Pada suatu ketika, Allah menitahkan malaikat Jibrail ke bumi mengambil sebahagian tanahnya mencipta Adam.

Tetapi, bumi enggan membenarkan tanahnya diambil untuk dijadikan Adam, kerana bumi bimbang Adam akan melakukan maksiat kepada Allah.

Lalu jibrail kembali menemui Allah, ia tidak dapat berbuat apa-apa, mendengar sumpah bumi. Kemudian Allah memerintahkan malaikat Mikail, jawapan bumi tetap sama dan Allah menitah malaikat Israfil, tetapi bumi masih enggan dan masing-masing kembali dengan tangan penuh hampa.

Lalu yang terakhir Allah memerintahkan malaikat Izrail ke bumi. Kata Allah, " Hai Izrail engkaulah kini yang aku tugaskan mengambil tanah.

Meskipun bumi menyumpah dengan ucapan bagaimanapun jangan engkau undur. Katakan engkau melakukannya atas perintah dan nama-Ku. "

Apabila Izrail ke bumi dan menyampaikan perintah Allah, bumi akhirnya akur tanahnya di ambil.

Setelah Izrail mengambil beberapa jenis tanah, dia kembali ke hadrat Allah. Lalu Allah berfirman : " Ya Izrail, pertama engkau yang Ku-tugaskan mengambil tanah dan kelak Ku- tugaskan Kau mencabut nyawa roh manusia.

Maka Izrail bimbang dibenci manusia. Lalu Allah berfirman : "Tidak, mereka tidak akan memusuhi kamu, Aku yang mengaturnya, dan aku jadikan kematian itu bersebab, terbunuh, terbakar atau sakit."

Tanah bagaimana dijadikan Adam ?

1. Tanah tempat berdirinya Baitul Muqaddis
2. Tanah bukit Tursina
3. Tanah Iraq
4. Tanah Aden
5. Tanah Al-Kautsar
6. Tanah tempat berdirinya Baitullah
7. Tanah Paris
8. Tanah Khurasan
9. Tanah (Babylon )
10. Tanah India
11. Tanah Syurga
12. Tanah Tha'if

Kata Ibn Abbas :

1. Kepala Adam dari Baitul Muqadis kerana di situlah berada otak manusia dan akal
2. Telinganya dari Tanah Tursina kerana dia alat mendengar dan menerima nasihat
3. Dahinya dari Tanah Iraq, kerana di situ tempat sujud kepada Allah.
4. Mukanya dar Tanah Aden, kerana di situ tempat berhias dan kecantikan.
5. Matanya dari Telaga Al-Kautsar kerana tempat menarik perhatian
6. Giginya dari Tanah Al-Kautsar, tempat manis
7. Tangan kanannya dari Tanah Kaabah, untuk mencari nafkah dan kerjasama sesama manusia
8. Tangan kirinya dari Tanah Paris, tempat beristinjak.
9. Perutnya dari Tabah Babylon, Di situlah tempat seks berahi dan tipu daya syaitan untuk menjerumuskan manusia kedalam lembah dosa.
10. Tulangnya dari Tanah Bukit Thursina, alat peneguh tubuh manusia
11. Hatinya dari Tanah Syurga Firdaus, kerana disitulah iman, keyakinan, ilmu dan kemahuan
12. Dua kakinya dari tanah India, untuk berjalan dan berdiri.
13. Lidahnya dari Tanah Ta'if, tempat mengucap syahadah, bersyukur dan mendoakan kepada Allah.

Bagaimana Prosesnya :

1. Ketika Allah menjadikan Adam, tanah itu bercampur dengan air masin, air tawar, air hanyir, angin api kemudian Allah resapkan Nur ke dalam diri Adam dengan pelbagai sifat.
2. Lalu tubuh adam digenggam dengan genggaman "Jabarut" dan diletakkan di alam "Malakut"
3. Sesungguhnya tanah yang dijadikan untuk tubuh Adam adalah tanah yang terpilih. Maka sebelum dijadikan patung, tanah itu dicampurkan dengan rempah-rempah, wangi-wangian dari Nur sifat Allah dan dirasmi dengan air hujan " Barul Uluhiyah"
4. Kemudian tubuh itu dibenamkan ke dalam air "kudral-Izzah-Nya" iaitu sifat " Jalam dan Jammal". Lalu dicipta tubuh Adam dengan sempurna.
5. Demikian pula rohnya, ketika itu diperintah masuk ke dalam tubuh Adam, ia malas dan enggan, malah berputar-putar mengelilingi patung Adam yang terlantar.

Kemudian Allah menyuruh malaikat Izrail untuk memaksa roh itu masuk, akhirnya ia menyerah kepada Izrail.

Menurut riwayat ketika Adam dimasukkan ke dalam syurga, sangat baik sekali kulitnya, tidak seperti warna kulit kita sekarang.

Kerana Adam diturunkan ke dunia, terjadilah perubahan warna kulitnya. Sebagai peringatannya yang masih tinggal warnanya adalah ada pada kuku manusia.

Hal ini kita biasa lihat meskipun orang kulit hitam, warna kukunya adalah sama saja ialah putih kemerahan. Dijadikan pada tubuh Adam ada sembilan rongga atau liang.

7 buah liang di kepala dan 2 buah liang di bawah badan letaknya.
7 buahnya terletak di kepala : dua liang mata, dua liang idung, dua liang telinga dan sebuah liang mulut.

Yang dua macam liang di bawah adalah sebuah liang kemaluan dan dubur.

Dijadikan pula 5 Pancaindera :

1. Mata alat penglihatan
2. Hidung alat penciuman
3. Telinga alat pendengaran
4. Mulut alat perasa manis, masin dan sebagainya.
5. Anggota lainnya seperti kulit, telapak tangannya, untuk merasa halus, kasar dsb

Selapas roh masuk tubuh Adam perlahan - lahan sehingga kepalanya yang mengambil masa selama 200 tahun.

Demikianlah Allah memberi kekuatan Izrail memasukkan roh ke tubuh Adam. Dahulu Izrail ditugaskan mengambil tanah Adam sekarang ditugaskan untuk mencabut nyawa manusia.

Selepas meresap ke kepala Adam, maka terjadilah otak dan tersusun urat sarafnya dengan sempurna. Kemudian terjadilah matanya seketika itu matanya terus terbuka melihat dan melirik ke kanan dan ke kiri.

Dan juga melihat ke bawah di mana bahagian badannya masih adalah tanah keras. Dilihatnya kiri dan kanan malaikat yang sedang menyaksikan kejadian dia. Ketika itu Adam mendengar malaikat mengucapkan tasbih dengan suara merdu dan mengasyikkan. Ketika roh sampai ke hidungnya lali ia bersin, serta mulutnya terbuka.

Ketika itulah Allah mengajarnya mengucap Alhamdulillah. Itulah ucapan Adam yang pertama kepada Allah.

Lalu Allah berkata :"Yarkhamukallah" yang ertinya :"semoga engkau diberi rahmat Allah". Oleh kerana itu jika orang bersin menjadi ikutan sunat mengucap " Alhamdulillah " dan orang yang mendengarnya sunat mengucapkan "Yarkhamukallah".

Kemudian ketika roh sampai ke dadanya, tiba-tiba saja ia mahu bangun. Padahal bahagian badannya ke bawah masih menjadi tanah keras.

Di sini menunjukkan sifat manusia yang tergesa-gesa ( tidak sabar ). sebagaimana firman Allah yang bermaksud :"Dan adalah manusia itu, suka tergesa-gesa"

Maka, ketika roh itu sampai ke perutnya, terjadilah susunan isi perut dengan sempurna. Maka seketika itu terasa lapar.

Kemudian terus roh itu meresap ke seluruh tubuh Adam, tangan, kaki lalu terjadi darah daging dan tulang, urat-urat, berkulit dengan sempurna, kian lama kian bagus dan halus.

Apabila kejadian Adam sempurna sebagai manusia baru, maka dialah adalah jenis makhluk yang pertama.

Wajahnya cukup cantik, semua malaikat kagum melihat Adam yang menawan. Adam diarak malaikat selama 100 tahun lalu diperkenalkan kepada seluruh penghuni langit pertam hinggalah ketujuh sebelum dibawa ke syurga tempat mula-mula Adam dijadikan.
Sunday, August 15, 2010 | By: fEnDi nEtWoRk

~Salam Ramadhan Al-Mubarak~


Assalamualaikum semua.... :)

First sekali nk ucapkan selamat menunaikan ibadah Puasa...alhamdulillah, sebab Allah pertemukan aku ngan bulan Ramadhan kali ini n boleh semayang terawih sekali lagi walaupun aku ade gangguan pada kelas aku yang abih sampai kul 10.00PM..xpela..boleh buat sendiri..xde hal la..jnji kite buat semayang terawih itu yang penting kawan2..tul x kawan2..? insyallah Ramadhan tahun semoga kite semua mendapat keberkatan dari Alla s.w.t.

Puasa Yang Berkat
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya : " berapa banyak orang yang perpuasa tetapi mendapat apa-apa dari puasanya kecuali hanya lapar dan dahaga. "
Riwayat Ibn Majah.
Maksudnya :
1. Setiap muslim harusnya memahami konsep sebenar puasa supaya ibadah puasa itu tidak menjadi suatu perbuatan yang sia - sia.
2. Berpuasa mengikut perspektif islam ialah menahan diri daripada makan dan minum serta mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa mulai terbit fajar sehinggalah terbenam matahari
3. Selain itu berpuasa juga bermakna menahan diri daripada perkara berikut :
a : menundukkan pandangan mata serta mengatasinya daripada tertuju kepada segala tercela
b : Menjaga lidah dari berkata-kata perkara yang dusta, fitnah, caci maki dan menyinggung perasaan org lain.
c : Menahan pendengaran dari mendengar segala sesuatu yang di tegah agama di mana perkara yang haram diucap dan haram didengar seperti mengumpat dan sebagainya.
d : Mencegah tangan, kaki, perut, daripada melakukan atau mengambil benda haram
e : bulan Ramadhan adalah bulan di mana pada awalnya dijanjikan keampunan , pertengahannya rahmah dah akhirnya dijauhkan dari azab api neraka. Oleh itu setiap kita haruslah berusaha untuk meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t dengan meninggalkan segala larangannya dan menjauhkan diri daripada sifat keji.